ABSTRAK:

Ada ruang bertindih yang besar antara jenayah dan keganasan. Perihal ini terzahir jelas dalam gugusan definisi ‘keganasan’ yang pernah dikemukakan sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa. Keganasan lazimnya merangkumi tindak tanduk jenayah seperti membunuh, mencederakan, merosakkan harta benda dan menculik. Bagaimana pun, keganasan sering dihujahkan tidak seperti jenayah biasa. Keganasan mempunyai sifat-sifat ‘istimewa’ yang turut mencerminkan bentuk ancaman yang dibawanya. Perspektif tersendiri terhadap sifat-sifat ini juga turut menentukan pendekatan dan strategi sesebuah negara dalam melawan keganasan. Bagi yang memilih untuk mengabaikan ciri-ciri khusus keganasan, undang-undang dan polisi sedia ada dalam menangani jenayah diguna pakai. Sebaliknya pula, bagi yang menanggapi keganasan sebagai suatu fenomena sosial yang berbeza daripada jenayah, langkah-langkah luar sistem keadilan jenayah dipilih dalam melawan keganasan. Perspektif yang menerka keganasan sebagai ‘jenayah istimewa’ boleh dikatakan berada di titik pertengahan. Dengan memfokuskan kepada konteks Malaysia, kajian doktrin perundangan ini menyelidiki sifat-sifat utama yang membezakan keganasan dengan jenayah biasa dan mengungkai bagaimana undang-undang dan tatacara jenayah domestik berinteraksi dengan semua ‘keistimewaan’ yang ada. Penulisan ini dihasilkan berdasarkan analisa yang dibuat ke atas teks undang-undang, dan alasan penghakiman mahkamah yang merupakan sumber rujukan utama, selain sumber sekunder yang terdiri daripada karya-karya ilmiah berkaitan. Tiga sifat keistimewaan yang utama bagi keganasan, iaitu rentas sempadan, sulit dan politikal dikenal pasti dan dianalisa. Kajian ini turut mendapati ‘keistimewaan’ yang ada pada keganasan mempengaruhi bentuk undang-undang anti-keganasan. Ia juga turut membingkai akan sejauh mana undang-undang jenayah yang sedia ada telah diubahsuai. Pengabaian sifat-sifat khusus keganasan dikhuatiri bukan sahaja boleh mengakibatkan upaya dan usaha melawan keganasan menjadi tidak berkesan, tetapi boleh memudaratkan sistem dan nilai sedia ada.

Pautan: ResearchGate