Home

Oleh : Mukhriz Mat Rus 

image010

Turut disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 23 Januari 2016 dengan beberapa pindaan di bawah tajuk ‘Jangan Pandang Remeh Ancaman Pengganas Solo’

Terdapat beberapa usaha para pengkaji terrorisme untuk memahami fenomena itu dengan mengkelaskan berdasarkan faktor masa, sifat dan latar politik dunia. Selain teori David Rapoport yang masyhur membahagikan keganasan antarabangsa kepada beberapa era iaitu; anarkis, nasionalis atau anti-penjajahan, kebangkitan kiri dan keagamaan, Mark Sageman dalam bukunya ‘Leaderless Jihad’ pula mengklafikasikan tiga gelombang utama dalam peringkat terorisme yang mempergunakan nama Islam.

Peringkat pertama adalah golongan yang terdiri dari pejuang perang Afghanistan yang melawan Soviet sekitar tahun 1980-an. Mereka terdiri dari pelbagai latar belakang dan bangsa meninggalkan tanah air masing-masing untuk menyahut ‘jihad’ melawan penjajahan Rusia. Antara tokoh yang terkenal ada alah Muhammad Abdullah Azam. Terdapat kritikan yang kuat menafikan pertingkat ini sebagai pengganas tetapi lebih kepada solidariti penentangan umat Islam terhadap penjajahan.

 Generasi kedua adalah mereka menyertai jaringan pengganas antarabangsa lingkungan tahun 1990-an. Mereka bergerak secara organisasi yang bersifat global seperti rangkaian Al-Qaedah pimpinan Usamah Bin Laden. Mereka turut melebarkan sayap samada secara penyumbangan dana atau ideologi kepada beberapa pergerakan terrorisme yang bersiafat serantau, seperti Jamaah Islamiyah di Asia tenggara. Bermula penjajahan Iraq oleh Amerika Syarikat, gelombang ini kian kepenatan dan semakin lemah menurut

Gelombang kebangkitan ketiga yang mula dikesan pasca penjajahan Amerika Syarikat di Iraq pada 2003 adalah bentuk baru terrorism dan ternyata sifatnya lebih berbeza. Terrorisme peringkat ini tidak lagi mengamalkan proses pengkaderan yang sistematik sebagai mana rangkaian global terdahulu, tapi lebih kepada proses membangkitkan sentimen para pemuda Muslim seluruh dunia untuk bersama menyertai kempen mereka. Internet adalah medan utama untuk dakyah mereka. Proses ini seringkali dirujuk sebagai ‘self-radicalisation’ atau proses radikalisasi sesorang individu yang berlaku secara ikhtiar sendiri tanpa ada proses pengkaderan yang terancang.

Proses radikalisasi ini dilaksanakan melalui seruan secara tidak lansung melalui media sosial atau forum-forum maya. Imej-imej grafik yang disebarkan bagi menggambarkan umat Islam kini tertindas dan menghadapi perang besar ‘the world against us’. Mereka tidak menawarkan pemahaman Islam mengikut tradisi ilmu. Sudut pandang berdasarkan sifir mudah politik dunia digunakan. Teks agama diambil secara literal dan selektif. Disebabkan tidak ramai dikalangan mereka yang memahami Al-Quran, maka mereka memiliki kecenderungan untuk mengambil dasar-dasar yang mudah difahami tanpa merujuk kepada warisan ilmuan terdahulu yang berbahas secara komprehensif. Segala yang dilihat tidak selari dengan ‘Islam’ versi pemahaman mereka, akan dikafirkan. Selain itu teori konspirasi Yahudi dan sebagainya mengasuh mereka menjadi lebih paranoid dengan segala apa yang berlaku. Tidak hairan juga ada yang mengaitkan keadaan mental sebagai bermasalah. Mereka inilah yang acapkali dikenali sebagai ‘leaderless jihad’ atau ‘lone-wolf’, pengganas sendirian.

Pengganas ‘Serigala Sendirian’

Pengganas bergerak solo begini akan melaksanakan serangan secara sendirian atau kumpulan kecil di mana-mana sahaja seluruh dunia. Mereka tidak pernah dilatih secara lansung atau hadir di mana-mana kem latihan sebagaimana para pengganas generasi pertama dan kedua. Bahkan ada di antara mereka yang lansung tidak pernah kenal siapa pimpinan mereka, terdapat juga kes di mana orang yang dianggap pemimpin lansung tiada kaitan secara lansung dengan mana-mana kumpulan pengganas. Namun mereka berkongsi sentimen dan pandang alam yang sama, selain ‘wehdatul-ghayah’ iaitu kesatuan matlamat. Cita-cita dan objektif disemarakkan melalui interaksi di internet dan sebagainya. Namun bagi setiap serangan, kumpulan pengganas seperti kumpulan yang menamakan diri mereka Islamic State pasti akan mengambil tanggungjawab. Mengakui sesuatu serangan sebagai angkara mereka adalah merupakan satu taktik propaganda bagi mempamirkan kekuatan mereka di mata masyarakat global. Dilaporkan oleh media bahawa kumpulan pengganas IS kini telah menyebarkan satu panduan khas untuk pengganas solo sebegini dan telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Malaysia tidak terlepas daripada menerima badai gelombang ketiga terrorisme yang mengatasnama Islam ini. Biarpun tiada serangan berskala besar yang boleh dikaitkan dengan angkara pengganas ‘lone-wolf’ ini, tetapi beberapa perkembangan mutakhir kini mula menunjukkan kecenderungan perkembangan fenomena itu. Misalnya, seorang wanita yang telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2014 kerana cuba berangkat ke Syria bagi bernikah dengan seorang pejuang IS di sana. Ketika mengaku salah, tertuduh telah mengakui mengenali lelaki itu melalui laman Facebook. Begitu juga dengan beberapa tangkapan dan pertuduhan di mahkamah ke atas beberapa suspek pengganas yang memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas atau aksi keganasan. Beberapa bahan berupakan risalah atau penerbitan dalam bentuk salinan lembut (soft-copy) dan dipercayai diperolehi secara atas talian.

