Home

70954833_156629098758663_2917524576403456000_n.jpg

Disiarkan dengan suntingan oleh Berita Harian pada 28 September 2019.

Dalam usaha melawan keganasan, banyak negara menjadikan tindakan mengagungkan keganasan (glorifying terrorism act) sebagai satu kesalahan jenayah. Menjenayahkan (criminalising) perbuatan mengagungkan keganasan sering disandarkan kepada Resolusi 1624-2005 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Majlis Keselamatan badan itu menyeru negara-negara ahli untuk menggubal undang-undang melarang sebarang bentuk hasutan bagi melakukan tindakan keganasan.

Seruan Majlis Keselamatan PBB disambut banyak negara. Misalnya di United Kingdom, Terrorism Act 2000 telah dipinda pada 2006 bagi memasukkan perihal mengenai tindakan mengagungkan keganasan. Menurut peruntukan itu, ‘glorification’ atau ‘pengagungan’ termasuklah sebarang bentuk pujian, meraikan, dan luahan seumpamanya yang boleh difahami sedemikian.

Bagi Malaysia, Kanun Keseksaan tidak menyebut tindakan mengagungkan (to glorify) keganasan secara literal. Namun seksyen 130G(a) menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana orang menghasut atau mempromosi perbuatan jenayah, boleh dihukum penjara sehingga tiga puluh tahun dan didenda jika didapati bersalah. Seksyen 130G(b) pula menyentuh mengenai tindakan mempromosikan keanggotaan kumpulan pengganas.

Selain itu, seksyen 130J Kanun Keseksaan pula menjelaskan tentang kesalahan beri sokongan kepada kumpulan pengganas atau perbuatan keganasan. ‘Sokongan’ itu merangkumi penggunaan media sosial bagi tujuan menyokong atau mempromosi atau menyokong kumpulan pengganas atau perbuatan keganasan.

Secara umumnya di Malaysia, terdapat dua bentuk kesalahan berkaitan mengagungkan keganasan. Pertama, kesalahan menghasut atau menyokong perbuataan keganasan. Penekanan diberi kepada tindakan yang bersifat keganasan, tanpa melihat siapa yang melakukannya. Kedua, kesalahan mempromosikan kumpulan pengganas, biarpun tidak tidak dikaitkan apa-apa perbuatan keganasan secara khusus.

Mengagungkan Perbuatan Keganasan

Bagi kesalahan mengagungkan tindakan keganasan, kesalahan ini seumpama kesalahan menghasut seseorang melakukan perbuatan jenayah atau kekerasan. Pencegahan sering disebut sebagai rasional utama larangan terhadap tindakan mengagungkan tindakan keganasaan atau kekerasan. Bahkan, prinsip utama undang-undang jenayah adalah untuk membasmi ‘harm’ atau kemudaratan samada kepada nyawa, tubuh badan dan harta. Maka, seorang yang menghasut seseorang untuk membunuh selayak dilihat sebagai subahat dan wajar dihukum.

Justifikasi larangan hasutan bagi melakukan keganasan adalah lebih jelas sekiranya penghasut menyebut secara khusus kekerasan yang diinginkan. Bagaimana pun, kesalahan ini mungkin rumit sekiranya ‘hasutan’ itu berbentuk umum tanpa dikaitkan dengan mana-mana kumpulan pengganas. Sebagai contoh, sekiranya seseorang  yang menyeru serangan di buat ke atas kerajaan yang dipimpin oleh diktator. Begitu juga seseorang yang memuji seorang yang mengebom diri yang menyasarkan tentera penjajah atau ketika dalam keadaan perang. Dalam keadaan sebegitu, pertimbangan moral dan politikal turut wajar diberi perhatian.

Mengangungkan Kumpulan Pengganas

Kesalahan jenis yang kedua adalah mengagungkan kumpulan pengganas. Kesalahan ini melibatkan tindakan memuji atau meraikan kumpulan pengganas tertentu. Maka bagi tujuan pendakwaan di mahkamah, kumpulan tersebut semestinya terlebih dahulu memenuhi kriteria sebagai ‘kumpulan pengganas’ menurut undang-undang.

