Home

Oleh: Mukhriz Mat Rus

Pada tanggal 19 Julai akan datang, genaplah tujuh puluh tahun pengenalan Akta Hasutan 1948 di Semenanjung Malaysia. Sebelum undang-undang itu atau nama asalnya Ordinan Hasutan 1948 diperkenalkan, Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat masing-masing mempunyai undang-undang tersendiri dalam menanggani jenayah hasutan. Misalnya Printing Presses and Seditious Publications Enactment, 1931 (No. 5 of 1931) bagi Kelantan dan Seditious Publications (Amendment) Ordinance, 1928 (No. 16 of 1928) bagi Negeri-negeri Selat. Akta Hasutan 1948 kemudiannya diperluaskan penguatkuasaannya ke Sabah dan Sarawak setelah pembentukan negara Malaysia.

Dalam tempoh tujuh puluh tahun ini, undang-undang tersebut digunakan untuk mendakwa mana-mana individu yang disyaki menghasut masyarakat. Dari ahli politik dan mahasiswa hinggalah kepada kartunis. Undang-undang ini mendapat kritikan dari dalam dan luar negara kerana didapati telah disalahguna untuk tujuan politik. Dalam erti kata lain, penentang lebih berkisar tentang perlaksaan secara berwenang-wenang undang-undang itu. Namun dalam menerusi tulisan ringkas ini, ingin dijelaskan bahawa masalah yang timbul bukan sahaja berpunca dari aspek perlaksanaan sahaja, bahkan sifat lapok yang ada pada Akta Hasutan 1948 menyebabkan undang-undang itu bermasalah dan wajar ditamatkan penggunaannya.

 

Produk Zaman Darurat

Akta Hasutan 1948 diperkenalkan lebih kurang sebulan setelah Darurat (1948-1960) diisytihar di Tanah Melayu oleh pentadbiran British Malaya, yakni pada 16 Jun 1948. Darurat yang berlarutan sehingga 12 tahun itu dilancarkan bagi membenteras ancaman pengganas Komunis. Secara dasarnya, deklarasi darurat adalah satu tindakan absah sesebuah negara dalam mendepani ancaman keselamatan yang menuntut tindakan semerta. Langkah-langkah khas lazimnya diperkenalkan dan sebilangan hak-hak asasi warganegara diketepikan buat semetentara waktu. Akta Hasutan 1948 diperkenalkan dalam situasi ini. Pada masa itu, penggunaan undang-undang biasa digantung seketika. Biarpun Akta Hasutan 1948 bukan termasuk dalam Ordinan-Ordinan dan Peraturan-Peraturan Darurat, namun keadaan semasa ketika itu pastinya mempengaruhi penggubal undang-undang ketika itu. Akta Hasutan 1948 terus kekal biarpun Darurat telah tamat. Situasi ini terjumlah kepada ‘normalisation of emergency’. Proses ini berlaku bilamana undang-undang khas yang sepatutnya bersifat sementara terus kekal beroperasi dan digunakan seumpama undang-undang biasa, sedangkan ancaman yang menjadi sebab penggubalannya sudah tidak wujud. Hal ini menyebabkan beberapa hak-hak madani rakyat tergantung buat selama-lamanya.

 

Akta Kolonial Membungkam Penentangan

Usaha pihak British membenteras Komunis hakikatnya berkait rapat dengan agenda kolonialisme dan bukanlah semata-semata secara jujur membantu dan mempertahankan Tanah Melayu. British melihat keperluan untuk menghalang pengaruh Komunis dan juga mengembalikan keyakinan penduduk Tanah Melayu setelah mereka tewas kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua sebelum itu. Lantas, Akta Hasutan 1948 adalah satu alat yang digunakan untuk membungkam kebangkitan rakyat Tanah Melayu yang menuntut kemerdekaan dalam pelbagai wadah perjuangan. Maka kita dapat lihat beberapa tokoh perjuangan kemerdekaan diambil tindakan oleh British dengan menggunakan undang-undang anti-hasutan. Antaranya Dato’ Haji Ahmad Boestamam dan Tan Sri Abdul Samad Ismail. Penggunaan undang-undang anti-hasutan juga dapat dilihat di negara-negara jajahan Empayar British yang lain. Sebagai contoh Criminal Law (Seditious Offences) (Amendment) Ordinance, 1932 (No. 43 of 1932) di Palestin dan Sedition Ordinance, 1931 (No. 29 of 1931) di Fiji. Manakala di India, tokoh kemerdekaan, Mahatma Ghandi pernah didakwa dan dihukum enam tahun penjara kerana menulis rencana yang dikatakan menghasut rakyat menentang British. Maka jelaslah bahawa Akta Hasutan 1948 adalah alat yang digunakan oleh penjajah dulu dalam memadam api penentangan. Adalah tidak wajar bagi negara kita yang sudah merdeka lebih 60 tahun ini masih mengekal undang-undang lapok yang bertujuan mengongkong rakyat sendiri.

