Home

img-20161222-wa0011
Disiarkan  di Utusan Malaysia pada 22 Disember 2016

‘Penyelesaiannya bukan bergantung kepada sebesar mana angkatan tentera ditempatkan dalam hutan, tapi terletak pada hati dan minda rakyat’ – Itu adalah terjemahan kata-kata bekas Pesuruhjaya Tinggi Bri­tish di Malaya, Sir Edward Templer ketika berdepan pembe­rontak Komunis di Malaya ketika darurat 1948 hingga 1960.

Pendekatan tersebut acapkali dirujuk sebagai winning hearts and minds atau memenangi hati dan minda, menjadi subjek kajian para sarjana dulu hingga sekarang. Mi­salnya, Riley Sunderland yang menulis Winning the Hearts and Minds of the People: Malaya 1948-1960 (1964) dan Paul Dixon dalam bukunya The British Approach to Counterinsurgency: Hearts and Minds from Malaya to Afghanistan (2012). Pendekatan tersebut turut dihujahkan telah mempengaruhi strategi beberapa negara dalam menangani ancaman keganasan dulu dan kini.

Pendekatan memenangi hati dan minda sering digambarkan sebagai strategi menyeluruh yang melibatkan segenap aspek dan lapisan masyarakat. Ia ­menyentuh aspek sosial, ekonomi dan politik rakyat keseluruhan. Sebagai contoh, tindakan penyusunan semula masyarakat melalui Rancangan Brigs dan usaha menarik masyarakat untuk ikut serta membanteras pengganas Komunis ketika itu.

Pengarah Operasi British di Malaya pada 1954 ­melaporkan bahawa Rancangan Briggs berjaya mengurangkan sera­ngan pengganas. Penubuhan pasukan Home-Guard yang melibatkan penyertaan orang awam dalam memelihara ke­selamatan juga disebut sebagai salah satu faktor. Lantaran itu, pengajaran utama yang boleh kita manfaatkan daripada pendekatan hati dan minda lalu adalah kejayaan melawan keganasan bukan bergantung kepada kekuatan pihak keselamatan semata-mata, tetapi turut ditentukan oleh penglibatan aktif masyarakat. Bagaimanapun, pendekatan hati dan minda tidak wajar dirujuk secara semberono. Beberapa aspek mustahak perlu diberi perhatian dan pe­ngubahsuaian terhadap pendekatan itu amat diperlukan. Penulis garapkan tiga perkara pokok dari aspek sasaran, pelaksana dan pendukung, dan keadaan semasa.

Aspek pertama dari sudut sasaran. Negara ini tidak lagi berdepan dengan pengganas yang sama sifatnya dengan Komunis. Pemberontak Komunis dahulu lebih bersifat tempatan dan matlamat politik nasional. Biarpun mereka didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan peringkat antarabangsa, namun keterangan yang ada menunjukkan hubungan itu sangat terhad.

Pengganas yang sedang dihadapi negara kini bersifat antarabangsa. Era internet dan media komunikasi sosial menjadikan pergerakan mereka lebih sukar dibaca dan jaringan mereka menjangkau sempadan negara. Kemun­culan fenomena seumpama pengganas lone-wolf kini pastinya berbeza berbanding proses pengkaderan anggota pemberontak Komunis dulu. Bahkan ada dalam kalangan pengganas sekarang tidak mendapat arahan dan bantuan langsung daripada mana-mana organisasi secara khusus, namun melancarkan tindakan keganasan selari dengan kehendak pengganas antarabangsa. Semua ini menuntut kepada strategi baharu agar segala usaha membanteras berkesan dan bukannya bergurindam di tengah hutan.

Aspek kedua pula dilihat dari perspektif penggerak dan pelaksana agenda membanteras keganasan. Berbanding dulu, pendekatan hati dan minda dipelopori oleh British yang bertungkus lumus mendapatkan sokongan penduduk untuk terus kekal di Tanah Melayu. Jadi, usaha hati dan minda juga bertindak sebagai saranan untuk membungkam segala tindakan anti-kolonial yang timbul dalam negara. British ketika itu perlu memastikan Komunis tidak meraih sokongan majoriti penduduk untuk bangun menentangnya.

Berbanding hari ini, pihak kerajaan adalah pendukung utama rencana melawan keganasan yang dipilih rakyat melalui pilihan raya. Perbezaan pandangan kalangan anggota masyarakat tentang kaedah terbaik menghadapi ke­ganasan adalah satu lumrah, namun setiap rakyat pasti bersetuju bahawa fenomena keganasan ini perlu diben­dung. Maka kepelbagaian pandangan itu wajar dilihat sebagai kelebihan dalam merumus strategi melawan keganasan yang lebih tuntas dan komprehensif.

Aspek ketiga adalah perubahan zaman. Pendekatan hati dan minda yang direncanakan dulu semasa tempoh darurat dan berlatarbelakangkan konflik bersenjata. Perkara ini ter­nyata mempengaruhi tindak balas pihak berkuasa ketika itu. Dixon merekodkan, antara 1957 hingga 1957, seramai 34,000 orang ditahan tanpa bicara lebih 28 hari. Bahkan hukuman secara kolektif juga dijatuhkan ketika itu. Jeneral Tampler pernah mengarahkan sekolah ditutup, beras dicatu, perintah berkurung 22 jam sehari ke atas penduduk di Tanjung Malim selepas 12 pegawai kerajaan dibunuh Komunis.

Namun darurat telah lama tamat. Suasana politik, sosial dan ekonomi negara telah berubah. Bahkan sebahagian undang-undang yang digubal ketika darurat juga telah dimansuhkan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960) dan Ordinan-Ordinan Darurat. Pastinya perkembangan perlu di­terjemahkan ke dalam agenda melawan keganasan negara. Segala tindakan perlu selaras dengan nilai-nilai dan hak-hak madani yang dijamin Perlembagaan dan undang-undang antarabangsa. Contohnya, Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) no. 1456 (2003) mengkehendaki setiap negara ahlinya memastikan segala langkah melawan keganasan mestilah selari dengan tuntutan undang-undang antarabangsa.

Dalam usaha memperkemaskan usaha melawan ­keganasan ini, dua cadangan ke arah pembaikan di Malaysia dikemukakan di sini. Pertama, penulis mencadangkan penubuhan majlis perundingan kebangsaan melawan keganasan yang melibatkan wakil kelompok masyarakat, terma­suklah pendidik, ahli akademik, ilmuwan agama, pengamal undang-undang dan pemimpin komuniti dan belia. Badan ini mampu menawarkan pandangan-pandangan bermanfaat buat kerajaan dari perspektif berbeza dalam merumuskan sebuah gagasan ‘Hati dan Minda’ yang baharu.

Kedua, pada hemat penulis, satu dokumen rangka tindak yang jelas tentang pendekatan negara mengatasi keganasan amat wajar dikeluarkan. Dokumen itu mampu menjadi rujukan kepada bukan sahaja kepada jentera kerajaan dan pihak berkuasa, tapi memudahkan ahli masyarakat untuk turut sama membanteras keganasan. Pandangan balas masyarakat daripada pelbagai pihak termasuk pakar keselamatan dan ahli akademik, sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan menilai pendekatan dari semasa ke semasa.

Kita disaran untuk belajar daripada sejarah, bukan hidup dalam sejarah. Pendekatan hati dan minda dahulu telah membuahkan hasilnya dalam beberapa aspek, namun tiada jaminan bahawa ia berkesan sepanjang zaman. Daripada sejarah, kita pelajari bahawa muafakat antara pemimpin dan masyarakat adalah teras kejayaan.

PENULIS ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: