Home

Disiarkan secara atas talian oleh The Malaysian Insider pada 7 Julai 2015 dan merupakan respons kepada tulisan Saudara Amin Iskandar: Apabila Budaya Melayu Ditelan Budaya Arab, Pengarang Berita portal berkenaan.

Oleh: Mukhriz Mat Rus

Terdapat ribuan atau mungkin jutaan lepasan sekolah-sekolah kerajaan dan persendirian yang mengajar Bahasa Arab sebagai bahasa ketiga.

Jumlah itu belum termasuk graduan universiti dalam dan luar negara yang menggunakan Bahasa Arab sebagai medium pembelajaran.

Maka tidaklah begitu pelik kiranya ada kalangan rakyat Malaysia yang kadangkala menggunakan kalimah dan terma Arab dalam perbualan harian.

Sebagaimana adanya teman-teman kita yang lazim menggunakan istilah Inggeris dalam ucapan, dan perihal itu bergantung kepada keselesaan dan penguasaan bahasa masing-masing.

Pembauran budaya dan Bahasa Arab dalam masyarakat Malaysia ini pada hemat penulis bukan benda baharu, banyak sebab dan musababnya. Adalah tidak tepat bagi Saudara Amin membuat telahan ianya satu fenomena baharu, terutama selepas Revolusi Iran 1979.

Datuk nenek kita dahulu berhibur dengan alunan indah ghazal, mengatur langkah tarian zapin dan memetik gambus. Bahkan ramai juga kemudiannya menggemari alunan lagu-lagu biduanita Arab Ummu Kalthoum.

Tulisan jawi pula tidak dapat dinafikan bahawa warisan dari Tanah Arab, sehinggalah kita beralih kepada tulisan rumi, yang juga bukan asalnya dari Tanah Melayu.

Kita juga sudah lama menamakan anak-anak dengan kalimah dan frasa Arab. Cuma penulis akui sejak akhir-akhir ini, seolah ada nama-nama anak Melayu itu lebih Arab dari Arab, penjangnya hingga membentuk ayat yang sempurna (jumlah mufidah).

Penulis mampu menerka kegusaran yang timbul disebabkan perkembangan mutakhir berkaitan dengan cara penampilan komuniti Melayu dan penggunaan istilah Arab (walau sebahagian kalimah itu direkodkan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka).

Tetapi yang harus dipertanyakan adalah apakah perkara ini isu pokok yang sebenar?

Sejauh mana hal ini menjadikan seseorang itu cenderung kepada ektremisme atau ketaksuban hingga terhakis hormat pada budaya lain?

Pada hemat penulis, apa yang wajib disanggahi adalah mentaliti mereka yang percaya untuk menjadi Muslim yang sempurna, seseorang itu mesti menjadi seorang Arab atau seirasnya.

Perkara ini termasuklah juga, cara fikir kumpulan yang melihat nilai keagamaan itu bergantung kepada kenampakan dan penampilan luaran semata.

Sebagaimana kalam hikmah Rumi, “Kebenaran sepenuhnya bersemayam di dalam hakekat, tetapi orang dungu mencarinya di dalam kenampakan.”

Untuk bertindak adil juga, kritikan wajar turut dilontarkan kepada mentaliti segolongan yang berpegangan untuk mencapai kemodenan dan kelihatan berdarjat, kita mesti menjadi ‘orang putih’, meniru secara buta tuli, tanpa menyaring secara kritis.

Barangkali perihal ini yang diistilahkan Almarhum Prof. Husein Alatas sebagai minda tertawan (captive mind: uncritical and imitative mind dominated by an external source, whose thinking is deflected from an independent perspective).

Saudara Amin mendakwa kini kurang kelihatan pemakaian pakaian tradisional di agensi kerajaan lantaran ramai yang memakai pakaian kearaban, pada hemat penulis adalah itu tidak berasas.

Pengalaman penulis yang pernah berkhidmat di jabatan kerajaan, suasana menunjukkan sebaliknya. Bahkan, pada setiap hari khamis penjawat awam mengenakan baju batik, apakah ini juga agenda ‘talibanisasi’?

Pada sisi lain pula, penulis kadangkala simpati dengan para pelajar sekolah yang diwajibkan mengenakan tali leher di kala suhu diluar mencecah lebih 35 darjah Celsius.

Tambah kasihan bagi sebahagian pelajar yang diwajibkan mengenakan blazer. Lebih lucu lagi apabila ada pelajar perempuan yang berbaju kurung, tapi turut mengenakan blazer. Maka apakah itu tidak menghakis nilai kemelayuan dalam seni pemakaian?

Bukan hasrat penulis membela agenda arabisasi atau menghentam proses pembaratan yang berlaku. Budaya itu sendiri sifatnya hidup dan bahasa pula ada kembaranya yang tersendiri.

Cuma mustahaknya, apa natijah seandainya masing-masing memaksa orang lain bertingkah laku, berpenampilan, bertuturkata menuruti kehendak kumpulan mereka sahaja?

Bukankah menjadi salah satu cita-cita negara Malaysia sebagaimana yang tertera pada prakata Rukun Negara untuk menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak?

Nilai kemalaysiaan ini tentunya tidak akan terjana jika ada pihak merendah-rendahkan citarasa budaya dan cara hidup anggota yang lain.

Penulis sekadar ingin mengajak kita mengenalpasti isu pokok yang lebih mendasar yang menimbulkan masalah sebagaimana diutarakan Saudara Amin (isu kod pemakaian yang dikenakan ke atas orang awam atau mengenakan halangan kepada bukan Islam untuk makan di khalayak ketika Ramadan).

Pastinya ia bukanlah semudah mengutuk proses pengaraban, lantas terus fahaman ekstrem dan melampau dalam kehidupan beragama dan kenegaraan akan terhapus dengan sendirinya.

Kegagalan kita mencari masalah sebenar akan hanya mengabsahkan lagi status kita sebagai masyarakat yang tertawan mindanya.

Almarhum Alatas perikan kita; “A captive mind is uncreative and incapable of raising original problems”. – 7 Julai, 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s