 

Undang-Undang Pra-Merdeka

Biarpun secara teknikalnya undang-undang yang digubal sebelum merdeka adalah sah, undang-undang sebegitu perlu diberi perhatian bagi memastikan ia benar-benar selari dengan nilai-nilai masyarakat moden dan memenuhi tuntutan semasa. Akta Hasutan 1948 digubal lebih dahulu berbanding Perlembagaan Persekutuan. Maka adalah mustahak agar undang-undang itu sentiasa disemak agar bertepatan dengan peruntukan dan nilai-nilai yang diangkat oleh undang-undang tertinggi negara itu. Perubahan masyarakat juga harus diambil kira. Akta Hasutan 1948 dirumuskan dalam keadaan negara masih belum membangun dan tahap pendidikan masyarakat yang masih rendah. Dalam keadaan sekarang, masyarakat Malaysia majoritinya terdidik dan boleh membuat pertimbangan sendiri akan sesuatu perkara. Dalam erti kata lain, masyarakat kita kini boleh menilai sendiri dan tidak mudah terpengaruh hasutan yang dangkal. Maka undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, yang bersifat ‘patronising’ terhadap keupayaan rakyat berfikir dan menerka maklumat wajar dimansuhkan.

 

Jalan Ke Depan

Namun sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, bagaimana pula untuk berdepan dengan individu atau golongan yang sememangnya berniat jahat mengeluarkan ucapan kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara? Untuk tujuan ini, kerajaan disarankan untuk mengemaskini Bab XXII Kanun Keseksaan berhubung tindakan menimbulkan ketakutan jenayah, kegusaran dan keaiban yang boleh menjejaskan kesejahteraan awam. Cadangan penggubalan Akta Keharmonian Nasional haruslah dikaji semula. Namun harus diingat, sebarang bentuk kesalahan jenayah yang ingin diwujudkan perlulah mengekalkan prinsip-prinsip lazim dalam undang-undang jenayah dan sistem keadilan jenayah. Misalnya, seseorang hanya boleh disabitkan jika pendakawaan boleh buktikan unsur mens rea (niat jahat) dan actus reus (perbuatan salah) bagi kesalahan yang dituduh. Selain itu, kerajaan pusat juga wajar menggubal undang-undang berkaitan dengan kebebasan maklumat. Misalnya, Freedom of Information Act 2000 di United Kingdom dan Enakmen Kebebasan Maklumat 2011 di Selangor. Masyarakat yang bermaklumat atau mempunyai capaian terhadap sumber maklumat tidak akan mudah terpengaruh dengan hasutan dan dakyah yang tidak berasas.

 

Sesudah tujuh puluh tahun sesudah Akta Hasutan 1948 diperkenalkan, kita dapat saksikan bagaimana undang-undang yang dipelopori oleh penjajah itu dikekalkan dan digunakan untuk menggantung hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan buat jangka waktu yang lama. Biarpun terdapat beberapa pindaan yang dibuat sepanjang tempoh itu, perubahan yang dirumus hanya mengakibatkan Akta Hasutan 1948 menjadi lebih menekan. Mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Abdul Razak pernah berjanji untuk memansuhkan akta ini pada 2012. Bagaimana pun niat tersebut tidak diteruskan. Maka adalah diharapkan agar Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto.

(*) Penulis adalah Bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s