Home

Disiarkan secara atas talian oleh The Malaysian Insider pada 18 Disember 2015

Oleh: Mukhriz Mat Rus

“Barang bila kami mati, usah cari makam kuburan kami di bumi, tapi carilah di hati-hati manusia” (Jalaluddin Muhammad Balkhi Rumi, 1207-1273)

 

Tanggal 17 Disember saban tahun, dunia memperingati pemergian tokoh kemanusiaan dan simbol kasih sayang sejagat iaitu Maulana Jalaludin Rumi. Dilaporkan lebih satu juta pengkagum Rumi dari seantero dunia yang terdiri pelbagai ras dan beragam keimanan berhimpun di Konya, Turki. Namun ternyata di Tanah Jawi atau Malaysia ini, Rumi seolahnya tidak pernah bertamu dalam hati-hati kita di sini.

Seingat penulis, perihal tentang tokoh besar Muslim ini tidak pernah dimasukkan dalam mana-mana buku teks persekolahan di Malaysia. Apatah lagi untuk kita mendengar sang khatib di mimbar Jumaat menukilkan sebarang sepatah bait karya Rumi. Bahkan karya terjemahan dalam Bahasa Malaysia juga tiada kelihatan di mana-mana rak kedai buku di sini. Apakah kita di sini terlalu jauh dengan karya-karya yang diangkat sebagai warisan kemanusiaan sejagat oleh Barat ini?

Acapkali kita terdengar suara-suara mengangkat kehebatan para Sultan Kerajaan Turki Uthmaniah atau kini, Presiden Recep Erdogan yang ditanggapi sebagai wira dunia Islam. Tapi seakannya, kita tercicir untuk menghargai sumbangsih hebat dari sang guru yang mengajar manusia untuk mengaitkan kecintaan kepada Tuhan dengan kecintaan kepada kemanusiaan.

Bait-bait titipan Rumi telah gagah menembusi tembok Barat sehingga dilantun-lantunkan oleh tokoh-tokoh politik, seniman dan penggiat industri hiburan, bahkan termasuk penyanyi Madonna dan dilafazkan dalam beberapa filem Hollywood. Rumi hingga kini masih dijulang sebagai ‘Best Selling Poet’ di Amerika Syarikat oleh beberapa pihak sejak 1990an. Namun di Malaysia ini, boleh jadi hanya arwah sutradara Yasmin Ahmad sekali pernah menyelitkan sepotong bait tentang cinta pertama dan Dato’ M.Nasir mengalunkan lagu ‘Bila Rumi Menari’

Barangkali umat Islam di sini agak gusar atau ragui akan ketulinan Islam Rumi. Benar, terdapat salah faham yang mengaitkan Rumi dengan aliran kerohanian bebas tanpa agama, dan aliran tasawuf yang dikatakan menyimpang. Namun ternyata anggapan itu agak jauh dari ketepatan. Tidak dinafikan, wujud telahan para orientalis dahulu bahawa pemikiran Rumi dipengaruhi neo-Platonic dan sebagainya.

Namun, sarjana barat kini telah mula mengakui bahawa ajarannya berpaksikan asas Al-Quran. Misalnya William Chittick telah gambarkan Rumi sebagai ‘the servant of the Quran’. Pada hemat beliau, keilmuan dan etika Rumi berakar dari Kitab Suci tersebut secara konsisten. Susuk ini juga selalu disalahanggap sebagai penyebar ajaran kerohanian yang bebas dari sebarang agama tatkala karya-karya dirinya mula diujai oleh mereka yang tidak berkongsi keimanan yang sama dengannya. Faktornya adalah risalah yang dibawa Rumi bersifat sejagat dan tema cinta yang mudah difahami. Bahkan menukilkan Rumi di Barat seolah menjadi sebahagian budaya pop seumpama kalam Gibran Khalil, Tagore dan Gandhi. Agak menarik juga bila dapati Mahatma Gandhi pernah memetik untaian kata oleh Rumi bila diujar persoalan; di mana seseorang itu boleh menemui Tuhan.

Berhubung dengan aliran tawasuf, harus juga diingati bahawa Rumi tidak pernah mendirikan mana-mana tarikat tasawuf secara khusus. Menurut Dr. Abdal Hakim Murad, pensyarah teologi dan pengajian agama di Universiti Cambridge, Rumi mengikuti aliran Maturidiyyah (juga Ahl Sunnah Wal Jamaah), yang mana turut dipegang oleh ajaran-ajaran tarikat yang ortodoks. Gaya penulisannya yang klasik, tema yang disampaikan dan elemen yang kurang kontroversi berjaya menarik perhatian pelbagai kumpulan tarikat untuk mendalaminya, terutama kepada kumpulan yang menghampiri aliran Ibn Arabi. Maka tidak adil jika sebarang tohmahan ke atas kumpulan-kumpulan ini turut dipalitkan kepada Rumi.

Tercicirnya karya-karya Rumi sebagai narasumber, adalah salah satu dari seribu dilalah pengabaian kita kepada aspek makna dan rasa dalam kehidupan beragama. Jika diamati kini, kehidupan beragama dan retorikanya di sini lebih berlegar akan isu halal haram, dan sah batal.

Agama yang dipersempitkan kepada perihal keundangan dan kesahan. Persoalan berkaitan fikah dalam ritual beribadat contohnya, lansung diperberat-beratkan mengatasi aspek kehadiran ketundukan jiwa dan tuntutan sosial disebaliknya. Rumi pernah gambarkan puasa dengan begitu indah bilamana perut kosong dan kita akan diheret untuk menyelami sudut dalaman diri mengatasi pergantungan kepada keenakan makan minum. Tapi sayangnya, kini kita lebih fokuskan kepada syarat sah dan perkara membatalkan puasa, dan kemudiannya melarat berbalah atas perkara remeh yang telah lama diperselisihi.

Masyarakat juga dewasa ini lebih teruja untuk meminta fatwa-fatwa untuk segala yang ada di atas muka bumi ini. Natijahnya juga, setiap kali terzahir kebejatan akhlak dan peningkatan jenayah, masyarakat pantas menghukum dan melihat segalanya adalah kerana undang-undang yang tidak mujarab.

Rumi tidak mengajar untuk sekadar memuja memuji sang kekasih dengan alunan syair Arab berama-ramai tanpa memahami makna kalimah-kalimah yang dilafazkan, tetapi Rumi melatih pengikutnya dengan cara hidup keilmuan dalam kebudayaan yang mengaitkan dengan matlamat agung kecintaan. Atas erti kata lain, bukan sekadar budaya untuk isi masa lapang tanpa diketahui hikmah tersirat di baliknya, atau juga hanya didorong dek perkiraan ganjaran tertentu selepas mati. Wajarnya kita merujuk kepada budaya yang menyuntik kesedaran diri, menyubur keilmuan dan rasa kemanusiaan yang mengatasi status sosial dan sudut pandang zahiriah semata.

Rumi mengajar kita untuk meletakkan kemanusiaan sejagat pada tempatnya dan menanggapi Tuhan secara inklusif, lantas membuka ruang kepada dialog dan seruan mensyurgakan dunia. Dalam suasana Malaysia kini, karya-karya warisan Rumi sewajarnya dimanfaati oleh semua agar kehidupan kita tidak menjadi tempang, atau kosong lantaran berleka dan berbangga dengan perlambangan lahiriah sahaja. Akhirnya, pesan Rumi;

“Kebenaran itu sebenarnya bersemayam pada hakikat (substansi), tapi orang dungu mencarinya dalam kenampakan

20140724_100609

Gambar oleh penulis ketika di Kompleks Rumi, Kota Konya

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s