Home

Walaupun tiada definisi tuntas dan disepakati pakar dan pengkajinya, terrorisme atau keganasan acapkali ditakrifkan sebagai ‘penggunaan kekerasan atau ugutan secara salah atau tidak sah bagi mencapai cita-cita politik’. Sebahagian pengkaji terrorisme memasukkan elemen tambahan, seperti tujuan aksi keganasan dilakukan adalah bagi menimbulkan ketakutan atau menarik tarikan masyarakat umum.

            Begitu juga mengenai sasaran utama perbuatan kekerasan. Sebahagian pakar terrorisme berpandangan sasaran utama aksi keganasan bukanlah mangsa yang dibunuh atau diserang, tetapi masyarakat umum yang melihat dan bertindakbalas. Dalam kebanyakan kes terrorisme, individu-individu yang menjadi mangsa tidak dikenali pengganas, atau lebih tepat, mereka disasarkan secara rawak.

            Dunia telah digemparkan dengan kejadian serangan tembakan di sebuah kelab malam di Orlando, Amerika Syarikat yang mengorbankan 50 nyawa. Penyerang solo yang dikenalpasti adalah Omar Mateen, seorang warganegara Amerika Syarikat yang berusia 29 tahun. Pelbagai spekulasi dan andaian yang dibuat berhubung motif serangan. Berdasarkan laporan media dan kenyataan rasmi kerajaan, penyerang dikatakan menzahirkan ketaat kepada kumpulan pengganas Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). ISIS beberapa jam kemudian mendakwa bahawa Omar adalah ‘pejuang’ mereka. Namun dakwaan tersebut diragui pelbagai pihak. Kumpulan pengganas itu dipercayai sekadar mengambil kesempatan atas serangan yang berlaku untuk tujuan propaganda mereka, seperti yang sering kali dilakukan. Tragedi berdarah ini turut dikaitkan dengan sentimen homofobia, memandangkan penyerang menyasarkan sebuah kelab yang dikunjungi golongan homoseksual. Perihal ini tidak boleh disangkal, sebagaimana ideologi dan tindakan terrorisme sebegini juga sering dikaitkan sifat ekstmisme yang lain sentimen anti-semitik. Kebencian tanpa ragu membawa kebencanaan.

            Selang beberapa hari, United Kingdom pula dikejutkan dengan pembunuhan kejam seorang ahli Parlimen, Jo Cox. Mendiang ditikam dan ditembak dengan senjata buatan sendiri oleh seorang lelaki di Birstall berhampiran bandar Leeds. Suspek utama adalah seorang lelaki bernama Tommy Mair, berusia 52 tahun. Cox adalah seorang politikus muda, namun penglibatannya dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bukan perkara baharu. Beliau adalah aktivis keadilan sosial, anti-perang dan feminisme yang teguh pendirian, turut memperjuangkan kepentingan pelarian-pelarian Syria. Ketika sidang Parlimen awal tahun lalu, mendiang membangkitkan isu berkaitan Palestin. Dengan posisi dan prinsip begitu, pastinya ada golongan yang kurang senang denganya. Termasuklah golongan pelampau kanan (far-right) di Britain.

             Pada hemat penulis, ada beberapa persamaan signifikan antara dua tragedi ini, biarpun kedua-dua berlaku di negara yang berbeza lanskap politik dan sosialnya.

            Pertama, kedua-dua serangan melibatkan pengganas solo atau ‘lone-wolf terrorist’. Barangkali Omar ternyata lebih ditonjol sebagai pengganas, berbanding Mair. Perkara ini dapat diamati dalam liputan media dan kenyataan rasmi di Amerika Syarikat. Misalnya Presiden Barrack Obama menerusi ucapan khasnya, menerka kejadian di Orlando sebagai ‘act of terror’ atau tindakan keganasan. Seperti kelazimannya, Presiden Obama akan berwaspada dalam kata-katanya dan mengelak dari menggunakan istilah ‘Islamic terrorism’ dalam memberi respon terhadap sebarang peristiwa keganasan.

