[ACADEMIC PAPER]

ABSTRACT

Malaysia’s counter-terrorism strategy has its roots within the 12-year campaign against the communist insurgency between 1948 and 1960. During the emergency period, the government relied heavily on executive-based measures, which operated as a primary instrument to execute the “Winning Hearts and Minds” agenda. The state executive body and its agents had a wide range of powers at its disposal, including indefinite detention without trial and restriction of residence against terrorist suspects. A similar approach was maintained through various legislation even after the country gained independence in 1957. However, recent developments indicate a significant change in the attitude of the government. The criminal justice approach begins to gain greater prominence, this being evident from the growing number of prosecutions against terror suspects and the creation of new terrorism-related offences. This paper first examines whether the apparent change is genuine and sustainable in the long term. This concern is connected with the nature and limits of the criminal law and justice system, along with other challenges derived from the existing structure, culture, and practices within the country. By adopting a socio-legal approach, this research also investigates the factors favouring and hindering the criminal justice approach empirically and theoretically as a primary legal response to countering terrorism in Malaysia. The ultimate aim is to contextualise an effective and fair legal response to terrorism that is able to operate within multifaceted counter-terrorism arrangements involving different stakeholders.

Keywords: counter-terrorism, criminal justice, terrorism, Malaysia, law 

[ACADEMIC PAPER]

ABSTRACT- Internal and external factors often shape the legal definitions of ‘terrorist’ at the domestic level. In Malaysia, the internal factors include its colonial legacy and prevailing political culture. The external factor can be traced from the formulation of the present definitions of ‘terrorist’, ‘terrorist group’ and ‘terrorist act’ in the Penal Code. The definitions were included in the Code in 2007, corresponding with the global trend in countering terrorism through the criminal justice system. This study set out to assess the origin and legislative intent behind the formulation of the definitions, as well as how these legal definitions have been interpreted and applied in terrorism-related trials. This doctrinal legal exploration is based on judicial interpretation of legal texts, as well as historical and political contexts. Accordingly, this study has identified the roots of the definitions, which are based on the proposal made by the Commonwealth Secretariat, and arguably in line with obligations imposed on Malaysia by virtue of the UN Security Council Resolution 1373. As a product of policy transfer, the definitions have been translated and interpreted based on the local settings and existing terrorism threats. This paper ascertained and classified two critical approaches adopted by Malaysian judges in dealing with definitional issues. The first approach deals with the action-based perspective, where a judge would focus on the terroristic acts committed or plotted. Another approach operates based on the label, either based on judicial notice, or government’s proscription or the evidence given by terrorism experts.

Link to Research Gate

[RENCANA AKHBAR]

Disiarkan oleh Berita Harian pada 17 Jun 2021

DALAM perbahasan mengenai isu Palestin, penyokong Israel pasti membangkitkan mengenai Hamas.

Dasar dan tindak tanduk Hamas akan digambarkan batu penghalang segala usaha perdamaian atau penyelesaian ‘konflik’ berpanjangan sejak penubuhan Israel pada 1948, walaupun Hamas hanya ditubuhkan pada 1987.

Apakah adil untuk sentiasa meletakkan Hamas di kandang pesalah? Apakah perjuangan Hamas sah dan absah di sisi undang-undang antarabangsa? Apakah Hamas wajar dilabel pengganas? Tulisan ini akan meneliti dua persoalan itu melalui perspektif undang-undang antarabangsa.

Masyarakat dunia mengesahkan bahawa pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin bercanggah undang-undang antarabangsa.

Perkara ini jelas dilihat berdasarkan gugusan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk resolusi bernombor 446, 452, 465, 471 dan 476. Resolusi PBB biarpun tidak mengikat negara anggota, tetapi mempunyai pemberat politik, keabsahan moral dan sumber undang-undang antarabangsa.

Resolusi 446 PBB menyatakan penjajahan penempatan haram Israel di wilayah Palestin tidak mempunyai keabsahan undang-undang dan mengancam keamanan di situ.

Pada 2004, Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga merujuk wilayah yang diduduki Israel sebagai Occupied Palestinian Territories (wilayah diduduki Palestin).

