TEMUBUAL BERSAMA MALAYSIA MUDA

Malaysia Muda: Keganasan seringkali digunakan dalam banyak spektrum serta terbuka untuk dimanipulasi oleh mereka yang di tampuk kuasa. Misalnya, kempen “perang ke atas keganasan” yang digencar oleh Amerika. Manakala, lewat skala nasional di negara kita sendiri, penggunaan akta POTA dan POCA sekaligus membuka ruang salah guna kuasa oleh pemerintah jika tidak diteliti rapi. Dan melihat kepada isu keganasan hari ini, seakan-akan ianya dapat diertikan dan ditanggapi dari kacamata “banality of evils” zaman kita. Di mana, kita tidak dapat mempersoal dan hanya akur dengan pendekatan yang sangat militer dan cenderung autoritarian dalam menangani soal keganasan. Bagaimana kita mahu memahami persoalan ini atau apakah ia satu-satunya cara bagi menangani fenomena keganasan hari ini?

Mukhriz Mat Rus: Unsur utama yang membezakan antara terorisme (keganasan) dan jenayah kekerasan yang lain adalah unsur politik. Maka apabila kita bincangkan tentang keganasan, topik itu berkait dengan politik dan kekuasaan. Samada tindakan terorisme itu sendiri, atau pun segala langkah tindak balas melawan dan mencegahnya. Namun persoalannya, mengapa konsep terorisme menjadi begitu mudah untuk disalah guna?

Sebab pertama, pada hemat saya, adalah kerana kesukaran untuk mendefinisikan ‘terorisme’ itu sendiri. Kita lazim mendengar kata-kata ‘one man’s terrorist is another man’s freedom fighter’. Ada beberapa tanggapan dan penafsiran berbeza yang boleh digarap dari kata-kata tersebut; pertama, tiada perbezaan antara teroris dan pejuang kebebasan, yang ada hanya perbezaan sudut pandang. Kedua, kata-kata ini menggambarkan bahawa definisi terorisme dan perjuangan menuntut kebebasan itu ditentukan oleh pelabelnya.

Dalam erti kata lain, pengertian dua terma itu bergantung kepada siapa pendefinisinya dan untuk apa definisi itu dirumuskan. Umpama telahan sejarawan Amerika Syarikat, J. Bowyer Bell, ‘beritahu kepadaku tentang apa yang kau fikirkan tentang terorisme, dan maka aku dapat beritahu siapa engkau’. Dan yang ketiga, yang ingin saya garisbawahkan adalah, kata-kata tersebut seakan menyatakan bahawa cubaan untuk membezakan antara dua konsep ini adalah sia-sia dan pasti akan menemui jalan buntu.

Kegagalan untuk melakar rangka yang jelas menyebabkan konsep terorisme itu menjadi samar. Dalam konteks antarabangsa, apakah wajar untuk kita mengganggap mereka yang menuntut kemerdekaan dan mempertahankan negara sendiri dari serangan sebagai pengganas? Sedangkan, mereka memperjuangkan hak mereka atas dasar hak untuk menentukan nasib sendiri (right to self-determination) yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.

Slogan ‘perang ke atas keganasan’ pada satu tahap juga bersifat paradoks. Perang itu sendiri melibatkan penggunaan kekerasan demi matlamat politik, sebagaimana terorisme. Bezanya adalah legitimasi, dan dalam banyak keadaan, legitimasi adalah satu persoalan yang mengundang perbahasan dan pertikaian. Contohnya, serangan unilateral Amerika Syarikat ke atas Iraq.

Bagi konteks dalam negara pula, sejarah menyaksikan bagaimana rejim-rejim juga melabelkan mereka yang membangkang sebagai teroris. Ambil contoh Mandela, yang dilabel sebagai pengganas oleh kerajaan apartheid Afrika Selatan dulu, diambil tindakan di bawah undang-undang anti-keganasan. Namun kemudiannya, beliau diangkat sebagai wira.

Banyak negara cuba merangka definisi keganasan, termasuk Malaysia. Pada satu sudut, mempunyai definisi itu suatu yang bagus dan bertepatan dengan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law), namun persoalan seterusnya, adakah definisi itu adil dan berkesan. Adil dan berkesan, dalam erti kata mampu membezakan antara yang ‘benar-benar pengganas’ dan mereka yang sekadar menyuarakan bantahan kepada pemerintah negara.

Jika gagal, usaha melawan keganasan bukan sahaja menzalimi orang awam, bahkan counter-productive. Definisi terorisme yang terlalu luas mungkin memudahkan pihak berkuasa dalam menjalankan pencegahan keganasan, namun tanpa lindung jamin (safeguard) yang cukup, keadaan itu membuka ruang kepada salah guna kuasa.

Sebab kedua kenapa terorisme ini mudah disalahguna berkait dengan naratif dan persepsi yang melingkari fenomena itu. Terorisme sering digambarkan sebagai suatu yang menakutkan, luarbiasa mudaratnya dan sukar difahami sifatnya.

Akibatnya, tindak balas terhadap keganasan seringkali bersifat reaktif, tidak rasional dan tidak berkadaran. Undang-undang yang digubal adakalanya dibahaskan secara emosional dan tidak mendalam, lantaran digubal sejurus selepas insiden keganasan. Sebagai contoh, Akta PATRIOT Amerika Syarikat yang digubal selepas kejadian 9/11.

Disebabkan sifat terorisme yang dilihat ‘berbeza’ itu, banyak undang-undang khas (special legislation) digubal. Undang-undang ini lazimnya tidak selari dengan undang-undang biasa atau nilai-nilai masyarakat, namun secara umumnya, bukan benda yang baharu. Bagaimanapun, apa yang perlu kita beri perhatian adalah mana-mana undang-undang khas yang digubal mestilah berkadaran sifatnya dengan ancaman keganasan, dan perlu dihadkan penguatkuasaannya.

Maka, dalam hal ini undang-undang khas anti-keganasan perlu disemak dari masa ke semasa, agar ia tidak dilazimkan (normalised) menjadi undang-undang biasa. Dalam keadaan tertentu juga, penggubalan undang-undang anti-keganasan juga sering menjadi alat politikus untuk sebagai tindak balas politik murahan bagi menunjukkan mereka ‘doing something’. Hasilnya, lahirlah undang-undang melepas batok di tangga, yang mudah disalahguna.

Selain kerajaan, kita juga boleh lihat bagaimana rasa takut kepada terorisme bukan sahaja menjadi komoditi politikus, tetapi juga industri perniagaan. Anda boleh lihat ‘pakar-pakar terorisme’ yang dibiayai syarikat-syarikat peralatan keselamatan ke sana-sini bercakap tentang besarnya ancaman keganasan. Mereka bukan sahaja mendapat keuntungan, tapi pada masa yang sama menyemarakkan ketakutan tanpa asas terhadap terrorisme. Harus ditegaskan, bukan saya menidakkan ancaman keganasan, tapi upaya melawan keganasan perlu bersifat telus dan tulus, dan dihalakan kepada sasaran yang tepat. Bukan sekadar menohok lembing ke semak.

Baca lanjut di: #MalaysiaYangMuda : Mukhriz Mat Rus

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s