Home

13023518_1213025018722481_1921605834_nDisiarkan dengan suntingan di Utusan Malaysia pada 7 Mac 2016 bertajuk, ‘Jangan Berbalah Tentang Keganasan’

Oleh : Mukhriz Mat Rus 

Wujud kecenderungan beberapa pihak kebelakangan ini untuk menuding jari secara umum kepada beberapa kumpulan minoriti tertentu dalam usaha melawan keganasan. Adalah amat mustahak untuk strategi melawan terorisme direncanakan melangkaui perbezaan fahaman agama dan pertelingkahan sektarian yang telah wujud zaman berzaman. Kenapa usaha lawan keganasan perlu mengelak dari menyasarkan kepada kelompok tertentu sahaja? Lima sebab utama ingin penulis kongsikan.

Pertamanya, fenomena terrorisme pada hakikatnya telah hadir dalam pelbagai bentuk dan sejarah telah merekodkan bahawa definisi kalimah ‘pengganas’ tidak pernah terhad kepada golongan tertentu. Tindakan keganasan itu dilancarkan oleh pelbagai kelompok manusia dari pelbagai latar belakang, ras, fahaman agama dan ideologi.

Golongan anarkis, pejuang anti-penjajahan dan komunisme pernah suatu ketika ditanggapi sebagai pengganas. Mutakhir ini pula, golongan pelampau agama terlibat dalam beberapa siri keganasan serata dunia. Sarjana David Rapoport menyifatkan era ini sebagai ‘religious wave’ dan menyenaraikan beberapa insiden yang melibatkan tindakan keganasan yang didorong oleh pemahaman agama yang melampau. Sebagai contoh, siri keganasan oleh rangkaian kumpulan Al-Qaeda, serangan pengganas Yahudi di Masjid Ibrahim dan pembunuhan Perdana Menteri Israel di negara itu, serangan gas sarin oleh kumpulan Aum Shinrikyo di Tokyo dan tindakan golongan pelampau agama di Myanmar.

Di samping itu, para pengkaji terrorisme turut merumuskan bahawa ‘pengganas’ boleh wujud dalam pelbagai wajah termasuklah sebagai sebuah negara, yakni bukan sahaja sebagai individu atau kumpulan manusia. Pandangan ini senada dengan penulisan Aristotle ketika menerangkan tentang kerajaan yang menggunakan jalan keganasan terhadap rakyatnya atau negara lain secara kejam. Kini pemerhatian turut dihalakan kepada aksi terrorisme yang dilakukan oleh badan korporat atau perusahaan kepada orang awam dan alam sekitar. Maka, adalah sangat dangkal jika usaha melawan terrorisme itu berlegar pada kumpulan kecil yang difikirkan berpotensi menjadi pengganas.

Sebab yang kedua, sejarah keganasan di Malaysia juga bersifat beragam bentuk dan pelbagai rupa. Kita pernah berhadapan ancaman pengganas komunis, tindakan mengejut kumpulan al-Maunah dan juga kumpulan pengganas di Lahad Datu. Mereka ini ternyata bukan dari aliran berfahaman Salafi atau pun Syiah yang sering dimomokkan bersifat melampau. Penulis tidak menafikan bahawa ancaman terrorisme peringkat global turut mempengaruhi suasana di Malaysia. Tapi faktor setempat juga tidak wajar diabaikan sewenang-wenangnya. Tiada kesimpulan mudah yang dapat dirumuskan dalam fenomena terrorisme yang sangat anjal sifatnya ini. Maka, strategi melawan terrorisme perlu melihat melalui kerangka yang besar dan bukan terperangkap dalam perbalahan sektarian dalam agama yang tak berkesudahan debatnya.

Ketiga, usaha melawan terorisme perlu bersifat objektif berdasarkan kerangka yang sah. Kent Roach seorang sarjana undang-undang keganasan antarabangsa mengenalpasti bahawa undang-undang terorisme di Malaysia ditentukan bersandarkan perbuatan kegansan yang dilakukan itu, tanpa membataskan definisi ideologi atau fahaman yang dianuti pengganas. Seksyen 130B (1) Kanun Keseksaan memberikan definisi yang jelas bahawa pengganas adalah golongan yang melakukan atau cuba melakukan perbuatan pengganas. Perbuatan pengganas pula dihuraikan dengan lebih terinci dalam Seksyen 130B(3).

Sememangnya terdapat beberapa kumpulan yang dikenalpasti dan diwartakan sebagai kumpulan pengganas samada di Malaysia atau agensi antarabangsa, tetapi tindakan tersebut dibuat secara spesifik dan bukannya secara umum berdasarkan aliran pemikiran. Misalnya dalam usaha menyekat penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan terhadap kumpulan-kumpulan tertentu. Maka, tindakan melawan keganasan yang menyasarkan mana-mana komuniti seperti komuniti Salafi dan Syiah yang wujud di Malaysia adalah dilihat tidak sejajar dengan kehendak undang-undang berkaitan terrorisme itu sendiri. Agensi yang dipertanggungjawab membasmi terrorisme perlu menonjolkan sikap neutral dan professional, tanpa ada prejudis terhadap mana-mana komuniti.

