MINIT TERAKHIR BUAT TUAN
Oleh: Mukhriz Mat Rus
Dengan hormatnya, minit ini dimajukan
Buat perhatian tuan, yang malar dalam ingatan
Minit-minit tuan terdahulu adalah dirujuk
Bekal panduan pada hari esok
Sosok budiman, tak gemar menunjuk
Tidak juga mudah mengangguk
Sudi tuan kekal mengilhami
Atas segenap bimbingan dicurahi
Atas segala jenaka yang dilantuni
Atas semua nama timangan yang dicandai
Atas senyuman dan kerendahan hati
Atas kecekalan menyanggah korupsi
Atas khidmat kepada watan, mengatasi diri
Dengan izin tuan,
Minit terakhir dari hati ini diangkatkan
Kami ucapkan selamat jalan
Terima kasih atas segunung kebaikan..
Diedarkan untuk tinggalan,
Sekian.
*Sempena Hari Memperingati pemergian gemulah Tuan Anthony Kevin Morais.
PENULIS pernah berkhidmat sepejabat dengan mendiang bermula 2011 hingga 2014 di Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia