Home

Disiarkan secara atas talian di The Malaysian Insider  pada 25 Mac 2015

Oleh: Mukhriz Mat Rus

Sarjana undang-undang jenayah perbandingan, Prof. Kent Roach pernah menulis, dan dinukilkan di sini dalam bahasa asalnya iaitu; “the focus on crime has led to a ‘criminalization of politics’ in which criminal law reform has been offered as a symbolic and relatively cheap response to a broad range of social, economic and cultural problems”.

Pengenalan atau pindaan undang-undang jenayah yang lebih berat dan bengis dipersembahkan sebagai lambang keseriusan negara atau legislatif dalam membanteras sesuatu jenayah. Penekanaan pada isbat jenayah (criminal sanction) dan hukuman balasan ini turut diikat dengan sentimen, ‘tiada langkah yang paling efektif melainkan hukuman sahaja’.

Undang-undang jenayah dilihat sebagai minyak angin yang mujarab yang kononya mampu merawat ratusan penyakit sosial, ekonomi dan budaya. Maka kita lihat tatkala statistik jenayah meningkat atau ada laporan jenayah kejam di dada akhbar, maka berbondong-bondong politikus dan ahli masyarakat dengan pantas mengusulkan hukuman ditambah dan penguatkusaan yang lebih ketat.

Barangkali faktor ini juga mendorong kepada sesetengah yang dahulunya tidak menyokong undang-undang hudud kini beralih angin, tanpa menafikan faktor kepercayaan agama dan politik.

Undang-undang jenayah hakikatnya hadir setelah sesuatu tragedi jenayah dan keganasan berlaku, faktor-faktor berlakunya jenayah lebih wajar diletakkan di bawah kanta pembesar untuk dihadapi secara kolektif. Misalnya komitmen untuk menaikkan pendapatan isi rumah, pengukuhan institusi kekeluargaan, penambahbaikan langkah keselamatan dan penerapan nilai moral secara lebih menyeluruh.

Ada pihak yang berhujah akan keperluan undang-undang yang berat bagi menghalang dan menggerunkan hati mereka yang memiliki kecenderungan melakukan jenayah. Pada masa yang sama juga, mereka menyatakan, undang-undang tersebut sangat ketat dan sukar untuk mendapatkan sabitan. Dalam menjawab noktah ini, seorang ilmuan dan tokoh perundangan Islam, Abdullahi Ahmed An-Na’im dalam bukunya “Menuju Reformasi Perundangan Islam” memerikan:

“Salah untuk masyarakat mengekalkan undang-undang yang ia tidak berniat lagi untuk menguatkuasakannya kerana yang demikian akan menyebabkan orang menganggap undang-undang tidak lagi dapat menjadi panduan yang boleh dipercayai untuk menentukan perlakuan mana yang dibenarkan dan yang mana tidak dibenarkan. Untuk mengekalkan undang-undang tanpa ada niat untuk melaksananya berbahaya kerana ia membiarkan banyak ruang untuk mereka yang diserahkan tugas menguatkuasa undang-undang menyalahgunakannnya untuk kepentingan diri dan tujuan-tujuan lain yang menyeleweng”

Bukan hasrat penulis untuk menumpukan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (2015) sahaja tetapi juga mana-mana rang undang-undang yang sedang dimasak dan akan disajikan kepada rakyat di masa hadapan, termasuklah rang undang-undang pencegahan terrorisme.

Lewat ini, pada hemat penulis, adanya kecenderungan di kalangan ahli legislatif untuk melihat undang-undang jenayah adalah jawapan untuk segala masalah, tanpa (atau kurang) mempertimbangkan mekanisme lain bagi menghalang penyebab berlakunya jenayah.

Barangkali kerna ada pihak yang menanggapi penggubalan undang-undang jenayah yang berat adalah cara yang paling rendah kosnya. Misalnya, undang-undang mengenakan hukuman sebatan mandatori ke atas pendatang tanpa izin mungkin lebih murah perlaksaannya dari memperkemaskan proses kemasukan mereka ke negara ini atau memastikan pegawai penguatkuasa kekal berintegriti.

Sudah tiba masanya negara dan masyarakat mengurangkan kebergantungan kita terhadap hukuman dan undang-undang, tapi dengan melihat strategi alternatif selain menggunakan undang-undang jenayah. Setiap jenayah yang berlaku adalah kegagalan kita membendungnya bukan kegagalan menghukumnya. Saban waktu dulu di mahkamah, nukilan Kahlil Gibran ini pasti hadir di minda penulis tatkala majistret atau hakim usai membacakan hukuman ke atas tertuduh:

“Oftentimes have I heard you speak of one who commits a wrong as though he were not one of you, but a stranger unto you and an intruder upon your world. But I say that even as the holy and the righteous cannot rise beyond the highest which is in each one of you, So the wicked and the weak cannot fall lower than the lowest which is in you also. And as a single leaf turns not yellow but with the silent knowledge of the whole tree, So the wrong-doer cannot do wrong without the hidden will of you all.” – 25 Mac, 2015.

* Penulis adalah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini mengkaji tentang undang-undang jenayah dan keganasan.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s