            Ironisnya, label pengganas kepada penyerang hampir tidak kelihatan di mana-mana laporan media untuk serangan ganas di Yorkshire, United Kingdom. Jika definisi ringkas yang diutara pada awal tulisan ini digunapakai, pastinya penyerang wajar ditanggapi sebagai pengganas. Media tempatan melaporkan bahawa saksi-saksi yang berada di tempat kejadian menyatakan bahawa penyerang melaungkan ‘Britain First’ beberapa kali ketika kejadian berlaku. ‘Britain first’ merupakan slogan kumpulan pelampau kanan di Britain dan sebuah organisasi ditubuhkan menggunakan frasa tersebut. Mereka lantang menyuarakan penentangan terhadap dasar-dasar yang berunsur pelbagai budaya (multi-cultural) oleh kerajaan dan parti politik utama di United Kingdom. Mereka membantah polisi berhubung kemasukan pendatang dan pelarian, juga amalan-amalan masyarakat minoriti Muslim yang dilihat sebagai ancaman terhadap nilai ‘British sejati’. Selain itu, Southern Poverty Law Center turut mendedahkan beberapa dokumen yang menunjukkan hubungan suspek, Mair dengan kumpulan berfahaman neo-Nazi, National Alliance yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Suspek turut membeli satu buku manual untuk membikin pistol dari pertubuhan yang memperjuangkan kekuasaan kulit putih itu. Media tempatan juga melaporkan bahawa Mair juga melanggan majalah S. A. Patriot, terbitan kumpulan pro-apartheid di Afrika Selatan.

            Maka sekiranya Omar dianggap pengganas kerna berpegang kepada ideologi kumpulan pengganas ISIS, maka adalah wajar untuk suspek pembunuhan Cox dikelaskan sebagai pengganas mengambilkira ideologi yang dianuti. Adalah tidak keterlaluan jika kita garapkan fakta dan maklumat yang ada bahawa motif serangan adalah disebabkan prinsip perjuangan Cox yang dilihat bercanggah dengan ideologi suspek.Perihal yang sama dengan Omar, dia menyasarkan tindak keganasannya terhadap golongan yang menjalani kehidupan bercanggah dengan ideologinya. Bayangkan jika Mair adalah seorang Muslim atau imigran, bahan berkaitan pengganas ada bersamanya. Pasti label terrorisme itu muncul lebih pantas dari ambulans yang tiba untuk selamatkan mendiang Cox pada hari yang malang itu.

            Menyedari hakikat itu, Yayasan Quilliam telah menyeru kepada pihak media agar menanggapi pembunuhan Cox ini sama seperti mana mereka lazim melaporkan tindakan ‘jihadist terrorism’ sebelum ini. Seruan lanjut badan pemikir yang ditubuhkan bagi menentang terrorisme di United Kingdom dinukilkan dalam bahasa asal:

 ‘We call on society to expose, isolate and challenge all extremist ideologies and narratives for what they are. And we call on states to continue tackling extremism of all kinds, with consistency and urgency. Within a week of the jihadist terrorist attack in Orlando, we must remember the negative symbiosis between Islamist and far right extremism, and the atmosphere that both extremism create which is conducive to terrorism of any kind. Social polarisation, intolerance and acts of violence are rising across the world and cannot be seen in isolation from the predominant extremist ideologies and narratives’.

            Namun persoalan yang timbul, bagaimanakah Omar dan Mair harus dianggap pengganas jika mereka bukan ahli atau tidak pernah dilatih oleh pertubuhan pengganas?

            Dalam kejadian di Orlando, ISIS mendakwa Omar adalah pejuang mereka, namun dakwaan ISIS adalah diragui. Di samping itu, kata-kata ‘bai’ah’ atau pengistiharaan ketaatan yang dibuat oleh Omar juga menunjukkan bahawa dia bukanlah seorang yang terlatih atau mendapat panduan rapi. Di United Kingdom pula, pertubuhan Britain First menafikan sekeras-kerasnya bahawa suspek Mair ada perkaitan dengan mereka. National Alliance pula sekadar menjual panduan untuk tujuan mengutip dana tanpa menawarkan latihan. Dua situasi ini membawa kebarangkalian bahawa kedua-dua individu ini tidak mendapat latihan lansung dari kumpulan-kumpulan pelampau.

            Begitulah fenomena yang dinamakan oleh pengkaji terrorisme sebagai ‘lone-wolf terrorism’, ‘leaderless jihad’ dan keganasan solo. Pengganas solo adalah individu yang melakukan tindak keganasan sebagai sokongan terhadap mana-mana kumpulan, pergerakan dan ideologi. Bagaimanapun, individu terbabit tidaklah mendapat arahan secara lansung atau sebarang bantuan material dari kumpulan terbabit dalam menjalankan tindak nekad itu.