Status Palestin sebagai wilayah yang dijajah adalah isu pokok perlu ditekan apabila kita menilai Hamas. Sesungguhnya, penjajahan bersifat ketenteraan dilarang undang-undang antarabangsa, biarpun bersifat sementara.

Perkara ini dinyatakan jelas dalam Resolusi Perhimpunan Agung PBB 3314 pada 1974. Resolusi sama turut mengiktiraf hak rakyat yang dijajah untuk melawan penjajahan dan mendapat bantuan atas dasar hak penentuan nasib sendiri atau right to self-determination.

Maka jelas, tindakan Israel menjajah Palestin yang menjadi punca krisis ini bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. Oleh itu, tindakan melawan penjajahan adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa, selain daripada absah dari sudut moral.

Bahkan pada 1982, Perhimpunan Agung PBB meluluskan Resolusi 37/43 yang dengan terang mengiktiraf perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan daripada penjajahan pihak asing dengan apa cara sekali pun, termasuk dengan mengangkat bersenjata.

Dengan itu, tindakan Hamas yang masih mengekalkan sayap ketenteraannya bagi melawan penjajahan Israel, bukan suatu yang bercanggah dengan ketetapan antarabangsa.

Harus diingatkan juga, perjuangan bersenjata bukanlah satu-satunya usaha digerakkan Hamas, sebaliknya turut menyertai demokrasi dan beberapa kali ke meja rundingan.

Beralih kepada tanggapan Hamas sebagai pengganas, seperti lazimnya setiap gerakan pembebasan akan mudah dilabelkan sebagai pengganas.

Hal ini tercermin dalam dikotomi, one man’s terrorist is another man’s freedom fighter (pengganas bagi seorang lelaki adalah pejuang kebebasan bagi seorang lelaki lain). Slogan ini menawarkan setidak-tidaknya dua garapan:

Pertama, tiada perbezaan ketara antara pengganas dan penuntut kemerdekaan, sebaliknya yang ada hanyalah perbezaan perspektif pelabel. Kedua, cubaan untuk membezakan antara pengganas dan pejuang kemerdekaan adalah usaha yang mustahil dan sia-sia.

Selain itu, sejarah juga menunjukkan bahawa kuasa penjajah sering menyalah guna label ‘pengganas’ sebagai senjata untuk mengikis sokongan awam terhadap gerakan pembebasan.

Berkenaan Hamas, masyarakat dunia tidak sepakat dalam menyifatkan sama ada gerakan itu pengganas atau bukan. Perselisihan ini dapat dilihat dengan jelas ketika Perhimpunan Agung PBB 2018. Usul tajaan Amerika Syarikat (AS) yang menyifatkan Hamas sebagai organisasi pengganas ditolak selepas gagal mendapatkan sokongan secukupnya.

Secara ringkas, ada negara mengkelaskan Hamas sebagai kumpulan pengganas, seperti AS, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU). Negara seperti United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand pula hanya menyenaraikan sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam sebagai organisasi pengganas, tidak keseluruhannya.

China, Russia, Switzerland dan Turki pula antara negara yang tidak menganggap Hamas sebagai entiti pengganas. Begitu juga Malaysia.

Ketidaksepakatan ini menunjukkan bahawa label pengganas itu bukan muktamad dan boleh dipertikai. Setiap pelabel ada pertimbangan dan agenda tersendiri.

Sejarah mengajar kita bahawa label pengganas lazimnya tidak kekal. Pihak yang dilabel pengganas hari ini, boleh diangkat sebagai wira pada masa akan datang.

Pejuang antiapartheid, Nelson Mandela dan partinya African National Congress (ANC) pernah disenaraikan sebagai pengganas.

Dalam sejarah Israel sendiri, kumpulan Irgun dan pemimpinnya Menachem Begin, yang kemudian menjadi Perdana Menteri keenam pernah dianggap pengganas oleh British sebelum penubuhan Israel. Sebaliknya kini, mereka dianggap sebagai tokoh pengasas Israel.

Maka tidak mustahil jika suatu hari nanti apabila Palestin mencapai kemerdekaan, pimpinan Hamas akan diangkat oleh rakyat Palestin dan warga dunia sebagai wira.

Ringkasnya, label pengganas tidak sewajarnya mempengaruhi minda kita untuk berfikir secara objektif dalam menilai mana-mana kelompok rakyat Palestin.

Satu lagi isu sering dicanangkan adalah pembabitan Hamas dalam jenayah perang. Sememangnya terdapat beberapa laporan berkaitan.

Namun, semua laporan bebas daripada badan antarabangsa itu turut menyenaraikan jenayah perang yang dilakukan Israel. Harus ditekankan, laporan terbabit menuntut siasatan lanjut, bebas dan menyeluruh.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kini sedang menjalankan siasatan terhadap kemungkinan berlaku jenayah perang di sana.

Hamas menyambut baik keputusan itu dan berjanji akan memberi kerjasama. Namun malangnya, Israel membantah bidang kuasa dan proses siasatan ICC.

Perlu juga ditekankan bahawa jenayah perang dilakukan mana-mana kelompok rakyat Palestin tidak sedikit pun mengurangkan keabsahan perjuangan mereka melawan penjajahan. Begitu juga, kematian dan kemusnahan harta benda dialami Israel tidak mengubah statusnya sebagai sebuah negara penjajah, yang melanggar puluhan ketetapan PBB.

Fokus wajib ditalakan kepada punca pergolakan, yakni penjajahan dan pencabulan hak asas rakyat Palestin yang diiktiraf undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

[BUKU] Prakata Sebagai Penterjemah ‘Jalan Ke Mekah’

TIGA PELAJARAN yang saya kutip dari buku Muhammad Asad ‘Road to Mecca’ yang diterjemah bersama Dr Ahmad Nabil Amir.

Muhammad Asad bukanlah penulis Barat pertama yang merekodkan pengamatan yang digarap daripada pengembaraan atau permukiman di ‘Timur’. Tapi melalui autobiografi ini, Asad menghidangkan satu pemerhatian halus dan tersendiri, bukan sahaja sebagai pelancong atau pengembara luar. Namun dia telah menjadi sebahagian daripada masyarakat Timur. Dia jatuh cinta dan bersahabat akrab dengan orang Timur. Dia berjuang bersama mereka melawan kolonialisme. Dia membela hak-hak mereka dan mendedahkan hipokrasi kuasa-kuasa politik Barat. Dia menjadi ‘jurucakap’ masyarakat Timur menyanggah prasangka dan salahfaham Barat. Namun pada masa yang sama, dia kerap menegaskan bahawa dikotomi Timur-Barat tidak sentiasa benar. Hakikatnya dua ‘dunia’ itu bersifat simbiosis, saling mempengaruhi dan tidak pernah terpisah. Asad telah menghasilkan beberapa karya lain yang sarat dengan perbincangan ilmiah dan percambahan fikrah. Bagi adikarya ini, tiga pelajaran penting buat kehidupan terzahir jelas.

PELAJARAN PERTAMA; hidup adalah satu perjalanan, samada secara fizikal melibatkan ruang geografi atau yang bersifat rohani dan kejiwaan. Sebagaimana terungkap melalui doa dalam surah ‘al-Fatihah’, kita dianjurkan untuk senantiasa meminta ditunjukkan jalan yang lurus. Para Nabi dalam teks agama pula sering digambarkan sebagai penunjuk jalan yang benar. Dalam karya ini Asad nukilkan pepatah Kurdish yang cukup dalam lagi indah: ‘Jika air bergenang tanpa riak dalam kolam, ia akan berkeladak dan hapak; hanya apabila ia kekal mengalir, air itu akan tetap hening dan jernih; demikian juga, manusia dalam pengembaraannya’. Benarlah, kehidupan ini bukanlah bersifat statik dan jumud, dan perubahan adalah satu yang pasti. Sarjana kesufian, Omid Safi, perihalkan ‘siratul mustaqim’ sebagai ‘the path of perfect harmony’. Maka kebahagian hidup barangkali bergantung kepada sejauh mana kita menanggapi atau menanggani perubahan, dan sejauh mana kita berupaya berdamai dengan sejarah lalu, yang mungkin atau pastinya berbeza atau bertentangan.

