Home

cs3_0v0xyaaqfz2

Disiarkan  di Utusan Malaysia pada 21 September 2016

 

USAHA membanteras keganasan atau terrorisme menuntut kepada strategi yang menyeluruh melibatkan pelbagai upaya dari segenap segi. Selalunya, mana-mana kerajaan di dunia ini mengambil beberapa pendekatan termasuk tindak balas reaktif terhadap peristiwa terrorisme yang berlaku di negara sendiri atau memperkenalkan undang-undang baharu berdasarkan kaedah ‘trial and error’ dalam berhadapan fenomena berwajah baharu ini.

Barangkali bagi negara kita, pengalaman berdepan dengan pengganas komunis suatu ketika dulu wajar dimanfaatkan dalam merencana strategi membanteras terrorisme secara komprehensif. Satu kaedah yang lazim diguna pakai kebanyakan negara bagi melawan terrorisme adalah menggunakan undang-undang jenayah dan sistem pengadilan­nya yang sedia ada dalam struktur perundangan masing-masing.

Di United Kingdom misalnya, pendekatan yang dinamakan ‘Polisi Berasaskan Pendakwaan’ (Prosecution-based Policy) sudah lama menjadi teras kepada strategi membanteras keganas­an. Polisi ini dikatakan sebagai pendekatan yang lebih rasional dalam mengimbangi kepen­tingan keselamatan negara dan hak-hak peribadi warganegara. Polisi sebegini secara dasarnya jauh berbeza dengan pendekatan ‘war on terror’ yang digagaskan Amerika Syarikat, iaitu melayani suspek pengganas sebagai musuh perang. Contoh jelas, penahanan di Teluk Guantanamo tanpa bi­cara.

Saranan menggunakan undang-undang jenayah dalam melawan, membendung dan mencegah aktiviti-aktiviti berkait keganasan turut dipelopori oleh badan-badan antarabangsa termasuklah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Semua negara digesa untuk menjenayahkan (to criminalise) perbuatan-perbuatan tertentu bagi tujuan mengekang tindakan keganasan, termasuklah perbuatan memberi sokongan fizikal dan kewangan kepada kumpulan pengganas.

Dalam konteks rantau ini, negara-negara ASEAN telah menandatangani Konvensyen Tentang Pembanterasan Terrorisme (2007) bersepakat membawa mereka yang membiayai, merancang, menyediakan atau melaksanakan kegiatan keganasan ke muka pengadilan.

Selari dengan perkembangan di peringkat antarabangsa itu, Malaysia dilihat mula mengoptimumkan penggunaan wadah keadilan jenayah dalam menghadapi ancaman pengganas. Perihal ini tercermin jelas selepas pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA)(1960) oleh kerajaan. Ini disusuli dengan pindaan Kanun Keseksaan yang menjenayahkan perbuatan-perbuatan berkaitan sokongan dan latihan pengganas.

Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan ‘Kertas Putih Ke Arah Menangani Ancaman Islamic State’ di Parlimen dulu menjelaskan pendekatan kerajaan dalam isu ini.

Beliau berkata: “Dalam menghadapi ancaman ini, telah sampai masanya bagi kerajaan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengekang pengaruh Daesh. Ini sejajar dengan tindakan negara-negara lain yang mana memperkenalkan dan memperkemaskan undang-undang anti keganasan sebagai jalan utama menangani ancaman pengganas. Sehubungan itu, Kertas Putih itu mencadangkan satu undang-undang baharu yang sesuai digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas. Kerajaan bercadang membentang rang undang-undang ini pada sesi Parlimen akan datang. Selain itu, Kertas Putih ini juga mencadangkan pemerkasaan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah atau POCA dan Kanun Keseksaan, khusus bagi menangani ancaman pengganas dan militan.”

Di sebalik kritikan terhadap pelaksanaannya, pengenalan SOSMA dilihat telah membuka ruang lebih besar kepada suspek-suspek kes berkaitan keganasan dibawa ke mahkamah untuk diadili. Pada awal 2016, dimaklumkan bahawa sejumlah 110 kes di bawah SOSMA didaftarkan bagi tahun 2015 sahaja.

