Home

Disiarkan dalam Berita Harian pada 23 Januari 2019

50734534_113075796447327_192927847877181440_n

DALAM era Malaysia Baharu, usaha menyemak dan memperkenalkan undang-undang baharu giat dijalankan sebagai satu bentuk upaya positif, namun bahaya undang-undang digubal secara melulu perlu sentiasa diingatkan.

Secara dasar, undang-undang perlu memenuhi keperluan dan mencerminkan keadaan semasa sesebuah negara. Maka, ia sentiasa disemak, ditambah baik atau dimansuh.

Hakikatnya, undang-undang lapuk bukan sahaja tidak berkesan dalam menyelesaikan masalah dihadapi, tetapi boleh membuka ruang untuk disalah guna.

Penggubalan undang-undang baharu perlu dilakukan secara teliti, berteraskan kajian terperinci dan membabitkan pihak berkaitan termasuk anggota masyarakat.

Undang-undang dirumus secara gopoh boleh memburukkan keadaan. Ramai sarjana melabelkan undang-undang sebegini sebagai reactive legislation atau reactionary law. Saya pula lebih suka merujuk undang-undang itu sebagai ‘undang-undang semberono’.

Undang-undang sebegini digubal secara tergesa-gesa atas sebab atau peristiwa tertentu, tanpa penyelidikan mendalam dan maklumat mencukupi. Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 yang kini dalam proses pemansuhan adalah contoh undang-undang sebegitu.

Beberapa faktor utama mempengaruhi terhasilnya undang-undang semberono. Pertama kecenderungan masyarakat melihat sesuatu fenomena sebagai benda baharu serta tiada pertalian langsung dengan apa yang berlaku pada masa lalu. Lantas, formula baharu dilihat perlu untuk menangani masalah itu.

Hal ini dapat dilihat dengan ketara dalam undang-undang melawan terrorisme atau kepengganasan di serata dunia hari ini. Kepengganasan dinilai asing, baharu serta sukar difahami, sedangkan ia wujud zaman berzaman dalam bentuk dan wajah berbeza.

Faktor penghasilan undang-undang

Dalam konteks Malaysia, pengalaman berdepan pejuang komunis juga satu bentuk kepengganasan bagi British. Malah, jika pembunuhan Gabenor Sarawak, Duncan Stewart, di khalayak berlaku hari ini, pasti ia dianggap tindakan kepengganasan.

Faktor kedua penggubalan undang-undang semberono lazimnya dirundung emosi dan sentimen. Keadaan ini lebih merumitkan pada zaman media sosial apabila sesuatu maklumat atau berita tidak berwibawa mudah tular. Contohnya mengenai peningkatan jenayah.

Cerita, gambar dan video ngeri kejadian jenayah berlegar di media sosial. Ada sebahagiannya bukan kejadian baharu, tetapi dikitar semula. Dalam keadaan begini, telahan bahawa jenayah kian meningkat diperkuatkan.

Dengan emosi yang rentan untuk bertindak balas di luar rasional, akan ada yang bangun mendesak kerajaan menggubal undang-undang baharu, sedangkan tidak semua yang terpamer di media sosial selari dengan kenyataan sebenar.

Peningkatan jenayah secara drastik jarang disokong statistik. Tambahan pula dalam membaca statistik jenayah, banyak perkara perlu diberi perhatian. Malang sekali, undang-undang semberono lazimnya tidak dibina atas keterangan dan statistik, tetapi semata-mata apa disajikan di media.

Faktor ketiga terhasil undang-undang semberono bersangkut faktor kedua tadi. Apabila masyarakat mula kaget dengan keadaan yang dilihat kian meruncing, pemimpin kerajaan dan penggubal undang-undang perlu menunjukkan mereka peka dan mendengar rintihan rakyat.

Tambahan pula para penggubal undang-undang rata-rata adalah politikus yang perlukan sokongan rakyat untuk terus kekal, maka perlu dipamerkan kepada rakyat bahawa mereka bertindak.

Satu daripada cara popular adalah dengan membentangkan undang-undang baharu, sedangkan adakalanya undang-undang sedia ada memadai. Lebih malang jika undang-undang sedia ada pun tidak pernah diguna atau diuji keberkesanannya. Dakwaan bahawa undang-undang tidak cukup adalah tidak masuk akal.

Terdapat tiga kelemahan atau risiko dalam undang-undang semberono. Pertama, undang-undang sebegini tidak efektif, malah adakalanya memburukkan keadaan.

Kedua, undang-undang sembrono lazimnya bertindak balas terhadap suatu masalah sosial secara berlebihan dan tidak berkadaran. Sebagai contoh, peruntukan membenarkan hukuman melampau yang tidak mencerminkan perlakuan jenayah yang dilakukan.

Ketiga, disebabkan kekurangan masa, penggubal undang-undang cenderung mengambil jalan mudah dengan meniru undang-undang negara lain. Benar, ada kebaikannya mengambil contoh dari negara lain, mengambil kira sebahagian undang-undang di negara maju selari dengan tuntutan undang-undang antarabangsa.

Perlu babit banyak pihak

Bagaimanapun keberkesanannya di sana belum tentu menjanjikan natijah sama di sini. Sesuatu undang-undang semestinya diolah berteraskan nilai budaya dan sosial tempatan. Maka dicadangkan agar proses penggubalan undang-undang dibuat secara terangkum dengan membabitkan banyak pihak.

Pihak berkuasa pula sewajarnya telus dan bersedia menyusun dan berkongsi data. Kecenderungan mengekalkan status quo atau tradisi perlu dihindari.

Ketidakberkesanan suatu undang-undang boleh jadi bukan disebabkan undang-undang itu sendiri, tetapi akibat peraturan tambahan serta kaedah penguatkuasaan sebelum ini.

Pihak penyelidik di universiti wajib dilibatkan bersama dalam proses ini. Kerjasama erat dan profesional antara semua pihak amat mustahak. Pada peringkat ini juga, proses pengumpulan data penting dan wajar dipermudahkan, termasuk dengan mengurangkan kerenah birokrasi.

Malaysia Baharu menuntut wakil rakyat memainkan peranan lebih aktif dan efektif dalam penggubalan undang-undang. Malah itulah fungsi utama mereka sebagaimana digariskan Perlembagaan Persekutuan.

Perbahasan bermutu dan berdasarkan penyelidikan jitu dapat menangani undang-undang semberono. Namun, dalam menuju ke Parlimen, kerjasama padu dan sumbang saran ahli masyarakat cukup penting dan bermakna, kerana proses menggubal undang-undang rumit dan renyah.

Bak kata Bapa Penyatuan Jerman, Otto von Bismarck, ‘Undang-undang umpama sosej (Jerman). Lebih baik jangan lihat bagaimana ia dibuat’.

Penulis merupakan Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s