PELAJARAN KEDUA berkait dengan kata hikmah Jerman yang kerap disandarkan kepada Goethe, ‘Man sieht nur, was man weiß’, bererti, seorang itu hanya melihat akan apa yang dia tahu. Perkara ini lazim dapat kita garap dari catatan penulis Barat dalam penulisan mereka tentang masyarakat dan budaya ‘Timur’. ‘Timur’ dilihat penuh misteri, mistik dan menimbulkan keterujaan. Namun pada masa yang sama pengamatan itu berakar kuat pada rasa ‘superior’ dalam diri mereka. Bagaimanapun dalam karya ini, Asad kelihatan meninjau ke daerah menjaungkai sempadan orientalisme, dia cuba memahami budaya Timur melalui perspektif orang Timur sendiri, mengesampingkan prasangka yang disajikan kepadanya ketika membesar di Barat. Dia mendedahkan dirinya kepada kecelaruan dan ‘kesesatan’ di padang pasir kehidupan, namun di sanalah pada akhirnya di temui wadi yang menghilangkan kedahagaan jiwa.

Bagaimana untuk menjadi insan global terawal adalah PELAJARAN KETIGA dalam karya agung ini. Insan global pada zaman moden ini bukanlah mereka yang berkelana atas dorongan kolonialisme atau ‘kewajipan menyelamat’. Tapi insan global masakini bergerak merentasi sempadan dengan mengangkat prinsip persamaan dan menjunjung nilai kemanusian secara total. Asad buktikan bahawa ‘rumah’ tidak semestinya terbatas di daerah atau rantau di mana kita dilahirkan, tapi di mana jiwa kita bersedia untuk ‘melepaskan akar’ dan pastinya menuntut ‘iklim’ dan ‘tanah’ yang harmoni dengan diri. Maka bagi insan global, sebagaimana kata-kata Eugene V. Debs, ‘aku tidak ada negara untuk diperjuangkan; negara aku adalah bumi, dan aku adalah warga negara dunia’. Asad ternyata telah terjemahkan kata-kata ini menerusi hidupnya.

Junjungan Nabi telah perikan bahawa manusia yang terbaik adalah mereka yang memberi paling banyak manfaat kepada manusia. Asad telah memberi sumbangan buat kemanusian dengan caranya yang tersendiri. Moga terjemahan pertama kali dalam Bahasa Kebangsaan dari buku telah diterbitkan pada tahun1954 ini akan memberi manfaat dan ibrah kepada ‘mereka yang berfikir’.

Leeds-23 Disember 2018

———–

Bacaan lanjut:

Prakata Jalan ke Mekah – YB Saari Sungib
https://irfront.net/…/articles-malay/prakata-jalan-ke-mekah/

Uraian Jalan ke Mekah – Ahmad Nabil Amir https://irfront.net/…/articles-mal…/uraian-jalan-ke-mekah-2/

Uraian Jalan ke Mekah – Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
https://irfront.net/…/articles/artic…/uraian-jalan-ke-mekah/

MANSUHKAN AKTA ANTI-BERITA TIDAK BENAR

DdgR4lpWAAAdDJy

Frasa ‘fake news’, berita palsu atau tidak benar mula mendapat perhatian dunia setelah dipopularkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Biarpun tindakan penyebaran maklumat palsu bukanlah satu fenomena baru, masyarakat global dilihat terpanggil mengambil langkah tertentu untuk membendungnya. Maka kita lihat beberapa negara telah menggubal undang-undang anti-berita palsu. Di Malaysia, Akta Antiberita Tidak Benar (AATB) 2018 adalah antara undang-undang terakhir yang digubal oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihanraya berlansung. Bagaimana pun, beberapa negara yang memiliki sistem keadilan jenayah berdasarkan kerangka Common Law dan beteraskan Kanun Keseksaan seperti negara kita kelihatan lebih berhati-hati dalam menggubal undang-undang sebegini. Tindakan sedemikian adalah munasabah mengambil kira beberapa faktor dan bahaya dari undang-undang ini. Berikut adalah empat sebab utama kenapa AATB 2018 perlu dimansuhkan serta merta oleh kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan.

