NYAHJENAYAH CUBAAN BUNUH DIRI

Disiar Berita Harian pada 22 Ogos 2020

Berdasarkan Kanun Keseksaan, cubaan bunuh diri adalah satu kesalahan jenayah. Seksyen 309 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-dua sekali bagi seseorang yang disabitkan kesalahan itu.

Sebagaimana kita maklum, Kanun Keseksaan hari ini adalah saduran Indian Penal Code yang digubal pentadbiran kolonial British di India.

Penjenayahan tindakan cubaan bunuh diri dipengaruhi beberapa faktor, termasuk faktor agama dan nilai moral yang dipegang penggubal undang-undang berhubung perbuatan itu.

Suatu masa dahulu di Eropah, orang yang membunuh diri turut ‘dihukum’. Mayat individu membunuh diri tidak dibenar dikebumikan menurut tatacara agama dan semua hartanya dirampas.

Namun, persoalan perlu diperhalusi kini, adakah undang-undang itu masih relevan dan berkesan dalam menangani tindakan bunuh diri?

Kerajaan British sendiri yang bertanggungjawab menggubal undang-undang itu sudah nyahjenayah cubaan bunuh diri sejak 1961. Maksudnya, cubaan membunuh diri bukan lagi kesalahan jenayah yang perlu dihukum di United Kingdom (UK).

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Bunuh Diri 1961 di Parlimen UK, Charles Fletcher-Cooke, menerangkan ‘kerajaan mengiktiraf orang yang cuba bunuh diri sebagai gagal, tetapi hakikatnya memerlukan belas kasihan dan bantuan, bukan hukuman dan mereka lazimnya memerlukan khidmat doktor, pakar psikiatri, pembimbing rohani, pekerja kebajikan dan dalam kes tertentu, peguam, tetapi bukan khidmat polis atau penjaga penjara’.

Kerajaan India pula merintis jalan untuk nyahjenayah kesalahan cubaan bunuh diri sejak 1970. Antara langkah diambil termasuk memperkenalkan Mental Health Care Act pada 2017.

Berdasarkan undang-undang baharu itu, orang yang cuba bunuh diri wajib dianggap mengalami tekanan perasaan dan tidak boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

Negara jiran, Singapura juga sudah nyahjenayah kesalahan cubaan membunuh diri apabila memansuhkan seksyen 309, Kanun Keseksaan Singapura berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menggesa semua negara mengambil tindakan sama dan mengambil pendekatan menyeluruh dan bersifat rawatan serta pemulihan.

Mengekalkan tindakan cubaan membunuh diri sebagai kesalahan jenayah boleh menyebabkan usaha mengatasi masalah membunuh diri di Malaysia tergendala.

Tiga sebab dikemukakan: Pertama, undang-undang yang ada secara langsung dan tidak menghalang mereka yang cenderung bunuh diri untuk tampil mendapatkan bantuan dan rawatan. Mereka pasti khuatir diambil tindakan dan didakwa di mahkamah.

Pada masa sama, kerajaan sukar mengetahui sejauh mana keruncingan masalah ini dalam masyarakat kita.

Kedua, undang-undang sekarang boleh menyebabkan individu tertekan mencuba sedaya upaya untuk pastikan tindakan bunuh diri ‘berjaya’.

Cubaan yang gagal dibimbangi menyebabkan diri didakwa dan hukum kemudian. Lebih malang, jika cubaan kedua diambil selepas gagal cubaan pertama.

Harus diingat, mereka yang cuba membunuh diri lazimnya membuat keputusan terburu-buru dan tidak rasional. Undang-undang sepatutnya menghalang tindakan ini pada mana-mana tahap sekali pun.

Ketiga, pendekatan hukuman di bawah Kanun Keseksaan tidak sejajar pendekatan rawatan dan pemulihan. Tiada jaminan mereka dihukum boleh dirawat dan dipulihkan dengan berkesan ketika menjalani hukuman pemenjaraan.

Nyahjenayah cubaan bunuh diri semata-mata sememangnya tidak memadai dalam menangani masalah ini.

Namun, usaha ini cukup mustahak dalam merencana dan menjayakan sebuah upaya yang lebih menyeluruh.

Tindakan nyahjenayah dalam undang-undang juga secara simbolik mengurangkan stigma berkait bunuh diri, di samping program kesedaran lain.

Tindakan nyahjenayah bukan bermakna menggalakkan bunuh diri. Kita percaya undang-undang sedia ada bukan sahaja tidak berkesan, bahkan mampu merencatkan segala usaha mencegah dan menangani masalah itu.

Maka, amat disarankan kerajaan memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, selain menyemak semula atau menggubalkan undang-undang agar lebih mengutamakan rawatan dan pemulihan, berbanding hukuman.

Mana-mana individu didapati cuba bunuh diri perlu dirujuk untuk pemeriksaan dan diletakkan dalam pemerhatian pakar bidang berkaitan.

Sudah tiba masanya kita melihat individu yang mempunyai kecenderungan bunuh diri sebagai mangsa, bukan penjenayah yang layak dihukum.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s