            Pakar keganasan, Brian Jenkins lebih gemar menggunakan istilah ‘stray dog’ atau anjing berkeliaran dalam menggambarkan pengganas solo yang tidak terlatih ini, namun mereka tetap berbahaya. Kumpulan pengganas atau ideologi pelampau pula bertindak sebagai pemberi inspirasi dan penawar jutifikasi moral kepada pengganas solo. Pengganas solo kini terdedah kepada propaganda pengganas yang mudah didapati di internet. Di negara kita misalnya, beberapa individu telah ditahan dan dituduh di mahkamah kerana memiliki bahan berkaitan pengganas yang dimuat turun dari internet. Tertuduh-tertuduh boleh dijatuhkan hukuman pemenjaraan tidak melebihi tujuh tahun atau didenda jika disabitkan di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan.

            Satu lagi persamaan ketara adalah kedua-dua pengganas solo ini menghidapi atau rentan kepada penyakit mental. Menurut saudara Mair, abangnya mempunyai sejarah penyakit mental. Keadaan psikologi Omar juga dilaporkan bermasalah. Pada bulan Mei lalu, kajian pihak Polis Britain melalui projek Channel mendedahkan bahawa 44 peratus dari 500 kes radikalisasi adalah melibatkan individu-individu rentan terhadap masalah mental dan psikologi. Manakala, sejumlah 15 peratus lagi turut memberi indikasi yang sama serupa, namun kajian lanjut diperlukan. Professor Kamaldeep Bhui, pakar psikiatrik dan epidemiologi di London memerikan:

In mental health services, there exists a special concern that people with poor psychological health and psychiatric difficulties are particularly vulnerable to exploitation and persuasion, especially if they are additionally distressed and isolated and should come into contact with nefarious, infectious terrorist ideology. 

            Dari dua insiden ini, kita pelajari bahawa fenomena pengganas solo adalah produk ketakutan, rasa terancam dan kebencian yang menular dalam masyarakat. Pengganas pula mengambil kesempatan secara lansung atau tidak ke atas golongan rentan dan tertekan yang memerlukan rawatan semerta dan perhatian keluarga dan masyarakat. Lebih kejam lagi apabila ada kumpulan pengganas yang sanggup menggunakan remaja sindrom Down untuk membawa bom ke tempat awam seperti yang direkodkan oleh Andrew Hosken dalam bukunya ‘Empire of Fear: Inside the Islamic State’.

            Baru-baru ini di Malaysia, seorang lelaki yang mengalami gangguan mental telah didakwa di mahkamah kerana membuat serangan di sebuah tempat ibadat di Ipoh. Perbicaraan masih sedang berjalan ketika rencana ini ditulis. Begitu juga kes ‘amuk’ di Putrajaya suatu ketika dulu yang mana melibatkan tertuduh wanita yang menghadapi masalah mental. Dalam situasi ini, kita tidak mampu bergantung sepenuhnya kepada undang-undang jenayah semata. Pertama, ketidakwarasan adalah satu dalihan dalam tindakan jenayah. Kedua, menghukum golongan ini sekiranya didapati bersalah tidak manfaat terbaik kepada mereka dan juga masyarakat. Proses rawatan, pemulihan dan nyah-radikalisasi amat mustahak demi membendung dan melawan keganasan.

Menghadapi fenomena itu menuntut komitmen dan kecaknaan setiap anggota masyarakat untuk bertindak secara rasional dan menyeluruh. Tindakan keganasan walau atas apa alasan atau sebesar mana pun sekali pun, berbahaya untuk kita semua. Sebagaimana diungkapkan dalam pesanan terakhir mendiang Cox yang diluahkan oleh suaminya:

‘Dia (mendiang Cox) cuma mengharapkan dua perkara mengatasi segala-galanya, pertama, agar anak-anak kami dilimpahi dengan kasih sayang, dan yang kedua, agar kita semua bersatu menentang kebencian yang telah membunuhnya…Kebencian tidak mempunyai kepercayaan, bangsa atau agama, kebencian itu beracun’

PENULIS ialah mantan Timbalan Pendakwa Raya (2008-2015) dan kini merupakan tenaga akademik Universiti Utara Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD dalam bidang undang-undang jenayah dan keganasan di University of Leeds, United Kingdom.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s