Home

DdgR4lpWAAAdDJy

Frasa ‘fake news’, berita palsu atau tidak benar mula mendapat perhatian dunia setelah dipopularkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Biarpun tindakan penyebaran maklumat palsu bukanlah satu fenomena baru, masyarakat global dilihat terpanggil mengambil langkah tertentu untuk membendungnya. Maka kita lihat beberapa negara telah menggubal undang-undang anti-berita palsu. Di Malaysia, Akta Antiberita Tidak Benar (AATB) 2018 adalah antara undang-undang terakhir yang digubal oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihanraya berlansung. Bagaimana pun, beberapa negara yang memiliki sistem keadilan jenayah berdasarkan kerangka Common Law dan beteraskan Kanun Keseksaan seperti negara kita kelihatan lebih berhati-hati dalam menggubal undang-undang sebegini. Tindakan sedemikian adalah munasabah mengambil kira beberapa faktor dan bahaya dari undang-undang ini. Berikut adalah empat sebab utama kenapa AATB 2018 perlu dimansuhkan serta merta oleh kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan.

Pertama, AATB 2018 adalah undang-undang reaktif (reactive legisalation) yang dikhuatiri digubal bukan bersandarkan keperluan sebenar tapi lebih dipengaruhi sentimen politik antarabangsa dan tempatan. Sarjana undang-undang jenayah kerap mengingatkan akan mudarat undang-undang reaktif yang tidak reflektif kepada ancaman jenayah yang ingin dibenteras. Secara amnya, undang-undang jenayah sewajarnya perlu senantiasa ditambahbaik mengambil kira tuntutan semasa. Akan tetapi, undang-undang reaktif lazimnya digubal dalam keadaan tergesa-gesa tanpa kajian mendalam dan penglibatan pihak-pihak secara lebih terangkum. Memandangkan undang-undang ini boleh menbataskan hak-hak madani rakyat, pandangan pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan kumpulan masyarakat sivil perlu diambil kira. Menurut SUHAKAM, kerajaan terdahulu hanya merujuk kepada badan itu pada minit terakhir tanpa mengemukakan rang undang-undang tersebut kepada mereka.

Kedua, konsep ‘fake news’ itu sendiri adalah samar. AATB 2018 mendefiniskan ‘berita tidak benar’ dengan merangkumkan apa-apa berita , maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea. Skop definisi ini cukup besar dan samar. Prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) menuntut kepada peruntukan undang-undang yang jelas dan difahami oleh masyarakat. Bahkan amat sulit untuk mahkamah merumuskan samada sesuatu maklumat atau kenyataan sebagai palsu secara muktamad. Ada sebahagian perkara yang mustahil untuk dibuktikan benar atau palsu berdasarkan keterangan yang boleh diterima pakai dimahkamah atau secara saintifik. Misalnya, kenyataan-kenyataan tentang doktrin agama atau teori-teori baharu. Manakala, terdapat juga hal-hal yang tidak boleh ditentukan secara muktamad,  dan terdedah kepada penafsiran yang pelbagai. Contohnya kenyataan-kenyataan berkaitan sejarah yang adakalanya berbeza mengambilkira sumber dan elemen politik yang menyelubungi penceritaannya. Begitu juga ada juga perkara yang bersifat relatif kepada maklumat sedia ada yang dianggap berwibawa ketika itu, dan mana-mana akal yang waras akan membuat kesimpulan yang sama. Maka sukar untuk diterima akal bahawa tindakan menyatakan penilaian semasa adalah merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara. Haruslah ditekankan bahawa AATB 2018 menetapkan sesuatu maklumat boleh dikelaskan sebagai ‘berita tidak benar’ biarpun hanya sebahagiannya didapati palsu. Situasi ini dikhuatiri menekan kebebasan bersuara rakyat, termasuk kumpula media dan golongan akademik.

