Home

image

Disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 1 Mei 2015 dan secara atas talian oleh Utusan Online

Oleh: Mukhriz Mat Rus

FENOMENA terrorisme glo­bal adalah satu produk pas­ca modenisme yang menuntut untuk kita menangani dan menghadapinya de­ngan cara yang lebih segar dan ke ha­dapan. Undang-undang jenayah mo­den bukan lagi beroperasi se­telah satu tragedi terrorisme me­ngam­bil tempat tetapi fungsinya dikembangkan dalam usaha-usaha pencegahannya.

Setelah peristiwa 9/11, sarjana undang-undang jenayah dan cegah terrorisme di Barat mula merintis jalan berwacana tentang perkara yang disifatkan kesalahan pelopor (precursor offenses) dalam menghalang tindak tanduk keganasan.

Professor Emeritus Clive Walker, pakar dalam pengajian keadilan jenayah dalam bukunya ‘Terrorism and The Law’ (2011) dengan jelas memerikan bahawa ‘criminal law can allow for prescient intervention before a terrorist crime is completed’.

Negara Eropah seperti United Kingdom yang mengambil pendekatan ‘Prosecution is first, second and third’ dalam menangani suspek pengganas telah menterjemahkan konsep itu dengan menggubal Terrorism Act 2000 yang menjenayahkan kesalahan berkaitan latihan untuk keganasan. Langkah yang hampir serupa diambil oleh Australia dalam Anti-Terrorisme Act 2004.

Pembentangan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Kanun Keseksaan dengan memasukkan Seksyen 130 FA dan 130 FB, serta penambahan pada Seksyen 130JA dan 130JD adalah antara siri langkah kerajaan dalam mengekang aktiviti terrorisme. Undang-undang yang telah dibaca kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi yang lepas menjenayahkan kesalahan berkaitan dengan latihan dan pengkaderan untuk tujuan keganasan dan terrorisme.

Seksyen 130FA dalam Rang Undang-Undang bernombor D.R 4/2015 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda bagi sesiapa yang disabitkan untuk kesalahan menerima, bersetuju atau mengatur untuk menerima arahan dan latihan dari mana-mana kumpulan pengganas atau individu yang terlibat atau melakukan persediaan untuk melakukan angkara keganasan.

Sementara itu, pindaan Seksyen 130FB yang diusulkan oleh pihak kerajaan di Parlimen untuk menjadikan kesalahan menghadiri mana-mana tempat yang dijadikan lokasi latihan keganasan sebagai jenayah yang boleh dihukum. Secara umumnya rang undang-undang yang baharu diperkenalkan untuk dibahaskan oleh para penggubal undang-undang adalah berkaitan dengan langkah-langkah mengekang pengkaderan dan latihan terhadap pendokong dan penyokong kumpulan pengganas.

Berbeza dengan pendekatan tahanan pencegahan (preventive detention), tindakan menjenayahkan kesalahan-kesalahan bagi menyekat aktiviti keganasan dilihat lebih menepati prinsip keadilan jenayah (criminal justice). Melalui langkah ini, suspek akan dibicarakan secara biasa dan diberi ruang untuk membela diri di mahkamah. Para suspek ditunaikan hak asasinya untuk diwakili oleh peguam pilihannya.

Maka secara tidak langsung, kaedah ini dapat mengimbangkan antara usaha memelihara keselamatan kolektif dan hak individu yang dijamin perlembagaan. Pendekatan penjenayahan secara asasnya adalah lebih bersifat objektif kepada aksi keganasan itu sendiri tanpa penekanan pada motif agama, ideologi dan politik.

Kumpulan pengganas kini menggiat jalan yang lebih anjal dalam meraih sokongan dan melatih pelapis baharu. Sarjana dan penganalisis terrorisme dan keselamatan antarabangsa dari Filipinan, Rommel C. Banlaoi menyifatkan kebanyakan kumpulan pengganas ini memiliki ‘magnet’ tersendiri dalam menarik minat para belia untuk menyertai mereka.

Antara yang ditawarkan adalah ideologi yang mampu memenuhi rasa kekosongan jiwa dan menjawab makna kewujudan mereka ‘reasons for existence’. Berdasarkan kajian, golongan muda adalah pengguna utama sosial media.

Pindaan Seksyen 130J Kanun Keseksaan memasukkan, antara lain, kesalahan mempromosikan keganasan melalui sosial media. Kita acap kali melihat propaganda yang disiarkan dalam media sosial yang diterbitkan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) tentang pelaksanaan hukuman yang kononnya dituntut Islam dan juga operasi latihan yang dijalankan. Perihal ini mempunyai kesan yang negatif jika dibiarkan.

Kajian tentang radikalisasi kendiri telah menunjukkan bahawa seseorang warganegara boleh menjadi lebih radikal sama ada melalui pendedahan kepada wacana ekstremis secara atas talian atau melalui pengkaderan terus daripada pengganas tempatan dan luar negara.

Biarpun Rang Undang-Undang Pindaan Kanun Keseksaan 2015 ini dimajukan setelah pembentangan Kertas Putih ancaman IS oleh kerajaan, penulis berharap pindaan ini bukan sekadar bersifat undang-undang reaktif terhadap kumpulan pengganas IS semata, tapi juga bertujuan membendung segala tindakan mana-mana kumpulan pengganas tempatan dan serantau.

Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Jemaah Islamiyyah (JI) dan organisasi yang berkait dengan al-Qaeda masih memberi ancaman kepada negara hingga kini.

Maka, kecenderungan untuk ‘fight the last war’ wajar dielakkan kerana natijahnya hanya memberi fokus kepada saranan atau kaedah yang diguna pakai oleh satu kumpulan pengganas tertentu sahaja kerana akan menjadikan undang-undang tidak berkesan.

Lantas, dalam memakai Rang Undang-Undang Pindaan Kanun Keseksaan ini, para anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mengikut serta dalam perbahasan dengan memberi buah fikiran dan hujah yang berkualiti agar kelak nanti dapat dimanfaatkan oleh mahkamah dalam memahami kehendak pihak legislatif (legislative intent) dalam menghakimi sesuatu kes.

Selain proses pewartaan, anggota masyarakat kelak perlu diperkenal dan difahamkan mengenai pindaan undang-undang ini bagi membina kesedaran untuk menjauhi aktiviti keganasan sedari awal.

Walaupun undang-undang baharu ini dipercayai mampu memberi impak kepada operasi kumpulan pengganas, namun harus juga kita akur bahawa keganasan atau terrorisme ini tidak hanya dapat dirawat dengan undang-undang semata-mata.

Penglibatan semua anggota masyarakat daripada pelbagai latar belakang, peranan aktif institusi keluarga dalam mengesan bibit-bibit awal terrorisme dan penyuburan budaya dialog lintas agama dan budaya acapkali disebut sebagai antara kaedah-kaedah lain untuk berdepan dengan ancaman terrorisme.

Usaha tuntas bersama secara berterusan perlu digerakkan sehinggalah kita berjaya menyematkan pada hati semua ahli keluarga besar Malaysia bahawa keMalaysiaan itu menyanggahi keganasan.

PENULIS adalah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini mengkaji tentang undang-undang jenayah dan keganasan

Advertisements