Undang-Undang Jenayah Menentang Terrorisme

Undang-undang jenayah secara kelazimannya hadir memainkan peranan setelah malapetaka berlaku dan lebih bermatlamat menghukum para pelaku. Misalnya dulu, anggota kumpulan Al-Maunah yang terlibat dalam insiden di Sauk, Perak dipertuduhkan di mahkamah dan dihukum atas tindakan keganasan mereka.

Menunggu sehingga kejadian keganasan berlaku dan mengambil tindakan kepada pembuat onar itu adalah langkah terlambat. Perbicaraan di mahkamah mungkin boleh memberi melunaskan keadilan tetapi tidak mampu mengembalikan nyawa mangsa yang gugur dalam tragedi keganasan.

Tahanan pencegahan selalu dipergunakan untuk menghadapi ancaman sebegini. Bagaimana pun sejak akhir-akhir ini, terdapat anjakan paradigma di pihak kerajaan untuk beralih kepada pendekatan mendakwa suspek pengganas di mahkamah atau ‘prosecution-based approach’.

Maka, undang-undang jenayah telah diregangkan bagi berfungsi mengekang perbuatan-perbuatan yang merintis jalan kepada tindakan keganasan atau diistilahkan sebagai ‘incoete offences’. Pendekatan pencegahan melalui pendakwaan di mahkamah ini memberi ruang kepada suspek-suspek untuk dibicarakan dan membela diri.

Dalam mengekang pengganas bercitra ‘serigala sendirian’ ini, beberapa undang-undang dilihat releven. Misalnya Seksyen 130FA Kanun Keseksaan menjadikan kesalahan jenayah untuk perbuatan menerima arahan, atau setuju untuk menerima arahan dari mana-mana kumpulan pengganas atau mana-mana orang yang terlibat atau menyediakan persiapan untuk melakukan tindakan terrorisme. Perbuatan jenayah ini boleh dikenakan hukuman pemenjaraan wajib sehingga 30 tahun atau juga boleh didenda. Seksyen 130FB (j) pula meletakkan kesalahan ‘mencadangkan atau menghasut mana-mana orang untuk melakukan apa-apa tindakan keganasan’ sebagai satu jenayah.

Berhubung dengan penggunaan sosial media sebagai alat untuk menggalakkan keganasan. adalah menjadi kesalahan jenayah untuk seseorang mempromosi atau menggalakan apa-apa tindakan keganasan melalui media itu. Undang-undang ini baru diperkenalakan tahun lalu melalui pindaan Kanun Keseksaan yang memasukkan Seksyen 130J(k). Memiliki bahan yang berkaitan pengganas juga adalah satu jenayah kini.

Sebagaimana yang acapkali disarankan oleh para pengkaji dan pakar counter-terrorisme, ancaman keganasan perlu dihadapi dengan strategi yang menyeluruh dan holistik, yakni tidak hanya bergantung kepada undang-undang semata. Harus juga kita akui bahawa golongan pengganas ‘lone-wolf’ juga merupakan mangsa dan proses pemulihan wajar diteliti.

Pendekatan bersandarkan kepada penyertaan masyarakat ‘community-based’ juga amat wajar diperhalusi, terutama dalam menghadapi ancaman dari pengganas sendirian ini. Banyak kes telah dibuktikan di mana tindakan keganasa berjaya dihalang dengan penglibatan ahli masyarakat yang cakna dan prihatin. Misalnya, satu plot tindakan keganasan oleh sepasang remaja kembar wanita di Maghribi yang merancang untuk meletupkan diri di bangunan Parlimen negara itu pada 2003. Perancangan dipatahkan dengan bantuan seorang tenaga pengajar agama di masjid yang dihadiri oleh mereka telah menghubungi pihak berkuasa tatkala mengesan tindak tanduk dan soalan-soalan pelik yang diajukan terutama berhubung jihad dan aksi meletup diri. Tindakan menfatwakan pengharaman kumpulan IS adalah satu tindakan yang bagus, tapi langkah susulan perlu juga digambling oleh semua pihak termasuk para agamawan dan ahli masyarakat yang lain. Beban ini tidak sewajarkan hanya diletakkan pada pundak pihak Polis Di Raja Malaysia sahaja.

Fenomena ‘lone-wolf’ terrorisme ini adalah produk kondisi masyarakat kita. Golongan ini secara tidak lansung tersisih dari masyarakat samada disebabkan oleh faktor ekonomi, sosial dan sebagainya. Hakikatnya, mereka adalah mangsa pengabaian masyarakat dan barangkali lebih tepat untuk gambarkan mereka sebagai biri-biri sendirian bukannya serigala, sebagaimana dalam sabdaan junjungan mulia, ‘Sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya’. Dalam konteks ini, pengganas adalah pemangsa yang menerkam ahli masyarakat yang lemah. Fenomena ini bukan suuatu yang baharu tapi personaliti wujud dalam sedari dulu. Barangkali perihal individu begini yang cuba diselami oleh sasterawan Rusia, Fyidor Dostoyevsky melalui karya agung yang ditulisnya pada 1864 iaitu, ‘Notes from Underground’ yang dimulakan dengan;

“I am a sick man…I am an angry man. I am an unattractive man. I think there is something with my liver. But I don’t understand the least thing about my illness, I don’t know for certain what part of me is affected…”

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s