Pertama, AATB 2018 adalah undang-undang reaktif (reactive legisalation) yang dikhuatiri digubal bukan bersandarkan keperluan sebenar tapi lebih dipengaruhi sentimen politik antarabangsa dan tempatan. Sarjana undang-undang jenayah kerap mengingatkan akan mudarat undang-undang reaktif yang tidak reflektif kepada ancaman jenayah yang ingin dibenteras. Secara amnya, undang-undang jenayah sewajarnya perlu senantiasa ditambahbaik mengambil kira tuntutan semasa. Akan tetapi, undang-undang reaktif lazimnya digubal dalam keadaan tergesa-gesa tanpa kajian mendalam dan penglibatan pihak-pihak secara lebih terangkum. Memandangkan undang-undang ini boleh menbataskan hak-hak madani rakyat, pandangan pihak seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan kumpulan masyarakat sivil perlu diambil kira. Menurut SUHAKAM, kerajaan terdahulu hanya merujuk kepada badan itu pada minit terakhir tanpa mengemukakan rang undang-undang tersebut kepada mereka.

Kedua, konsep ‘fake news’ itu sendiri adalah samar. AATB 2018 mendefiniskan ‘berita tidak benar’ dengan merangkumkan apa-apa berita , maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea. Skop definisi ini cukup besar dan samar. Prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) menuntut kepada peruntukan undang-undang yang jelas dan difahami oleh masyarakat. Bahkan amat sulit untuk mahkamah merumuskan samada sesuatu maklumat atau kenyataan sebagai palsu secara muktamad. Ada sebahagian perkara yang mustahil untuk dibuktikan benar atau palsu berdasarkan keterangan yang boleh diterima pakai dimahkamah atau secara saintifik. Misalnya, kenyataan-kenyataan tentang doktrin agama atau teori-teori baharu. Manakala, terdapat juga hal-hal yang tidak boleh ditentukan secara muktamad,  dan terdedah kepada penafsiran yang pelbagai. Contohnya, kenyataan-kenyataan berkaitan sejarah yang adakalanya berbeza lantaran sumber dan elemen politik yang menyelubungi penceritaannya. Begitu juga ada perkara yang bergantung kepada maklumat sedia ada yang dianggap berwibawa ketika itu, dan mana-mana akal yang waras akan membuat kesimpulan yang sama. Maka sukar untuk diterima akal bahawa tindakan menyatakan penilaian semasa adalah merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara. Haruslah ditekankan bahawa AATB 2018 menetapkan sesuatu maklumat boleh dikelaskan sebagai ‘berita tidak benar’ biarpun hanya sebahagiannya didapati palsu. Situasi ini dikhuatiri menekan kebebasan bersuara rakyat, termasuk kumpula media dan golongan akademik.

Ketiga, AATB 2018 tidak selari dengan prinsip-prinsip dan norma-norma undang-undang jenayah di negara kita. Bagi negara yang menggunapakai Kanun Keseksaan didraf Lord Macaulay pada 1835 dan prinsip keadilan jenayah bersandarkan common law, konsep ‘fake news’ adalah cukup asing. Maka tidak hairan Republik India tidak meneruskan hasrat untuk menggubal undang-undang sebegini. Secara umumnya, undang-undang jenayah hanya menjenayahkan perbuatan berkaitan kenyataan palsu bersandarkan tiga perkara. Perkara pertama, seseorang itu hanya akan dihukum kerana mengeluarkan kenyataan palsu sekiranya undang-undang menwajibkannnya berkata benar. Misalnya, seseorang itu telah melakukan jenayah sekiranya dia berdusta di mahkamah atau ketika dalam proses siasatan. Perkara kedua, tindakan mengeluarkan kenyataan palsu menjadi kesalahan jenayah sekiranya tindakan mengakibatkan mudarat lansung kepada orang yang mendengar dan mempercayainya. Misalnya dalam jenayah penipuan, kata-kata tidak benar digunakan untuk memperdayakan dan mengakibatkan kerugian terhadap mangsa. Dalam hal ini, pendakwaan perlu buktikan bahawa mangsa telah mempercayai tipudaya tersebut. Perkara ketiga, kata-kata palsu yang disebar hanya menjadi salah sekiranya dilakukan atas niat jahat (malicious intent) untuk menggugat ketenteraman awam. Elemen niat ‘mens rea’ ini tiada dalam AATB 2018. Tindakan menyebarkan berita tidak benar semata-mata tanpa niat jahat sukar untuk dikelaskan sebagai kesalahan berliabiliti ketat mengambil kira kesan lansungnya. Perihal ini ternyata berbeza dengan impak jenayah terorisme dan penyalahgunaan dadah. Selain daripada itu, AATB 2018 memiliki bidangkuasa menjangkaui sempadan yang membolehkan seseorang itu, samada warganegara atau tidak, didakwa di Malaysia biarpun kesalahan dilakukan di luar negara. Pendekatan ini bercanggah dengan norma kelaziman dalam undang-undang jenayah. Peruntukan ini mungkin boleh diterima bagi kesalahan berkaitan terorisme dan jenayah transnasional. Namun harus diingat, jenayah sedemikian diterima secara ancaman global. Hal itu dapat digarap melalui resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan konvensyen antarabangsa yang lain.

