Home

Screen Shot 2018-10-03 at 10.35.16

Disiarkan dengan suntingan oleh Berita Harian pada 3 Oktober 2018

Persoalan samada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 akan dimansuhkan atau sebaliknya masih belum terjawab. Manifesto pilihanraya Pakatan Harapan hanya menyebut tentang pemansuhan ‘peruntukan-peruntukan yang zalim’ yang terdapat dalam SOSMA 2012.

Biarpun SOSMA 2012 bukan digubal semata-mata untuk menanggani keganasan, namun undang-undang itu ternyata memain peranan penting dalam strategi negera melawan fenomena itu. Sejak pengenalannya, sejumlah besar pebicaraan yang dijalankan berdasarkan tatacara yang ditetapkan SOSMA 2012 adalah kes-kes keganasan. Samada undang-undang itu akan dikekalkan atau dimansuhkan,  terdapat dua perkara yang wajib diberi perhatian dalam menggubal atau mengemaskini undang-undang melawan keganasan.

 

Melawan dengan Perlembagaan

Perkara pertama, semua usaha pencegahan keganasan perlu selari dengan prinsip dan nilai-nilai dikendung Perlembagaan Persekutuan. Tiga nilai mustahak dari Perlembagaan yang wajar diberi penekanan.

Nilai pertama adalah berkait rapat dengan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) yang dijunjung Perlembagaan. Kedaulatan undang-undang menekankan aspek pengasingan kuasa antara institusi utama negara. Berdasarkan prinsip ini, seberang tindakan yang diambil oleh badan eksekutif misalnya badan yang lain. Institusi kehakiman berperanan memastikan pihak eksekutif tidak bertindak di luar bidang kuasa dan hak-hak sivil terpelihara. Maka peruntukan dalam Akta Pencegahan Keganasan 2015 yang menghalang sebarang semakan kehakiman dibuat wajar dimansuhkan. Parlimen juga berperanan penting dalam menawarkan lindung jamin dalam merangka undang-undang anti-keganasan yang efektif dan adil.

Nilai kedua dari Perlembagaan yang perlu ditekankan bersangkutan dengan penggunaan undang-undang khas (special legislation). Biarpun Perlembagaan membenarkan tindakan tertentu yang bercangggah dengan prinsip-prinsip utama perlembagaan diambil, kelonggaran sepatutnya bersifat sementara dan mengambilkira  keperluan dan ancaman semasa yang dihadapi negara.

Penggunaan undang-undang khas sewajarnya dibataskan dan dipantau keberkesanannya. Undang-undang yang dimaksudkan adalah undang-undang yang digubal untuk menghadapi ancaman atau fenomena tertentu yang melibatkan penggunaan langkah-langkah luar kelaziman Undang-undang begini mestilah bersifat sementara dan senantiasa dipastikan beroperasi selari dengan niat asal penggubalan.

Para sarjana undang-undang senantiasa mengingatkan akan bahaya sekiranya undang-undang khas sebegini dibiarkan berterusan. Normalisasi undang-undang luar kebiasaan (normalisation of exceptional measures) lazimnya membuka ruang kepada salahguna kuasa. Kita telah lihat bagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang bermatlamat melawan saki baki pengganas komunis kemudiannya digunapakai di luar niat asalnya.

Begitu juga dengan penggunaan undang-undang SOSMA 2012. Jika undang-undang ini dikekalkan, SOSMA 2012 wajar disemak dari masa ke semasa. Buat masa ini, Akta itu disemak setiap lima tahun di Parlimen dan penilaian hanya terhad kepada tempoh tahan 28 hari. Semakan setiap lima tahun pada hemat penulis adalah pratikal dan sesuai, namun penilaian sewajarnya diperluaskan kepada skop yang lebih besar dalam perlaksanaan langkah-langkah khas di bawah SOSMA 2012. Sebelum pembentangan di Parlimen, satu jawatankuasa khas wajar dibentuk untuk mengkaji keberkesanan undang-undang ini masa lalu dan sejauh mana keperluannya untuk tempoh lima tahun akan datang. Pihak kerajaan juga sewajarnya telus membekalkan statistik dan maklumat terperinci bagi tujuan ini.

Nilai ketiga tidak kurang mustahaknya. Perlembagaan sebagaimana diketahui merupakan pembela hak-hak madani rakyat. Maka nilai ini wajar diterap dalam undang-undang anti-keganasan. Berkaitan dengan hal ini, ada satu peruntukan dalam undang-undang anti-keganasan yang dibaru digubal di Indonesia yang menarik perhatian penulis. Pasal 25 dan Pasal 28, Undang-Undang Tindak Pidana Terrorisme menyatakan dengan jelas sebarang penahanan dan penangkapan suspek keganasan ‘harus dilakukan dengan menjunjung tinggi prinsip hak asasi manusia’. Sebarang pelanggaran terjumlah kepada kesalahan jenayah.

Selain perlembagaan, satu lagi rujukan yang tidak wajar dikesampingkan adalah undang-undang dan norma-norma antarabangsa. Salah satu saranan utama PBB dalam Global Counter-Terrorism Strategy (2006) adalah agar setiap negara memastikan prinsip hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang diangkat sebagai asas memerangi keganasan. Peranan itu sewajarnya digalas oleh semua pihak yang terlibat, dan bukan hanya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

image005

Ketelusan dalam Perencanaan dan Perlaksanaan.

Perkara kedua berkaitan transperansi. Ketelusan dalam melawan keganasan bukan bermakna pihak berkuasa perlu mendedahkan segala maklumat atau taktik kepada orang awam. Dua langkah berikut wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.

Pertama, satu dokumen rangka tindak yang jelas mengenai pendekatan dan strategi negara dalam melawan dan mencegah keganasan di Malaysia. Dokumen itu berupaya menjadi sumber rujukan berguna, bukan sahaja kepada jentera kerajaan dan pihak berkuasa, tapi memudahkan ahli masyarakat untuk turut sama membanteras keganasan. Golongan akademik juga berupaya membuat penyelidikan dengan lebih mudah dan menyumbang buah fikiran bagi tujuan tersebut.

Kedua, laporan berkala mengenai perlaksanaan plan bertindak dan undang-undang berkaitan keganasan. Melalui dokumen ini, pihak kerajaan misalnya boleh mendedahkan jumlah bilangan tangkapan, kes-kes yang didakwa dan disabitkan oleh mahkamah. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen sesebuah kerajaan kepada aspek ketelusan pentadbiran, tapi turut mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam menanggani keganasan secara adil dan berkesan.Selain itu, perlantikan penilai bebas undang-undang anti-keganasan sebagaimana yang diamalkan di United Kingdom juga wajar diteliti. Independent Reviewer of Terrorism Legislation yang lazimnya seorang pengamal undang-undang dilantik bagi tempoh tertentu untuk menjalankan penelitian terhadap perlaksanaan undang-undang dan menyediakan laporan untuk dibentangkan di parlimen dan masyarakat umum.

 

Terus Melawan

 Keperlembagaan dan ketelusan sememangnya dua unsur penting dalam penggubalan dan perlaksanaan semua jenis undang-undang. Namun mengambilkira kerentanan undang-undang anti-keganasan yang mudah disalah guna kuasa oleh pihak berkuasa serata dunia, dua elemen ini wajar senantiasa ditekankan. Sifat samar pada konsep terrorisme dan kekuatannya untuk mendorong orang ramai bertindak secara emosional menyulitkan lagi keadaan. Oleh demikian, prinsip-prinsip ampuh dari Perlembagaan dan norma-norma kemadanian perlu sentiasa dirujuk, dan proses semak imbang dan aspek lindung jamin dalam undang-undang anti-keganasan mesti diperkasakan. Mantan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan telah menerangi kita:

‘Terrorism adalah satu serangan lansung terhadap hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang. Jika kita musnahkan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, maka pengganas telah mencapai kejayaan’

 

Penulis adalah tenaga akademik Universiti Utara Malaysia yang kini sedang mengkaji tentang undang-undang anti-keganasan di University of Leeds, UK.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s