Dalam konteks Malaysia, ‘kumpulan pengganas’ ditentukan melalui dua kaedah. Pertama, menurut Kanun Keseksaan ‘kumpulan pengganas’ adalah entiti yang bermatlamat atau melakukan atau memudahkan perbuatan keganasan. Melalui pendekataan ini, fokus adalah pada tindakan atau matlamat sesebuah kumpulan. ‘Tindakan keganasan’ (terrorist act) dihurai dengan panjang lebar dalam Kanun Keseksaan. Sebagai contoh, kumpulan penceroboh Lahad Datu yang menggelarkan diri mereka ‘Angkatan Tentera Kesultanan Sulu’ tidak pernah diwartakan sebagai ‘kumpulan pengganas’ sebelum kejadian berlaku. Namun mengambil kira tindakan keganasan yang dilakukan kumpulan penceroboh itu pada Februari 2013, mahkamah memutuskan bahawa kumpulan tersebut adalah ‘kumpulan pengganas’. Pendekatan begini bagaimana pun hanya bersesuaian apabila peristiwa keganasan telah berlaku, namun agak sukar digunakan untuk tujuan pencegahan keganasan.

Bagi kaedah kedua, penentuan status ‘kumpulan pengganas’ adalah melalui penwartaan sebagai ‘entiti ditentukan’ di bawah Akta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Antara contoh adalah Jemaah Islamiyah, Gerakan Islam Turkistan Timur, Abu Sayyaf, Hizbullah, Militan Houthi dan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE)

Skop Kesalahan Mengagungkan

Tidak mudah untuk menentukan samada sesuatu perbuatan atau kenyataan itu wajar dianggap mengagungkan keganasan. Tiga perkara berikut diutarakan agar diperhalusi bersama. Pertama, batas dan skop tindakan mengagungkan sesuatu tindakan atau kumpulan perlu difahami dengan mengambil kira hak kebebasan bersuara dan berpersatuan di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan. Maka, soalan yang perlu dijawab adalah sejauh mana tindakan mengagungkan itu mengancam keselamatan negara sehingga membolehkan kebebasan asasi disekat atau dikecilkan.

Kedua, penentuan kumpulan pengganas hakikatnya berkait rapat dengan definisi terrorisme atau keganasan, yang gagal disepakati sejagat. Hal ini menjadi lebih rumit dalam membincangkan tentang status pejuang kebebasan. Perjuangan mereka secara dasarnya sah berdasarkan hak menentukan nasib sendiri (right to self-determination) yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa. Namun pada masa yang sama, kaedah dan taktik yang digunapakai sering menjadi pertikaian.

Maka, kita dapat lihat pelbagai negara mengambil pendirian berbeza, berdasarkan pertimbangan masing-masing. Misalnya, gerakan Hamas dari Palestin, yang dikelaskan sebagai ‘Kumpulan Pengganas’ oleh Kesatuan Eropah, sebagaimana Amerika Syarikat dan Mesir. Namun United Kingdom, Australia, dan New Zealand, hanya mengkelaskan sayap ketenteraan Hamas iaitu Briged Izz ad-Din al-Qassam sebagai ‘pengganas’. Malaysia, sebagaimana Turki dan China tidak mengkelaskan Hamas sebagai organisasi pengganas.

Ketiga, status sesebuah organisasi ‘pengganas’ rata-ratanya berubah mengikut peredaran masa. Sebagai contoh, perayaan memperingati Guy Fawkes yang disambut saban tahun di England pastinya tidak wajar dikelaskan sebagai mengagungkan keganasan. Sedangkan Fawkes, yang cuba meletupkan Parlimen, dilabel sebagai pengganas pada zamannnya. Begitu juga tentang beberapa tokoh yang dulu dilabel sebagai pengganas, seperti Nelson Mandela yang turut dilabel sebagai pengganas. Dalam konteks undang-undang, semakan berkala wajar dibuat terhadap status kumpulan-kumpulan yang telah dikelaskan sebagai pengganas. Fokus perlu diberikan kepada sejauh mana kumpulan ini masih memberi ancaman terhadap orang awam dan negara.

Kesamaran dalam menentukan kesalahan mengagungkan keganasan secara amnya dipengaruhi oleh sifat fenomena terorisme itu sendiri. Pertimbangan dan tindakbalas disarankan perlu bersifat objektif.  Di samping pertimbangan politik dan diplomatik, penumpuan mestilah dihala kepada sejauh mana sesuatu tindakan atau kenyataan itu mendorong orang awam untuk melakukan kekerasan. Bukan semata-mata kepada simbol, perlambangan atau retorik umum yang jauh perkaitannya dengan ancaman keganasan yang sebenar.

 

(*) Penulis adalah penyelidik undang-undang counter-terrorism dan keadilan jenayah di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

 

 

 

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s