Berbanding zaman penguatkuasaan ISA, hak-hak suspek untuk dibicarakan dan membela diri kini dilihat lebih terjamin. Sebagai satu contoh, pendakwaan suspek bernama Yazid Sufaat. Dia ialah bekas tahanan ISA yang turut disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan pergerakan pengganas Al-Qaeda berdasarkan Resolusi No. 2161 (2014). Pada awal 2013, dia ditahan di bawah SOSMA dan kemudiannya didakwa di mahkamah bagi kesalahan berkaitan keganasan di bawah Kanun Keseksaan.

Prosiding perbicaraan berlangsung separuh jalan setelah dia mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif yang ditawarkan oleh pendakwaan, susulan representasi yang diutuskan peguam­nya. Situasi begini pastinya agak jarang didapati pada zaman ISA berkuat kuasa.

Kenapa usaha membasmi ke­ganasan melalui sistem pengadilan jenayah wajar diberi keutamaan? Penulis rumuskan hujah yang diutarakan oleh beberapa pakar undang-undang jenayah dan keganasan.

Pertama – Undang-undang jenayah bersifat anjal sebagai usaha pencegahan dan bukan sahaja berguna setelah satu peristiwa keganasan berlaku. Pendakwaan boleh dikenakan ke atas mereka yang menyumbang dana kewang­an atau merekrut ahli baru sebelum berlakunya sesuatu malapetaka.

Kedua – Undang-undang jenayah mampu bertindak secara lebih luas sasarannya, dan bukan hanya tertumpu kepada mana-mana kumpulan berdasarkan ras atau ideologi. Undang-undang jenayah secara asasnya menumpukan kepada perbuatan keganasan itu sendiri. Wajah dan ideologi pengganas silih berganti mengikut peredaran zaman, tapi aksi-aksi keganasan itu tetap sama dan itulah yang akan dihukum. Ancaman terrorisme, bukan hanya terhad kepada jaringan pengganas global, bahkan anasir dari dalam negara.

Ketiga – Tindakan melalui sistem pengadilan di mahkamah ke atas suspek kes berkaitan keganasan dapat menjamin hak-haknya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang, termasuklah hak untuk perbicaraan yang adil dan diwakili peguam, sebagaimana dalam kes-kes jenayah lain. Anggapan ‘innocent till proven guilty’ (tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah) yang menjadi teras undang-undang jenayah juga terpakai buat suspek kes-kes berkaitan keganasan.

Keempat – proses menjadikan perbuatan berkait terrorisme sebagai kesalahan jenayah dan mendakwa suspek di mahkamah mampu bertindak sebagai satu bentuk ‘denunciatory’ (kutukan)terhadap fenomena terrorisme dari pihak negara. Dalam hal ini, undang-undang jenayah bukan sekadar berperanan menghukum, tapi bertindak memberi isyarat kepada masyarakat untuk menjauhkan diri terrorisme.

Tindakan membanteras terrorisme melalui pemerkasaan undang-undang jenayah pastinya bukan sekadar menjalankan pro­ses penggubalan undang-undang khusus untuknya dan menghukum si pesalah. Namun ia adalah satu usaha mencari keseimbangan dalam tindak balas yang praktikal dan adil.

Melawan keganasan perlu efektif tanpa mengorbankan nilai-nilai perlembagaan, norma-norma antarabangsa dan prinsip-prinsip kemanusiaan. Sebagaimana pesanan bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan – “Andai kita musnahkan hak-hak insani dan kedaulatan undang-undang (rule of law) dalam tindak balas terhadap terrorisme, maka ter­nyata mereka (pengganas) sudah berjaya”.

PENULIS ialah calon Ph.D jurusan undang-undang jenayah dan keganasan di University of Leeds, United Kingdom. Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya (2008-2015) dan kini berkhidmat di Universiti Utara Malaysia.

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s