Manakala sebab yang keempat pula, strategi melawan terrorisme yang ditala kepada komuniti tertentu secara cuai akan hanya memakan diri. Tindakan sedemikian bukan hanya membantut usaha mengajak rakyat bersama-sama membendung keganasan bahkan hanya membangkitkan lebih ramai seteru dan penentang. Tindakan melawan keganasan yang menyeluruh dan holistik bukan hanya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang dan kecekapan pihak berkuasa semata-mata, tetapi juga mendambakan kepada penglibatan anggota masyarakat secara kolektif dan inklusif. Pendekatan berteraskan masyarakat ‘society-based’ dalam menentang terrorisme telah banyak mendatangkan hasil di seluruh dunia terutamanya dalam berhadapan dengan pengganas solo (lone-wolf terrorist). Oleh demikian, langkah melawan terrorisme tidak sepatutnya dipergunakan untuk menghentam mana-mana aliran kefahaman yang telah dipegang bukan sahaja di Malaysia, tapi di peringkat dunia.

Perkara mustahak yang perlu diperhatikan dalam tindakan melawan terrorisme adalah apakah faktor yang mendorong sesorang itu menyertai kumpulan pengganas, sedangkan teman-temannya yang berpegang kepada ajaran yang sama menjauhi atau mengutuk keganasan. Misalnya, ajaran Salafi telah lama berakar di Malaysia sejak zaman kebangkitan perjuangan Kaum Muda di serata tanah air. Persoalan yang perlu dipertanyakan, berapa ramai di kalangan mereka yang menyertai kumpulan pengganas, dan berapa ramai pula yang mengutuk keganasan? Bahkan jika diamati, kedapatan dari kalangan mereka yang bergiat aktif dalam demokrasi. Pendekatan yang sama juga wajib diambil terhadap dalam komuniti minoriti yang lain. Pengalaman negara barat yang acapkali mengambil tindakan serkap jarang terhadap komuniti Muslim di sana ternyata tidak memberi kesan yang efektif dan bahkan mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk organisasi hak asasi manusia.

Seterusnya sebab yang kelima, usaha melawan terrorisme melalui pendekatan agama sewajarnya bersifat merawat dan bukannnya mengeruhkan keadaan yang ada. Seorang tokoh ilmuan Islam Syakh Bin Bayyah menasihatkan semua pihak untuk menyelamatkan ‘bahtera kemanusiaan’ yang sedang terbakar. Setiap individu yang tampil membawa air untuk memadam api perlu diraikan.

Penetapan fatwa atau hukum agama terhadap sesuatu kumpulan pengganas tidak harus terhenti di situ sahaja. Usaha melawan terrorisme atau pemahaman pelampau dalam agama perlu meletakkan matlamat ke arah pemulihan dan mengajak mangsa yang terpengaruh itu kembali ke sisi masyarakat. Penulis pernah bersemuka dengan Fadel Soliman, seorang tokoh agama di United Kingdom yang giat terlibat dalam program pemulihan belia yang dipengaruhi golongan pengganas, beliau menyarankan agar para agamawan lebih mengutamakan matlamat untuk memujuk dan menguatkan daya tahan anak-anak muda dari mudah dihasut dakyah kumpulan pengganas agama. Tindakan menghukum semata atau mencela akan hanya menjauhkan mereka dan mengabsahkan naratif yang dijaja oleh kumpulan tersebut. Namun, cukup malang sekali sekiranya golongan cendekiwan agama yang terlibat dalam usaha melawan keganasan ini dilihat cenderung meniupkan api kebencian berbanding penerangan bersandar tradisi ilmu. Tindakan ini tidak ubah kumpulan pengganas agama yang mengambil pendekatan ‘takfir’ pada mereka yang tidak sealiran. Dua kali lima nampaknya.

Bukanlah menjadi hasrat penulis menafikan keperluan untuk memahami sifat, bentuk ideologi, struktur organisasi dan ancaman yang datang dari kumpulan pengganas tertentu dalam melaksanakan strategi menentang terrorisme. Ramai pengkaji terrorisme akur bahawa kita perlu mampu berfikir sebagaimana pengganas dalam usaha membenteras ancaman mereka. Namun, ia tidak bermakna kita perlu bertindak seperti mereka. Hakikatnya, pengganas telah mengecap kemenangan tatkala kita bertindakbalas di luar prinsip keadilan dan norma kemanusiaan dalam memerangi mereka. Martin Luther King Jr telah memerikan, “Kegelapan tidak mampu menewaskan kegelapan, tapi hanya cahaya yang mampu mengubahnya”.

 

PENULIS ialah tenaga akademik Universiti Utara Malaysia yang kini sedang mengkaji tentang undang-undang terrorisme di United Kingdom. Pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara (2008-2015) sebagai Timbalan Pendakwa Raya

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s