Ketiga, AATB 2018 tidak selari dengan prinsip-prinsip dan norma-norma undang-undang jenayah di negara kita. Bagi negara yang menggunapakai Kanun Keseksaan Lord Macaulay pada 1835 dan prinsip keadilan jenayah bersandarkan common law, konsep ‘fake news’ adalah cukup asing. Maka tidak hairan Republik India tidak meneruskan hasrat untuk menggubal undang-undang sebegini. Secara umumnya, undang-undang jenayah hanya menjenayahkan perbuatan berkaitan kenyataan palsu bersandarkan tiga perkara. Pertama, seseorang itu hanya akan dihukum kerana mengeluarkan kenyataan palsu sekiranya undang-undang menwajibkannnya berkata benar. Misalnya, seseorang itu telah melakukan jenayah sekiranya dia berdusta di mahkamah atau ketika dalam proses siasatan. Kedua, tindakan mengeluarkan kenyataan palsu menjadi kesalahan jenayah sekiranya tindakan mengakibatkan mudarat lansung kepada orang yang mendengar dan mempercayainya. Misalnya dalam jenayah penipuan, kata-kata tidak benar digunakan untuk memperdayakan dan mengakibatkan kerugian ke atas mangsa. Dalam hal ini, pendakwaan perlu buktikan bahawa mangsa telah mempercayai tipudaya tersebut. Ketiga, kata-kata palsu yang disebar hanya menjadi salah sekiranya dilakukan atas niat jahat (malicious intent) untuk menggugat ketenteraman awam. Elemen niat ‘mens rea’ ini tiada dalam AATB 2018. Tindakan menyebarkan berita tidak benar semata-mata tanpa niat jahat sukar untuk dikelaskan sebagai kesalahan berliabiliti ketat mengambil kira kesan lansungnya. Perihal ini ternyata berbeza dengan impak jenayah terorisme dan penyalahgunaan dadah. Selain daripada itu, AATB 2018 memiliki bidangkuasa menjangkaui sempadan yang membolehkan seseorang itu, samada warganegara atau tidak, didakwa di Malaysia biarpun kesalahan dilakukan di luar negara. Pendekatan ini bercanggah dengan norma kelaziman dalam undang-undang jenayah. Peruntukan ini mungkin boleh diterima bagi kesalahan berkaitan terorisme dan jenayah transnasional. Namun harus diingat, jenayah sedemikian diterima secara global sebagai fenomena yang wajib dibenteras setiap negara. Hal itu dapat digarap melalui resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan konvensyen antarabangsa yang lain.

Keempat, undang-undang AATB 2018 adalah satu produk penjenayahan yang berlebihan atau lazim dirujuk sebagai ‘over-criminalisation’. Kesalahan-kesalahan yang diwujudkan dalam AATB2018 bertindih dengan kesalahan jenayah dalam undang-undang yang sedia ada. Sebagai contoh, beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan seperti seksyen 505 Kanun Keseksaan sudah memadai dalam mengekang penyebaran kenyataan-kenyataan berniat jahat yang mampu menggugat ketenteraman dan keteraturan awam. Pertindihan ini hanya akan melebarkan kuasa budi pihak berkuasa dan dikhuatiri boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa.

Sehingga kini, seorang warga negara asing dilaporkan telah dihadapkan ke mahkamah bagi kesalahan di bawah AATB 2018. Beberapa individu termasuk YAB Perdana Menteri sendiri juga dilapor turut disiasat di bawah undang-undang ini. Berdasarkan empat faktor di atas, penulis mencadangkan agar kerajaan memansuhkan AATB 2018 ini, dan bukannya dengan menyemak semula. Undang-undang jenayah lain yang sedia ada memadai untuk mengekang penyebaran maklumat yang bertujuan menimbulkan kekacauan. Secara alternatifnya, pihak-pihak yang terjejas akibat dari penyiaran berita yang tidak benar boleh mengambil tindakan sivil di mahkamah. Negara tidak perlu menampung kos untuk terlibat dalam pertikaian yang bersifat peribadi antara orang awam. Pihak pendakwaan dan pihak polis pula dapat menumpukan tugas mereka dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan ketenteraam masyarakat. AATB 2018 juga dikhuatiri membungkam hak dan kebebasan rakyat sebagaimana yang dijamin Perlembagaan. Pemansuhan AATB 2018 boleh menjadi langkah mula sebelum kerajaan memansuh undang-undang lain sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya, seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

PENULIS ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s