Home

(Disiarkan  di Utusan Malaysia pada 13 Mac 2017 dengan suntingan pada tajuk rencana)

_20170313_081800

PERBINCANGAN umum ber-
hubung undang-undang jenayah dan hukumannya nampaknya mendapat tempat di negara ini sejak akhir-
akhir ini. Bagi penulis, perkembangan positif ini wajar diraikan berdasarkan dua asas utama.

Pertama, perdebatan umum berhubung undang-undang atau polisi awam adalah petunjuk kematangan sebuah negara. Penyertaan rakyat dalam penggubalan undang-undang tidak sewajarnya dibataskan kepada wakil-wakil di Parlimen, tetapi selayaknya diperluas kepada anggota masyarakat merentasi ras dan kelas. Hak demokratik setiap warga itu wajar diterjemah dalam perspektif yang lebih besar dan bukan hanya di peti undi.

Kedua, sebarang undang-undang awam, khususnya undang-undang jenayah yang ingin digubal dan dikuatkuasakan pasti akan membawa kesan kepada setiap warganegara. Dalam undang-undang jenayah, terdapat prinsip Ignorantia juris non excusat yang menjadikan seseorang itu wajib mematuhi semua undang-undang biarpun kewujudan undang-undang itu di luar penge­tahuannya. Maka sewajarnya rakyat dilibatkan sedari awal agar undang-undang yang digubal berfungsi secara berkesan.

Secara umumnya, undang-undang sebuah negara demokrasi adalah jelmaan kepada nilai dan kehendak segenap warganegaranya. Pelaksanaan undang-undang baharu pasti akan memberi impak terhadap semua warga, sama ada secara langsung atau tidak dan jangka panjang. Kesan tersebut mencakupi aspek sosial, budaya dan ekonomi. Contohnya, penggubalan undang-undang ke atas pendatang asing tanpa izin, pindaan peruntukan berhubung kenaikan gaji wakil rakyat dan usul penjenayahan kesalahan berkaitan pornografi kanak-kanak.

Semua itu melibatkan kepenti­n­gan umum biarpun pelaksanaan undang-undang itu terbatas kepada kumpulan tertentu. Walaupun hanya disasarkan kepada kelompok tertentu, pengenalan undang-undang itu pastinya akan turut mempengaruhi sudut pandang dan interaksi sosial anggota warganegara. Apatah lagi jika perubahan itu bersifat radikal dan mendadak. Dari sudut ekonomi, kos tambahan diperlukan negara bagi melaksanakan undang-undang baharu. Semua itu termasuklah kos penguatkuasaan dan proses perundangan, hinggalah pelaksanaan hukuman.

Hukuman adalah komponen dalam undang-undang jenayah. Tanpa peruntukan hukuman, sesuatu perbuatan bukanlah kesalahan jenayah. Maka tidak hairanlah jika ada yang melihat peranan undang-undang jenayah dalam sesebuah negara hanyalah untuk menghukum semata-mata. Namun hakikatnya peranan undang-undang jenayah lebih daripada itu, termasuklah menjalankan fungsi pencegahan dan menzahirkan kutukan kerajaan terhadap sesuatu perbuatan. Misalnya, undang-undang anti-
keganasan lebih bersifat pencegahan dan tindakan simbolik kerajaan mencela perbuatan jenayah itu.

Berhubung perbincangan mengenai undang-undang jena­yah dan hukumannya, dua perkara yang ingin penulis utarakan di sini. Isu pertama berhubung peranan hukuman dalam undang-undang jenayah manakala kedua kecenderungan terhadap undang-undang yang lebih berat.

Bentuk hukuman dalam undang-undang lazimnya ditentukan dari rasional kita ­menetapkan sesuatu hukuman. Secara umum, rasional hukuman sering dikaitkan sebagai balasan, pencegahan, dan pemulihan. Hukuman dilihat sebagai balasan kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan. Balasan perlu dikenakan atas sebab kegagalan pelaku mematuhi undang-undang, lantas mengakibatkan kerugian dan penderitaan orang lain.

