Home
image (1)

MAYAT Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan dari Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais ditemui disumbat dalam tong yang disimen di Jalan Subang 3, Taman Subang Mewah, USJ 1, di Kuala Lumpur pada 16 September lalu. UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

 

Disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 19 September 2015 dan secara atas talian di Utusan Online

Oleh: Mukhriz Mat Rus

MISTERI kehilangan se­­orang Timbalan Pen­dakwa Raya ka­nan baru-baru ini, terjawab dengan pe­nemuan mayatnya kelmarin. Persoalan sama ada ‘pembunuhannya’ berkaitan tugas atau sebaliknya akan dirungkai selepas pihak polis menyelesaikan siasatan. Namun media sudah melaporkan perkaitan angkara jenayah itu dengan tanggungjawab mangsa sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Setiap kerjaya terdedah kepada risiko masing-masing termasuklah profesion yang berhadapan dengan penjenayah saban hari ini.

Setiap Timbalan Pendakwa Raya pasti ada cerita tersendiri yang telah dihadapi ketika berkhidmat. Penulis sendiri pernah menerima ugutan berupa contengan di dinding rumah ketika bertugas di Pulau Pinang dulu. Namun sukar untuk menentukan suspek memandangkan terdapat puluhan kes jenayah di bawah kendalian dan kebanyakan tertuduh dilepaskan dengan jaminan mahkamah sebagaimana dibenarkan oleh undang-undang.

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara berkuasa budi bicara untuk memulakan, menjalankan dan menamatkan suatu prosiding kesalahan jenayah di mahkamah-mahkamah seluruh negara, kecuali mahkamah Syariah.

Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah pula memerikan Peguam Negara adalah Pendakwa Raya Malaysia. Peruntukan yang sama juga menjelaskan Pendakwa Raya memiliki kuasa melantik Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebagai ‘alter ego’ dalam menjalankan tugas dan fungsinya. Lazimnya, beberapa TPR ditempatkan di setiap negeri dan jabatan kerajaan seluruh pelosok negara. Lantas perihal ini menjadikan Pendakwa Raya adalah satu jawatan kehormat negara yang memiliki paling ramai timbalan di Malaysia.

Tidak seperti para hakim, majistret dan peguam, kerjaya sebagai TPR paling kurang diketahui fungsinya dalam lapangan perundangan tanah air. Lazimnya TPR hanya dilihat menjalankan tugas mendakwa tertuduh yang disyaki melakukan perbuatan jenayah di mahkamah. Namun hakikatnya, peranan seorang TPR bermula lebih awal dari itu, bahkan peringkat sebelumnya adalah cukup kritikal.

Bila mana pihak penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) melengkapkan sesuatu kes, fail siasatan dan taklimat dipersembahkan kepada TPR. TPR perlu mengkaji dengan teliti dan terpe­rinci segenap hasil siasat­an. TPR perlu menyemak dan merumuskan sama ada keterangan yang ada sudah memadai untuk dibuktikan di mahkamah bagi memastikan suspek disabitkan dan dihukum.

Maka, adalah menjadi budi bicara TPR berdasarkan keterangan yang tersedia untuk mendakwa suspek di mahkamah atau melepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang. TPR juga boleh mengarahkan agar siasatan lanjut dilaksanakan bagi mengumpul ke­terangan yang sempurna.

Dalam keadaan tertentu, TPR juga terlibat untuk memantau siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak penguat kuasa. Misalnya, keizinan TPR diperlukan bagi mendapatkan butiran akaun bank seseorang individu, atau sebelum merakam perbualan telefon secara sembunyi sebagaimana yang diperuntukkan bawah Akta SPRM. Dalam situasi begini, TPR akan bertindak secara mandiri dalam mengimbangkan antara keperluan siasatan oleh penguat kuasa dan hak-hak peribadi individu terpelihara.

