Home
ISLAMIC STATE COURT CASE / MAHKAMAH KUALA LUMPUR

Peguambela tertuduh menunjukkan salinan muka hadapan beberapa buku yang mengandungi unsur IS dan dirampas dari suspek, Nazirul Abidin Thalha ketika perbicaraannya di Kompelks Mahkamah Kuala Lumpur. SUMBER GAMBAR NSTP/Aizuddin Saad

Disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 6 Oktober 2015 dan secara atas talian di Utusan Online

Oleh: Mukhriz Mat Rus

PEMUDA berusia 28 tahun, Nazirul Abidin Thalha menjadi individu pertama yang dituduh dan disabitkan kesalahan memiliki bahan berkaitan pengganas di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan. Setelah mengaku salah, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menyusul selepas itu pada 15 September 2015, empat lagi individu didakwa atas kesalahan yang sama, masing-masing di mahkamah Kangar, Perlis; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Gerik, Perak.

Undang-undang yang baru saja berkuat kuasa 15 Jun lalu itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau bersama denda jika disabitkan. Selain milikan, kawalan dan jagaan terhadap apa-apa bahan berkaitan pengganas atau aktiviti keganasan, turut menjadi kesalahan jenayah adalah perbuatan mempamerkan, menjual dan mengedar bahan-bahan itu.

Bahan-bahan larangan terma­suklah sebarang penerbitan, rakaman visual, bendera, sepanduk, lambang, tanda kebesaran dan apa-apa simbol yang berkaitan dengan kumpulan pengganas atau tindakan keganasan atau ideologi sesuatu kumpulan pengganas.

Dalam membuktikan pemilikan, Seksyen 130JB (1)(a)Kanun Keseksaan ini tidak secara zahir menyebut elemen mens rea seperti niat, pengetahuan di pihak tertuduh bahawa bahan itu berkaitan de­ngan pengganas. Ciri ini sedikit berbeza dengan kesalahan-kesalahan jenayah pemilikan bahan terlarang yang lain.

Lazimnya dalam undang-undang jenayah memiliki barang salah, elemen niat ini amat mustahak kerana akan membebaskan liabiliti individu yang menyimpan bahan-bahan itu secara tidak sedar atau di luar pengetahuannya.

Sebagai contoh, di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, seorang tertuduh hanya boleh didapati bersalah sekiranya mempunyai ‘sebab untuk percaya’ bahawa barang yang dimilikinya adalah harta curi. Memandangkan elemen mens rea itu tidak dinyatakan secara zahir, adalah difahami bahawa kerajaan berhasrat untuk menjadikan kesa­lahan berhubung keganasan dan terrorisme ini sebagai jenayah berliabiliti ketat (strict liability offence).

Isu niat atau mens rea ini turut menjadi noktah perbahasan utama ketika pembentangan undang-undang ini pada 7 April 2015 di Dewan Rakyat. Beberapa ahli dewan dari pihak kerajaan dan pembangkang mengutarakan kebimbangan mereka sekiranya undang-undang ini boleh menyebabkan individu yang tidak berpengetahuan dan naif menjadi mangsa. Umpa­manya, anak-anak muda yang gemar memakai baju-T potret tokoh atau lambang tertentu seperti wajah Osama Bin Laden dan bendera kumpulan militan Negara Islam (IS). Golongan ini adakalanya memakai secara suka-suka untuk kelihatan ‘cool’ tanpa memahami langsung perjuangan dan ideologi tokoh atau kumpulan berkenaan.

Secara alternatif pada masa ini, biarpun elemen mens rea tidak dizahirkan, pendekatan mentakrifkan ‘pemilikan’ sebagai animus possidendi (pemilikan berserta niat) sebagaimana dalam kes milikan dadah wajar diguna pakai.

Peruntukan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 juga tidak menyatakan secara literal tentang elemen men rea, namun gugusan nas penghakiman kes-kes terdahulu jelas menyatakan akan keperluan elemen niat atau pe­ngetahuan dalam mensabitkan kesalahan memiliki dadah berbahaya.

Mahkamah juga dalam mentafsir undang-undang baharu ini wajar untuk merujuk semula niat penggubal undang-undang ketika diluluskan sebagaimana yang telah diutarakan tadi.

Peruntukan Seksyen 130JB Kanun Keseksaan ini juga mirip de­ngan Seksyen 57 dan 58 Terrorism Act 2000 United Kingdom (UK). Dalam memaknai elemen pemilikan, mahkamah di sana memberi pencerahan berikut yang dinukilkan dalam bahasa asalnya:

“Possession must be voluntarily and must involve actual and potential physical control. The accused must have knowledge of the nature (the content) of what is possesed. The length of time of possesion is not material to guilt, though the sentence reflected his brief period of possession.” (R v McMurray)

Namun kedudukan di Malaysia sedikit berbeza dengan undang-undang di UK, hanya pemilikan bahan yang menjurus atau mencapai tujuan kepada aktiviti keganasan menjadi kesalahan di sana. Hal ini bermakna, bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas tanpa hubung kait dengan tindakan keganasan act of terrorism secara khusus tidak menjadi kesalahan. Misal­nya, kemeja-T atau cenderamata yang mempamerkan bendera IS.

Ter­nyata, peruntukan undang-undang di Malaysia adalah lebih luas dan subjektif serta menuntut untuk kita untuk lebih peka dan berwaspada.

Selain itu, peruntukan yang menarik dalam Terrorism Act 2000 di UK yang wajar dipertimbangkan oleh Malaysia adalah mengenai hak tertuduh untuk mengemukakan ‘alasan munasabah’ atas pemilikan bahan-bahan terlarang tersebut sebagai pembelaannya di mahkamah.

Contohnya, seorang wartawan atau ahli akademik yang ditahan memiliki bahan-bahan tersebut boleh mengguna pakai hak ini sekiranya mereka bertindak secara suci hati (bona fide).

Persoalan yang mustahak, apakah objek yang terjumlah kepada bahan terlarang di bawah Seksyen 130JB ini? Dalam kes pertama yang diheret ke mahkamah tempoh hari, tertuduh mengaku memiliki 15 bahan penerbitan yang antaranya berjudul, Miracle in Syria, Black Flags From Syria Revolution dan How to Survive in the West 2015: A Mujahid Guide. Bahan-bahan ini disimpan dalam salinan digital dan telefon bimbitnya.

Sebagaimana dalam kes milikan dadah, seorang pakar atau ahli kimia perlu mengesahkan bahawa bahan yang dimiliki suspek adalah dadah berbahaya seperti ditetapkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Begitulah juga kehendak di bawah Seksyen 130JB ini, bahan-bahan yang disyaki berkait dengan kumpulan pengganas dan aktiviti keganasan wajib diperiksa oleh seorang pakar dalam bidang tersebut.

Berdasarkan laporan kes Nazirul, bahan-bahan terlarang dianalisis oleh Prof. Rohan Gunaratna. Beliau ialah Profesor Pengajian Kese­lamatan di Pusat Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam Universiti Teknologi Na­nyang. Dalam kes ini, Gunaratna me­rumuskan kandu­ngan bahan berkaitan ideologi dan operasi yang boleh digunakan oleh mana-mana individu atau kumpulan bagi me­rancang, menyediakan dan melancarkan perbuatan pengganas.

Undang-undang baharu ini memperuntukkan tertuduh yang disabitkan kesalahan memiliki bahan berkaitan keganasan dan kumpulan pengganas ini dijatuhkan hukuman penjara. Adalah lebih baik sekiranya modul pemulihan dan khidmat masyarakat turut dilaksanakan, terutama bagi pesalah yang masih muda yang pastinya akan kembali semula ke pangkuan masyarakat.

Tuntasnya, pengenalan undang-undang baharu ini adalah satu pendekatan mencegah melalui kaedah penjenayahan ke atas apa-apa perbuatan atau tingkah laku yang boleh menjurus kepada aktiviti keganasan. Tindakan melawan terorrisme melalui proses pendakwaan di mahkamah memberi ruang untuk kerajaan mengimbangi antara keselamatan negara dan hak individu untuk dibicarakan.

PENULIS adalah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini mengkaji tentang undang-undang jenayah keganasan dan terrorisme.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s