Keempat, undang-undang AATB 2018 adalah satu produk penjenayahan yang berlebihan atau lazim dirujuk sebagai ‘over-criminalisation’. Kesalahan-kesalahan yang diwujudkan dalam AATB2018 bertindih dengan kesalahan jenayah dalam undang-undang yang sedia ada. Sebagai contoh, beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan seperti seksyen 505 Kanun Keseksaan sudah memadai dalam mengekang penyebaran kenyataan-kenyataan berniat jahat yang mampu menggugat ketenteraman dan keteraturan awam. Pertindihan ini hanya akan melebarkan kuasa budi pihak berkuasa dan dikhuatiri boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa.

Sehingga kini, seorang warga negara asing dilaporkan telah dihadapkan ke mahkamah bagi kesalahan di bawah AATB 2018. Beberapa individu termasuk YAB Perdana Menteri sendiri juga dilapor turut disiasat di bawah undang-undang ini. Berdasarkan empat faktor di atas, penulis mencadangkan agar kerajaan memansuhkan AATB 2018 ini, dan bukannya dengan menyemak semula. Undang-undang jenayah lain yang sedia ada memadai untuk mengekang penyebaran maklumat yang bertujuan menimbulkan kekacauan. Secara alternatifnya, pihak-pihak yang terjejas akibat dari penyiaran berita yang ‘tidak benar’ boleh mengambil tindakan sivil di mahkamah. Negara tidak perlu menampung kos untuk terlibat dalam pertikaian yang bersifat peribadi antara orang awam. Pihak pendakwaan dan pihak polis pula dapat menumpukan tugas mereka dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan dan ketenteraam masyarakat. AATB 2018 juga dikhuatiri membungkam hak dan kebebasan rakyat sebagaimana yang dijamin Perlembagaan. Pemansuhan AATB 2018 boleh menjadi langkah mula sebelum kerajaan memansuh undang-undang lain sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya, seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

PENULIS ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini berkhidmat di Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM).

 

PASCA BICARA: PENCEROBOHAN LAHAD DATU

Pada tanggal 15 Januari lalu,  berakhirlah proses pengadilan bagi tertuduh-tertuduh yang terlibat dalam peristiwa pencerobohan dan serangan di Lahad Datu pada 2013. Setelah hampir 5 tahun, sembilan tertuduh akhirnya telah disabitkan secara muktamad bagi kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Mereka semua dijatuhi hukuman gantung sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Beberapa tertuduh lain turut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bagi pelbagai kesalahan yang lain termasuklah menjadi ahli pertubuhan pengganas. Secara umumnya, dapatan dan keputusan yang dirumuskan oleh para hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kelihatan konsisten kecuali berkenaan hukuman gantung.