Balasan yang dikenakan kepada penjenayah itu bertindak seolah satu bentuk pembelaan dan rasa simpati negara terhadap mangsa jenayah terbabit. Namun, bagaimana pula dengan jenayah yang tidak mengakibatkan kerugian atau kesusahan kepada orang lain kecuali pada diri pelaku sendiri? Persoalan ini wajar diberi perhatian tatkala kita membincangkan tentang jenayah mengambil dadah atau minum minuman yang memabukkan. Selain itu, hukuman turut dihujahkan sebagai satu bentuk pencegahan. Dalam konteks ini, pelaksanaan hukuman dianggap mampu menghalang pelaku kesalahan dari mengulangi kesalahannya dan juga sebagai pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah itu.

Hukuman juga bertindak sebagai proses pemulihan atau pembaikan. Teori ini berasaskan kepada pengiktirafan terhadap sifat semula jadi manusia yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Lantas peluang kedua harus diberikan. Matlamat utama adalah untuk melihat penjenayah kembali ke sisi masyarakat dan memberi sumbangan berguna kepada negara. Fungsi hukuman sebagai satu bentuk pemulihan lazimnya terabai bilamana kita lebih cende­rung kepada hukuman berat. Kecenderungan tersebut ketara melalui gesaan sesetengah pihak dalam negara ini yang menuntut pindaan undang-undang untuk denda yang lebih tinggi, pemenjaraan yang panjang dan jumlah sebatan yang lebih banyak.

Pemenjaraan yang panjang melibatkan kos tinggi dan tidak kondusif untuk proses pemulihan banduan. Hukuman pemenjaraan sepatutnya dibataskan kepada jenayah yang melibatkan kekerasan dan penjenayah tegar. Hal ini sewajarnya dipertimbangkan dalam membincangkan mengenai hukuman bersesuaian terhadap perbuatan jenayah yang bukan melibatkan kekerasan dan kesalahan yang bersifat keagamaan.

Meminda hukuman pada undang-undang jenayah sedia ada bukanlah tindakan yang salah. Namun mestilah bersandarkan kepada sebab musabab yang ampuh. Lazimnya, keperluan pindaan dihujahkan bertujuan memastikan undang-undang berfungsi secara efektif. Antara langkah-langkah yang sering diambil adalah meminda takat maksimum denda mengambil kira kadar ekonomi semasa dan memasukkan perintah khidmat masyarakat sebagai salah satu bentuk hukuman. Atas hujah sama, hukuman sedia ada juga wajar disemak dan dikurangkan hukumannya jika perlu.

Pindaan hukuman kepada lebih berat wajar dipertimbangkan jika terdapat asas kukuh dari dapatan kajian yang meyakinkan. Pindaan tidak sewajarnya dibuat semata-mata sebagai tindak balas terhadap insiden tertentu. Kes tular di media sosial tidak sewajarnya dijadikan kayu ukur bagi menyimpulkan keadaan keseluruhan tanpa kajian berwibawa.

Kajian yang menyeluruh perlu dijalankan dan bukannya di tala kepada undang-undang sahaja. Pengkajian rapi bukan hanya terbatas kepada teks peruntukan undang-undang semata-mata, tapi mestilah merangkumi kaedah pelaksanaan yang dipraktikkan dan kepakaran sumber manusia di semua peringkat. Contohnya, jika sebelum ini, mahkamah hanya menjatuhkan hukuman kurang daripada 50 peratus dari hukuman yang diperuntukkan, maka apakah keperluan untuk kita memindanya kepada kadar yang lebih berat? Tindakan sedemikian dikhuatiri hanya bersifat simbolik dan politikal, lantas mengikis kepercayaan terhadap sistem keadilan negara.

PENULIS ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: