Disiarkan oleh Berita Harian pada 17 Jun 2021

DALAM perbahasan mengenai isu Palestin, penyokong Israel pasti membangkitkan mengenai Hamas.

Dasar dan tindak tanduk Hamas akan digambarkan batu penghalang segala usaha perdamaian atau penyelesaian ‘konflik’ berpanjangan sejak penubuhan Israel pada 1948, walaupun Hamas hanya ditubuhkan pada 1987.

Apakah adil untuk sentiasa meletakkan Hamas di kandang pesalah? Apakah perjuangan Hamas sah dan absah di sisi undang-undang antarabangsa? Apakah Hamas wajar dilabel pengganas? Tulisan ini akan meneliti dua persoalan itu melalui perspektif undang-undang antarabangsa.

Masyarakat dunia mengesahkan bahawa pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin bercanggah undang-undang antarabangsa.

Perkara ini jelas dilihat berdasarkan gugusan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk resolusi bernombor 446, 452, 465, 471 dan 476. Resolusi PBB biarpun tidak mengikat negara anggota, tetapi mempunyai pemberat politik, keabsahan moral dan sumber undang-undang antarabangsa.

Resolusi 446 PBB menyatakan penjajahan penempatan haram Israel di wilayah Palestin tidak mempunyai keabsahan undang-undang dan mengancam keamanan di situ.

Pada 2004, Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga merujuk wilayah yang diduduki Israel sebagai Occupied Palestinian Territories (wilayah diduduki Palestin).

Status Palestin sebagai wilayah yang dijajah adalah isu pokok perlu ditekan apabila kita menilai Hamas. Sesungguhnya, penjajahan bersifat ketenteraan dilarang undang-undang antarabangsa, biarpun bersifat sementara.

Perkara ini dinyatakan jelas dalam Resolusi Perhimpunan Agung PBB 3314 pada 1974. Resolusi sama turut mengiktiraf hak rakyat yang dijajah untuk melawan penjajahan dan mendapat bantuan atas dasar hak penentuan nasib sendiri atau right to self-determination.

Maka jelas, tindakan Israel menjajah Palestin yang menjadi punca krisis ini bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. Oleh itu, tindakan melawan penjajahan adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa, selain daripada absah dari sudut moral.

Bahkan pada 1982, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 37/43 yang dengan terang mengiktiraf perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan daripada penjajahan pihak asing dengan apa cara sekali pun, termasuk dengan mengangkat bersenjata.

Dengan itu, tindakan Hamas yang masih mengekalkan sayap ketenteraannya bagi melawan penjajahan Israel, bukan suatu yang bercanggah dengan ketetapan antarabangsa.

Harus diingatkan juga, perjuangan bersenjata bukanlah satu-satunya usaha digerakkan Hamas, sebaliknya turut menyertai demokrasi dan beberapa kali ke meja rundingan.

Beralih kepada tanggapan Hamas sebagai pengganas, seperti lazimnya setiap gerakan pembebasan akan mudah dilabelkan sebagai pengganas.

Hal ini tercermin dalam dikotomi, one man’s terrorist is another man’s freedom fighter (pengganas bagi seorang lelaki adalah pejuang kebebasan bagi seorang lelaki lain). Slogan ini menawarkan setidak-tidaknya dua garapan:

Pertama, tiada perbezaan ketara antara pengganas dan penuntut kemerdekaan, sebaliknya yang ada hanyalah perbezaan perspektif pelabel. Kedua, cubaan untuk membezakan antara pengganas dan pejuang kemerdekaan adalah usaha yang mustahil dan sia-sia.

Selain itu, sejarah juga menunjukkan bahawa kuasa penjajah sering menyalah guna label ‘pengganas’ sebagai senjata untuk mengikis sokongan awam terhadap gerakan pembebasan.

Berkenaan Hamas, masyarakat dunia tidak sepakat dalam menyifatkan sama ada gerakan itu pengganas atau bukan. Perselisihan ini dapat dilihat dengan jelas ketika Perhimpunan Agung PBB 2018. Usul tajaan Amerika Syarikat (AS) yang menyifatkan Hamas sebagai organisasi pengganas ditolak selepas gagal mendapatkan sokongan secukupnya.

Secara ringkas, ada negara mengkelaskan Hamas sebagai kumpulan pengganas, seperti AS, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU). Negara seperti United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand pula hanya menyenaraikan sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam sebagai organisasi pengganas, tidak keseluruhannya.

China, Russia, Switzerland dan Turki pula antara negara yang tidak menganggap Hamas sebagai entiti pengganas. Begitu juga Malaysia.

Ketidaksepakatan ini menunjukkan bahawa label pengganas itu bukan muktamad dan boleh dipertikai. Setiap pelabel ada pertimbangan dan agenda tersendiri.

Sejarah mengajar kita bahawa label pengganas lazimnya tidak kekal. Pihak yang dilabel pengganas hari ini, boleh diangkat sebagai wira pada masa akan datang.

Pejuang antiapartheid, Nelson Mandela dan partinya African National Congress (ANC) pernah disenaraikan sebagai pengganas.

Dalam sejarah Israel sendiri, kumpulan Irgun dan pemimpinnya Menachem Begin, yang kemudian menjadi Perdana Menteri keenam pernah dianggap pengganas oleh British sebelum penubuhan Israel. Sebaliknya kini, mereka dianggap sebagai tokoh pengasas Israel.

Maka tidak mustahil jika suatu hari nanti apabila Palestin mencapai kemerdekaan, pimpinan Hamas akan diangkat oleh rakyat Palestin dan warga dunia sebagai wira.

Ringkasnya, label pengganas tidak sewajarnya mempengaruhi minda kita untuk berfikir secara objektif dalam menilai mana-mana kelompok rakyat Palestin.

Satu lagi isu sering dicanangkan adalah pembabitan Hamas dalam jenayah perang. Sememangnya terdapat beberapa laporan berkaitan.

Namun, semua laporan bebas daripada badan antarabangsa itu turut menyenaraikan jenayah perang yang dilakukan Israel. Harus ditekankan, laporan terbabit menuntut siasatan lanjut, bebas dan menyeluruh.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kini sedang menjalankan siasatan terhadap kemungkinan berlaku jenayah perang di sana.

Hamas menyambut baik keputusan itu dan berjanji akan memberi kerjasama. Namun malangnya, Israel membantah bidang kuasa dan proses siasatan ICC.

Perlu juga ditekankan bahawa jenayah perang dilakukan mana-mana kelompok rakyat Palestin tidak sedikit pun mengurangkan keabsahan perjuangan mereka melawan penjajahan. Begitu juga, kematian dan kemusnahan harta benda dialami Israel tidak mengubah statusnya sebagai sebuah negara penjajah, yang melanggar puluhan ketetapan PBB.

Fokus wajib ditalakan kepada punca pergolakan, yakni penjajahan dan pencabulan hak asas rakyat Palestin yang diiktiraf undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)