Home

Screenshot 2019-03-30 at 08.57.40

Disiarkan dengan suntingan oleh Berita Harian pada 30 Mac 2019

Hari ini, genap setahun bermula protes rakyat Palestin di perbatasan Gaza yang dinamakan sebagai Perarakan Kembali Besar-besaran Great March of Return. Protes dan kempen yang bertujuan untuk menuntut hak untuk kembali bagi semua pelarian Palestin di serata dunia, yang diktiraf oleh undang-undang antarabangsa.

Beberapa siri demonstrasi telah disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk organisasi-organisasi masyarakat madani, persatuan sosial budaya, kesatuan pelajar, perkumpulan wanita dan wakil beberapa parti politik. Harus ditekankan bahawa demonstrasi ini adalah bersifat aman dan bukannya dianjur oleh mana-mana kumpulan bersenjata di Palestin.

Protes aman itu bagaimanapun bertukar menjadi tragedi berdarah apabila pihak berkuasa Israel yang menjaga sempadan bertindak agresif. Kumpulan Amnesty International menggambarkan tindakbalas Israel sebagai melampau mengambilkira senjata ketenteraan berat yang digunakan ke atas penunjuk perasaan.

Pada Mei 2018, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Bebas Khas bagi menyiasat pencabulan undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia semasa tunjuk perasaan berlaku. Siasatan ditumpukan kepada tindakbalas pihak berkuasa Israel dan juga kesan-kesan terhadap orang awam di semenanjung Gaza dan Israel.

Suruhanjaya itu mendapati bukti-bukti kukuh bahawa pihak berkuasa Israel (Israeli Security Forces –ISF) turut telah membunuh dan mencederakan orang awam, termasuk mereka yang tidak menyertai protes tersebut dan tidak mengancam nyawa atau keselamatan mana-mana pihak. Antara yang ditembak adalah sebilangan kanak-kanak, paramedik, wartawan dan golongan kelainan upaya. 183 ditembak mati, dan 6106 cedera ditembak peluru hidup. Badan itu juga mendakwa terdapat asas bahawa Israel telah melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hak Untuk Kembali

Berbalik kepada ‘Hak untuk Kembali’. Hak ini diiktiraf oleh undang-undang antarabangasa melalui Resolusi 194, Perhimpunanan Agung PBB pada Disember 1948. Ketetapan PBB itu memutuskan bahawa setiap pelarian Palestin yang diusir Isreal berhak kembali ke rumah dan tanah mereka dan pampasan diberikan kepada mereka yang tidak berhsarat untuk kembali atau bagi kerosakan harta benda. Hak ini bagaimana pun dinafikan Israel dan tidak pernah dihormati oleh Israel keculi seketika pada tahun 1949.

Sebab utama keengganan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa itu adalah kerana langkah membenarkan pelarian kembali boleh menghalang cita-cita zionisme mereka. Mereka mengimpikan untuk membina sebuah negara yang ekslusif untuk bangsa Yahudi sahaja, sebagai mana slogan yang diangkat Zionis ‘A land without a people for a people without a land’ (Satu tanah tanpa orang, bagi orang tanpa tanah). Namun ternyata slogan ini dangkal, memandangkan tanah Palestin berpenduduk sebelum perpindahan beramai-ramai golongan Yahudi Zionis selepas Perang Dunia Kedua.

Sekumpulan Rabi Yahudi dari Vienna yang telah melawat Palestin pada 1897 untuk menilai potensi wilayah itu untuk dijadikan Negara Yahudi memberi kiasan, ‘Pengantin itu cantik, tetapi telah menjadi isteri orang lain’. Maksudnya, negeri Palestin ketika itu cantik telah menjadi milik orang lain. Muhammad Asad dalam autobiografinya ‘The Road to Mecca’ juga menggambarkan keadaan masyarakat Arab dan kabilah pribumi lain ketika permukimannya di tanah itu sekitar tahun 1920-an. Asad, dalam buku telah diterjemahkan oleh Islamic Renaissance Front sebagai ‘Jalan Ke Mekah’ turut menjelaskan bagaimana ketika itu gerakan Zionis sedang mula rancak untuk menubuhkan sebuah negara kaum di situ.

Jumlah pelarian Palestin di seluruh dunia kini dianggarkan 7.2 juta. Manakala jumlah orang Palestin yang kini yang tinggal dalam negara Israel lebih kurang 1.6 juta orang. Sedangkan jumlah rakyat Israel yang berketurunan Yahudi kini adalah lebih kurang 6.3 juta orang. Maka kaum Yahudi tidak akan menjadi etnik majoriti, sekirannya Israel membenarkan pelarian ini pulang samada ke Israel, atau ke Tebing Barat atau Gaza. Hal ini pastinya mengancam kedudukan parti-parti politik di situ dan juga penyokonng Zionis yang mengimpikan sebuah Negara Yahudi Israel. Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentanyahu baru-baru ini tanpa segan silu mendakwa secara terbuka bahawa ‘ Israel adalah sebuah negara untuk orang Yahudi sahaja’.

Israel telah lama sedar bahawa secara kuantiti, mereka tidak berupaya menubuhkan sebuah negara satu etnik dan agama. Maka pada tahun 1950, negara itu telah menggubal Law of Return 5710-1950. Undang-undang itu mengalu-alukan mana-mana orang Yahudi di seluruh dunia untuk berhijrah ke situ dan mendapat status sebagaimana warga negara.

Usah Biar Palestin Bersendirian

Sebagai sebahagian dari masyarakat dunia kita tidak sewajarkan meninggalkan rakyat Palestin bersendirian dalam menuntut hak untuk kembali yang dijanjikan sejak 70 tahun lalu. Adalah amat mendukacita bila usaha untuk mengingatkan dunia akan hak asasi warga Palestin itu terpaksa mengorbankan nyawa dan harta benda. Apatah lagi dalam keadaan mereka terpaksa melalui penindasan dan penderitaan saban hari oleh rejim Isreal terutama di Gaza dan sebahagian Hebron. Satu laporan PBB tahun lalu menyatakan bahawa Gaza tidak lagi sesuai diduduki manusia pada tahun 2020 sekirannya Israel dan sekutunya terus mengenakan sekatan.

Malaysia mungkin sebuah negara kecil, namun tidak bermakna kita hanya perlu berdiam. Adakalanya kita sendiri tidak menyangka betapa besarnya kesan dari usaha kecil yang dijalan secara tersusun dan berterusan. Bantahan terhadap Israel perlu diperkasakan bukan sahaja atas dasar agama, tapi atas prinsip moral dan kemanusiaan yang kita angkat. Sebagaimana yang tegaskan oleh YAB Perdana Menteri di Pakistan baru-baru ini:


‘Kita bukan memusuhi bangsa Yahudi, tapi kita tidak boleh iktiraf Israel kerana penjajahannya ke atas tanah Palestin. Mereka tidak boleh merampas tanah orang lain, untuk tubuhkan sebuah negara. Itu adalah sebuah negara perompak’.

(*) Penulis adalah Pensyarah Undang-Undang Universiti Utara Malaysia dan kini menjalankan penyelidikan berkenaan undang-undang jenayah dan keganasan di University of Leeds, United Kingdom.

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s