Sebagaimana terjemahan harfiah, Deputy Public Prosecutor iaitu timbalan pendakwa awam, beban TPR bukan sahaja untuk mempertahankan hak mangsa jenayah, tetapi masyarakat awam secara keseluruhan. Bahkan menjadi tanggungjawab TPR untuk menghormati hak-hak tertuduh. Sebagai contoh, TPR wajib mengemukakan fakta-fakta yang memihak kepada tertuduh sekiranya ada sebelum perbicaraan bermula sebagaimana dikehendaki Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalannya kini sejauh mana keselamatan seorang TPR itu sendiri dilindungi. TPR bukanlah seperti pegawai penguat kuasa beruniform yang sememangnya dilatih dan dibekalkan senjata dalam berhadapan dengan sebarang ancaman berbahaya. Sedangkan, TPR amat terdedah kepada risiko seperti ancaman, ugutan dan paling dikhuatiri ugutan secara fizikal.

Sebagai contoh pada 2011, seorang TPR wanita diacu pistol ketika berhenti di lampu isyarat di Kuala Terengganu. Barangkali si­tuasi begini boleh dianggap terpencil mengambil kira jumlah kekerapan kecil atau tidak dilaporkan. Namun risiko tersebut tetap ada dan boleh mengundang tragedi jika tidak diurus secara waspada.

Latihan secara berkala tentang aspek keselamatan diri dalam mengelak dan menghadapi ancaman wajib diberikan kepada setiap TPR. Pihak PDRM juga sewajarnya mengambil maklum tentang lokasi kediaman TPR, terutamanya di kawasan pedalaman atau kota raya yang sesak. Tidak seperti perkhidmatan awam dahulu, kuarters kerajaan tidak lagi mampu menampung semua penjawat awam yang ada. Penulis dahulu pernah terpaksa menghuni di sebuah flat awam dan acap kali terserempak dengan beberapa tertuduh jenayah dalam lif. Dalam situasi begini, aspek ke­selamatan perlu digandakan.

Pada hemat penulis, langkah Jabatan Peguam Negara mewajibkan para TPR mewujudkan akaun Twitter masing-masing, berserta gambar yang jelas dan kemudiannya melaporkan kes kendalian masing-masing secara terbuka turut membawa risiko sampingan. Adalah difahami bahawa langkah proaktif itu bermanfaat untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat awam tentang gerak kerja TPR, tapi alangkah le­bih baik jika pelaporan melalui Twitter itu hanya dilaksanakan atas nama jabatan atau unit sahaja.

Contohnya, akaun Twitter atas nama ‘Unit Pendakwaan Selangor’ untuk semua TPR Selangor menguar-uarkan kes-kes kendalian mereka. Penulis percaya pihak Ja­batan Peguam Negara ada mekanisme lain secara dalam­an untuk memantau dan menyelia aktiviti setiap TPR tanpa menggunakan media sosial itu.

Adalah dikhuatiri kini, seorang tertuduh atau bekas banduan atau siapa sahaja yang berniat curang de­ngan mudah mendapatkan maklumat diri dan lokasi TPR yang berkait kesnya di mahkamah. Benar, hal ini bersifat andaian, tapi kita tidak boleh memandang rendah akan kemampuan dan nilai kewarasan seseorang yang telah dirasuk dengan dendam kesumat.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Belanda oleh Dr. E.J. van der Torre Dr. M. Gieling Drs. M.Y. Bruinsma pada 2013 terhadap 1,730 responden di pejabat Pendakwa Raya, terdapat beberapa motif utama berlakunya ancaman terhadap para pendakwa.

“The motives for threatening or intimidating employees of the public prosecutor’s office can be sorted into four main categories: (1) in­fluencing an on-going investigation, (2) influencing a trial by disconcerting an employee, (3) trying to reverse an unfavourable verdict, and, (4) revenge… ”.

Para pengkaji merumuskan bahawa pendedahan kepada ancaman dan intimidasi boleh mengurangkan kepuasan hati pegawai pendakwa terhadap kerjaya mereka. Barangkali pihak Jabatan Peguam Negara boleh membuat kajian sejauh mana perihal ini mempengaruhi budaya kerja TPR di Malaysia.

Pastinya negara ini tidak mahu kehilangan barisan TPR yang berpengalaman dan cekap lantaran pengabaian terhadap perkara ini. Harus juga difikirkan, para TPR ini berkelayakan profesional yang memilih untuk berkhidmat kepada negara sedang tawaran bidang swasta di luar sana adalah lebih lumayan.

PENULIS ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini mengkaji tentang undang-undang jenayah keganasan dan terrorisme.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: