Home

Disiarkan secara atas talian oleh The Malaysian Insider pada 5 Mac 2015

Oleh: Mukhriz Mat Rus

Rakaman video memaparkan beberapa individu yang dilaporkan sebagai rakyat Malaysia bersama anggota ‘Islamic State Iraq and Syria (ISIS)’ mula berlegar dan dikongsikan dalam media sosial. Reaksi rakyat Malaysia ternyata kelihatan bercampur baur terhadap ISIS.

Berbeza dengan isu-isu global yang lain, tiada kelihatan rapat umum atau kutukan terbuka terhadap jenayah genosid yang berlaku.

Begitu juga kelihatan tiada penerangan dan penjelasan yang menyeluruh kepada khalayak rakyat tentang bahaya ideologi ISIS terutamanya kalangan para agamawan atau perkumpulan umat Islam atau Melayu di Malaysia, sedangkan dilaporkan sejumlah umat Islam rakyat Malaysia meninggalkan negara untuk menyertai ISIS.

Bahkan, pernah juga seorang penceramah agama tersohor berkongsi rakaman video aktiviti ISIS di laman Facebook peminatnya. Perihal ini menghadirkan konotasi yang menggusarkan akan pendirian sebenar tokoh agama itu. Maka, persoalannya siapa ISIS di hati umat Islam Malaysia?

Tanpa menafikan golongan yang mengambil sikap neutral lantaran mengabsahkan teori konspirasi, pada khatir penulis adalah tidak keterlaluan untuk ditanggapi bahawa terdapat segolongan umat Islam Malaysia yang bersimpati atau mengkagumi ISIS. samada secara terbuka atau terbuku di hati.

Lebih malang lagi seandainya majoriti dari golongan ini adalah generasi muda. Kajian secara mendalam adalah sangat mustahak dan wajib dibentangkan untuk tindakan secara kolektif.

Pastinya, sebab dan musababnya adalah berbeda dengan penyertaan rakyat Eropah bersama ISIS yang acapkali dikaitkan dengan natijah penindasan sosial dan ekonomi ke atas kumpulan minoriti dan impak berlawanan bagi Islamophobia.

Faktor yang hampir serupa bagi generasi muda secara global adalah pencarian identiti dan makna hidup yang dibentuk dari masyarakat yang gagal mengamalkan politik yang progresif, tetapi menyuburkan politik identiti di serata dunia.

Setiap individu dihimpit ke penjuru untuk mendefisi diri mereka dalam skop etnik dan budaya yang sempit. Dalam nuansa inilah, golongan pemuda yang tergerak mencari hakikat diri dan makna kehidupan menemui individu atau kumpulan yang menawarkan jawapan atau makna yang mengujakan.

Adalah malang bilamana mereka terus menelan jawapan dan rumusan orang lain yang bersifat ringkas tersebut sebagai jawapan muktamad baginya, demi memendekkan pencarian tanpa kesusahan fikir.

Maka disambut bulat-bulat dapatan orang lain (atau tanpa sedar segala yang ditekap pada mindanya), tanpa diperjelasi asasnya dalam kerangka ilmu pengetahuan.

Menanggapi isu ini penulis ‘From Fatwa to Jihad’, Kenan Malik pernah memerikan (dinukilkan dalam bahasa asalnya):

“There is, of course, nothing new in the youthful search for identity and meaning. What is different today is the social context in which this search takes place.

We live in a more atomised society than in the past; an age in which many people feel peculiarly disengaged from mainstream social institutions and in which moral lines often seem blurred and identities distorted.”

Manakala pemikir Nurcholish Madjid pula merungkaikan alasan popular golongan yang terjebak dalam fundementalis agama adalah, “Kerana pada saat-saat terjadinya perubahan sosial yang besar, yang juga saat-saat gerakan milenial (harapan pertolongan ‘dari langit’) muncul, fundementalisme menyuarakan jawaban untuk banyak orang-sehingga mereka ini tidak perlu membuat keputusan-keputusan sendiri”.

Walaupun ISIS ini baru muncul, slogan utama lantunan mereka bukanlah suatu yang asing dalam komuniti umat Islam. Berbeza dengan al-Qaeda yang tidak mempromosi satu bentuk gagasan pembentukan entiti negara, ISIS membawa slogan pembinaan sebuah negara dan seterusnya Khilafah Islam.

Jika ditinjau, agenda khilafah kekal menjadi slogan kumpulan-kumpulan Islam seperti Hizbut Tahrir, dan masih berada dalam silibus latihan pengkaderan kebanyakan gerakan Islam termasuk yang beroperasi di Malaysia.

Penegakan Daulah dan Khilafah Islam diletakkan sebagai matlamat kemuncak setelah pembentukan individu umat Islam (Fard al-Muslim), keluarga umat Islam (Bait al-Muslim) dan masyarakat umat Islam (Mujtama’ al-Muslim).

Begitu juga tentang retorika ‘baiah’ dan ‘wala’’ yakni kewajipan mentaati pemimpin kumpulannya seolah wujudnya sebuah negara berdaulat.

Bukan maksud penulis untuk meletakkan liabiliti mutlak kepada mereka yang beriman dengan doktrin ini semata-mata, tapi sekadar menyatakan beberapa agenda yang dibawa ISIS adalah sudah lama berlegar dalam masyarakat Malaysia dan mudah dicerna.

Pada hemat penulis, ISIS adalah jiwa-jiwa medieval yang terlewat lahir dan terperangkap dalam jasad manusia zaman moden. Harus kita akur golongan persis mereka ini, dengan citra dan laungan slogan yang senada telah lama wujud sedari zaman awal sejarah umat Islam, sebagaimana keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang mengaitkan ISIS dengan kumpulan Khawarij.

Cuma persoalan mustahak kini, apakah usaha semerta kita untuk berdepan dengan ISIS yang mana esok atau lusa ideologinya pasti menyelinap masuk dan bertapak di sini, lansung meranapkan kerukunan Malaysia.

Yang jelas, langkah rintis adalah dengan menzahirkan pendirian secara terbuka, lantas meminggirkan golongan yang bersimpati terhadap ISIS.

Sekurang-kurangnya usaha ini dapat mencungkil keluar identiti ‘closeted ISIS’ atau mereka yang berjiwa persisnya, bukankah tatkala lebih terang cahaya, lagi pekat gelap bayangnya?

Usaha secara kolektif adalah didambakan bukan sahaja dari penguatkuasa undang-undang dan penggubal polisi, tapi juga dari perkumpulan umat Islam dan keseluruhan masyarakat madani.

Usah ditunggu hingga tiba detik di mana para ‘pejuang’ ISIS kelak pulang dikompang dan diberi pentas umpama perwira pulang dari berbakti, ketika itu ucapkan, selamat tinggal kemalaysiaan!! – 5 Mac, 2015.

* Penulis adalah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini mengkaji tentang undang-undang jenayah dan keganasan.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s