Home

54517202_123746652046908_6418033264648257536_n-1.jpg

Disiarkan Berita Harian pada 3 Mac 2019.

SISTEM keadilan jenayah negara kita sudah berkurun usianya. Keterangan sejarah membuktikan masyarakat kita sudah lama mempunyai undang-undang jenayah bertulis dan mengamalkan kaedah pengadilan tertentu sama ada sebelum atau selepas datangnya Inggeris.

Dalam sebuah travelog Isabella L Bird yang dihasilkan sekitar 1880-an, wanita Inggeris itu gambarkan bagaimana proses keadilan jenayah dilaksanakan di Tanah Melayu dan perihal kemudahan infrastruktur yang ada ketika itu seperti bangunan mahkamah dan penjara.

Sistem keadilan jenayah ternyata bukanlah suatu yang asing dalam masyarakat kita. Bagaimanapun, pada pengamatan penulis, ada ruang untuk diperbaiki dalam memasyarakatkan sistem keadilan jenayah dan memahamkan masyarakat mengenai prinsip terkandung dalamnya.

Keperluan ini terserlah menerusi perbincangan dan kupasan mengenai kes-kes jenayah semasa di media sosial yang lazimnya kurang tepat. Misalnya, baru-baru ini timbul persoalan kenapa seseorang suspek dilepaskan dengan jaminan ketika proses siasatan. Terdahulu, pertikaian juga timbul bila seorang bekas pemimpin negara dilepas dengan jamin ketika proses perbicaraan. Kedua-dua ini hakikatnya berkait rapat dengan prinsip paling utama dalam sistem keadilan jenayah iaitu; ‘tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah’.

Faktor salah faham54517202_123746652046908_6418033264648257536_n-e1552170088895.jpg

Dua faktor utama salah faham terhadap sistem keadilan jenayah yang lazim timbul. Pertama, kelemahan masyarakat dalam memahami prinsip asas keadilan jenayah. Kekurangan ini diburukkan lagi apabila kes jenayah yang menjadi polemik itu dipolitikkan atau disalahgunakan oleh kumpulan berkepentingan.

Kedua, perbincangan mengenai keadilan jenayah sering tidak terangkum dan tidak merakyat. Wacana keadilan jenayah berlegar terhad dalam komuniti guaman yang bersifat eksklusif dengan laras bahasa tersendiri. Sehubungan itu, tiga cadangan yang ingin dikemukakan di sini.

Cadangan pertama berkaitan dengan penerapan nilai teras sistem keadilan sejak dari kecil. Bukan niat penulis mencadang satu mata pelajaran khas diajar di sekolah, tetapi nilai keadilan jenayah ini boleh dimasukkan dalam mata pelajaran yang ada.

Misalnya, penulis masih ingat ketika di sekolah menengah, kami ditugaskan melakonkan satu sketsa membabitkan perbicaraan tokoh pejuang Rosli Dhobi yang dituduh membunuh Gabenor Sarawak, Duncan Stewart.

Nilai teras keadilan jenayah mencakupi persoalan berkenaan hak untuk perbicaraan yang adil dan hak dapatkan pembelaan. Mungkin nilai ini boleh diselitkan dalam aktiviti kokurikulum dan badan beruniform di sekolah.

Optimum guna web rasmi

Cadangan kedua pula berkait rapat peranan Pendakwa Raya atau Peguam Negara dalam memasyarakatkan keadilan jenayah. Institusi itu disyorkan memainkan peranan lebih aktif dalam menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat. Pendekatan ini mampu menyanggah berita tidak benar yang begitu pantas menular pada zaman media sosial ini.

Sebagai contoh, Jabatan Peguam Negara disarankan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menerangkan kedudukan undang-undang yang sebenar bila tersebar salah faham. Tindakan ini boleh dibuat tanpa perlu mengulas secara terperinci kes-kes yang sedang disiasat atau dibicarakan.

Kenyataan media jabatan itu, baru-baru ini berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat badan kehakiman adalah satu contoh terbaik. Dalam kenyataan rasmi itu, Jabatan Peguam Negara menjelaskan penubuhan suruhanjaya seperti itu bukanlah satu yang baharu tetapi pernah dibuat sebelum ini.

Hal ini menjernihkan pemahaman masyarakat terhadap situasi sebenar dan secara tidak langsung mendidik masyarakat mengenai pentadbiran keadilan negara. Penulis mencadangkan juga agar laman web rasmi juga dioptimumkan penggunaannya. Statistik terkini kes yang didakwa dan disabitkan adalah antara maklumat penting yang wajar disiarkan.

Maklumat ini penting bagi menangani telahan bahawa berlakunya peningkatan jenayah dan tiada tindakan diambil. Dakwaan sedemikian mampu meresahkan rakyat dan mengikis kepercayaan terhadap keberkesanan undang-undang dan sistem keadilan jenayah secara tidak langsung.

Penggunaan bahasa mudah

Cadangan ketiga menyentuh penggunaan bahasa dalam menerangkan dan melapor kes jenayah. Penulis akui banyak terma dalam bidang perundangan sukar difahami orang awam. Ini bukan suatu yang pelik, kerana setiap bidang memiliki laras bahasa dan istilah tersendiri. Namun kita juga perlu sedar bahawa prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) menuntut kejelasan dalam teks undang-undang dan proses pelaksanaannya.

Masyarakat perlu terlebih dahulu faham akan undang-undang sebelum mereka dituntut untuk mematuhinya. Itu juga satu prinsip dalam pengadilan jenayah. Kata-kata justice must be done and seen to be done (keadilan mesti dilaksanakan dan dilihat terlaksana) juga menekankan bahawa masyarakat perlu difahamkan akan proses pelaksanaan keadilan itu.

Oleh demikian, adalah wajar agar terma dalam sistem keadilan jenayah dimudahkan atau diperincikan maknanya. Untuk tujuan itu, warga perundangan di Malaysia perlu mula untuk mudahkan bahasa undang-undang, terutama ketika membekalkan maklumat kepada wartawan. Istilah seperti reman, jamin polis, waran dan sepina bukanlah suatu yang mudah difahami umum.

Gerakan menggunakan bahasa mudah sudah lama digerakkan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. Pendekatan ini diterapkan dalam proses menggubal undang-undang yang menekankan bahasa mudah dan mengelak menggunakan istilah yang hanya difahami kumpulan tertentu.

Sesebuah masyarakat yang bertamadun bukan diukur dengan sebanyak mana undang-undang digubal atau seberat mana hukuman yang dijatuhkan ke atas penjenayah. Bangsa yang bertamadun menyelesaikan jenayah secara menyeluruh dan merawati penyakit sosial itu tanpa mengorbankan aspek nilai yang dijunjung. Perlembagaan Persekutuan mengangkat prinsip keadilan jenayah, bagi memastikan tiada yang terzalimi dalam usaha kita menangani jenayah.

Penulis adalah Bekas Timbalan Pendakwa Raya, kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s