MEMPERKASA PENENTANGAN TERHADAP REJIM APARTEID ISRAEL

Ada dua perkembangan terbaru berkenaan rakyat Palestin yang wajar diberi perhatian. Pertama, pelabelan Israel sebagai negara Apartheid. Kedua, berkenaan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang membenarkan Pendakwanya untuk memulakan siasatan ke atas jenayah antarabangsa yang berlaku di Palestin.

Tindakan menyifatkan Israel sebagai sebuah negara aparteid bukan satu yang baharu. Sebelum ini, sudah ramai sarjana dan aktivis telah mengutarakan keterangan dan bukti bahawa Israel mengamalkan dasar apartheid, biarpun tidak benar-benar serupa dengan apa yang berlaku di Afrika Selatan dulu. Namun sifat-sifat asas dan matlamatnya adalah sama, bahkan lebih buruk dan licik. Baru-baru ini B’Tselem, sebuah organisasi hak asasi manusia terbesar di Israel membuat ‘kejutan’ dengan mendakwa negara itu adalah sebuah negara aparteid mengambil kira polisi dan tindak tanduk kerajaannya terhadap rakyat Palestin.

Aparteid berasal dari perkataan Afrikaans yang membawa maksud ‘pemisahan’, yang pada asalnya merujuk kepada sistem diskriminasi kaum yang wujud di Afrika Selatan hingga tahun 1994. Rejim Aparteid Afrika Selatan ketika itu mengamalkan dasar diskriminasi dengan tidak memberi hak sama rata kepada rakyat berkulit hitam. Undang-undang berbeza dikenakan ke atas mereka, berbanding waga kulit putih yang turut mendapat pelbagai hak-hak keistimewaan.

Bagaimana pun terma ‘apartheid’ itu bukan lagi terbatas kepada rejim Afrika Selatan dulu, tapi kini turut diguna pakai dalam Undang-undang Antarabangsa bagi menggambarkan mana-mana pemerintah yang mengamalkan dasar yang sama. Konvensyen Aparteid PBB 1973 menjelaskan lebih lanjut akan apa itu dasar apartheid. 

Selain itu, Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa 2002 mengkelaskan ‘jenayah apartheid’ sebagai jenayah terhadap kemanusian (Crimes against humanity). Statut Rom turut mendefinisikan jenayah aparteid sebagai perbuatan tidak berkemanusiaan yang dilakukan dalam sebuah pemerintahan rejim penindasan terancang dan dikuasai oleh satu kaum menindas satu kaum atau kaum-kaum lain, dan dilakukan dengan niat untuk mengekalkan rejim tersebut’

Kenapa Israel wajar dirujuk sebagai sebuah negara apartheid? Terdapat bukti dan keterangan yang cukup banyak dan wibawa yang menunjukkan berlaku penindasan secara sistematik ke atas rakyat Palestin. Hal ini menepati definisi yang digariskan undang-undang antarabangsa menurut para sarjana undang-undang dan pemerhati PBB.

Antaranya, Professor Emeritus Richard Falk, Princeton University yang juga bekas Special Rapporteur PBB 2008-2014, membuat dapatan bahawa Israel telah melakukan diskiminasi kaum, aparteid dan penyeksaan melalui penindasan tersusun ke atas rakyat Palestin. Pada tahun 2020, seramai 47 pakar bebas hak asasi manusia, yang dilantik oleh PBB untuk memantau situasi di negara tertentu, telah menggambarkan keadaan di Israel sebagai ‘aparteid abad ke-21’.

Antara tindakan rejim Israel yang ternyata bersifat aparteid termasuklah dengan menggubal undang-undang yang dinamakan Nation State Law 2018 yang mengkelaskan warganegara kepada Jewish dan Arab dengan hak dan kebebasan yang berbeza. Rejim Israel juga telah melaksanakan pelbagai tindakan yang dilarang oleh Konvensyen AparteidPBB seperti pindahan secara paksa rakyat Palestin bagi memberi laluan kepada penempatan Yahudi. Israel juga menafikan hak jutaan rakyat Palestin untuk pulang ke tanah asal mereka. Hak untuk bergerak rakyat Palestin, seperti di Semenanjung Gaza, juga dinafikan rejim aparteid itu.

Sebagaimana disebut pada awal tulisan, satu lagi perkembagan positif adalah keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang membenarkan permohonan Pendakwanya, Fatou Bensouda, memulakan penyiasatan tuduhan kekejaman terhadap rakyat Palestin. Permohonan itu terpaksa dibuat kerana status Palestin sebagai sebuah ‘negara’ dipertikai, terutama oleh Israel dan sekutunya.

Palestin menandatangani Statut Rom pada 2015, susulan pengiktirafan Palestin sebagai ‘negara’ oleh PBB pada 2012. Maka bagi tujuan prosiding di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, para hakim mendapati Palestin memenuhi syarat sebagai sebuah negara berdaulat penandatangan Statut Rom. Maka apa-apa jenayah antarabangsa yang berlaku di Palestin boleh diadukan dan dibicarakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Hague itu.

Mahkamah Antarabangsa juga menjelaskan bahawa bagi tujuan siasatan dan prosiding, wilayah Palestin yang dirujuk meliputi Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, berdasarkan kedudukan pada 1967 mengambilkira perjanjian-perjanjian bersama dan undang-undang antarabangsa. Dalam pendengaran kes ini, mahkamah telah meneliti hujah dan pandangan dari pihak Pendakwa, Palestin dan beberapa negara lain, pertubuhan bukan kerajaan dan individu pakar. 

Memandangkan Malaysia tidak menandatangi Statut Rom, negara kita tidak berkapasiti untuk sertai secara lansung dalam prosiding ini. Namun, usaha proaktif sebuah NGO dari Malaysia yang dinamakan Yayasan MyAQSA yang menjadi amius curie dalam prosiding ini wajar diberi pujian. Dalam sesebuah perbicaraan, amicus curie berperanan menawarkan pandangan undang-undang kepada hakim dalam isu-isu yang ditikaikan.

Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa ini diharapkan membuka jalan agar semua perbuatan jenayah antarabangsa, termasuk jenayah apartheid, yang berlaku di Palestin selama berdekad-dekad ini dapat dibongkar dan dihentikan. Semoga semua penjenayah antarabangsa ini diheret ke mahkamah, diadili dan dihukum.Pada masa yang sama, rejim aparteid Israel perlu ditekan dan diasak secara global, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh masyarakat antarabangsa terhadap rejim aparteid Afrika Selatan dulu. Seruan boikot dan tuntutan sekatan ke atas negara itu dan kepentingannya secara bersasar dan tersusun wajar diperkasakan samada di peringkat nasional atau antarabangsa. Salah satu organisasi yang menggerakkan upaya ini di Malaysia adalah Boycott, divestment & Sanction (BDS) Malaysia. Usaha sebeginilah yang turut membantu perjuangan menentang rejim aparteid Afrika Selatan suatu ketika dulu, dan mesti diteruskan. Memetik kata-kata pejuang anti-aparteid Afrika Selatan, Nelson Mandela:

‘We know too well that our freedom is incomplete without the freedom of the Palestinians.’ Mandela, 1997.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s