Memandang kes sebegini amat nadir dan unik, usaha yang ditunjukkan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam proses perbicaraan amat mengkagumkan. Mereka termasuklah pihak mahkamah, barisan timbalan-timbalan pendakwa raya dan peguambela-peguambela yang terpelajar. Kaedah pengendalian dalam kes ini pastinya berbeza berbanding kes-kes jenayah biasa yang lain. Sebagai contoh, pihak pendakwaan perlu berdepan dengan saksi-saksi yang berpotensi untuk berpaling tadah. Bagi para peguam pula, mereka perlu mengetepikan sentimen peribadi dan kenegaraan dalam membela tertuduh-tertuduh rakyat asing agar hak-hak mereka yang dijamin undang-undang terpelihara. Selain perlu meneliti keterangan dan keputusan yang adil, pihak mahkamah juga perlu memastikan perbicaraan berjalan dengan lancar dan selamat. Pihak keselamatan juga dilihat telah memberi khidmat yang cemerlang bagi menjamin keselamatan lokasi perbicaraan, samada di Sabah atau di Putrajaya.

Dari proses perbicaraan kes Lahad Datu ini, ada beberapa pengajaran yang wajar dipertimbangkan terutama dalam perencanaan strategi melawan terorisme secara adil dan efektif.

Pertama, perbicaraan kes insiden Lahad Datu ini merupakan ujian besar pertama bagi penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA khususnya dalam menanggani aktiviti terorisme. Berbanding kes al-Maunah dulu, negara masih menggunakan peraturan-peraturan di bawah ordinan darurat ketika perbicaraan. Maka kes Lahad Datu ini secara tidak lansung menetapkan titik duluan bagi kes-kes kesalahan keselamatan pada masa yang akan datang. Misalnya, prosedur khas berhubung saksi terlindung dan penggunaan maklumat pintasan telekomunikasi sebagai keterangan. Oleh yang demikian, perbicaraan Lahad Datu wajar diteliti dan dijadikan panduan dalam usaha memperkemaskan undang-undang melawan keganasan di Malaysia. Pihak kerajaan juga wajar bersifat terbuka dalam menerima pandangan balas dan kritikan konstruktif dalam menambah baik undang-undang khas ini.Perbicaraan kes Lahad Datu juga merupakan perbicaraan pertama bagi beberapa kesalahan dalam Bab VIA Kanun Keseksaan, yang digubal khusus untuk menanggani ancaman terorisme di Malaysia.

Pengajaran kedua berhubung bentuk dan ragam ancaman terorisme di Malaysia. Mengambilkira serangan di Lahad Datu itu, jelas kepada kita bahawa ancaman keganasan wujud dalam pelbagai rupa. Ancaman keganasan bukan saja datang dari rangkaian pengganas antarabangsa seperti IS dan Al-Qaeda, tapi dari kumpulan-kumpulan kecil. Terrorisme juga boleh dijana dari isu-isu tempatan oleh kumpulan pengganas di dalam negara atau di sekitar perbatasan negara. Dari kes Lahad Datu ini, dapat kita rumuskan terrorisme juga tidak semestinya berdasarkan ideologi atau aliran pemikiran tertentu, tapi boleh juga ditunjangi cita-cita politik bangsa dan naratif sejarah.

Pengajaran ketiga adalah berkaitan dengan proses radikalisasi yang sering dibincangkan mutakhir ini. Proses radikalisasi kini bersifat anjal. Dulu, kumpulan pengganas memiliki strategi pengkaderan yang lebih berstruktur, tapi ciri tersebut kian tidak kelihatan lagi. Dalam kes Lahad Datu, sebahagian penceroboh yakin bahawa mereka akan meraih kehidupan yang lebih baik jika Sabah berjaya dikuasai oleh Kumpulan Pengganas Sulu. Maka penglibatan mereka lebih didorong oleh keadaan socio-ekonomi di negara asal mereka, terutama di wilayah-wilayah selatan Filipina. Kondisi sosial dan ekonomi inilah mempercepatkan proses radikalisasi dan mengheret mereka untuk mempercayai dakyat pengganas. Oleh demikian, aspek-aspek ini perlu diperhalusi bersama kedua-dua negara, samada melalui hubungan antara kerajaan, atau pun antara kumpulan masyarakat sivil.

Pencerobohan dan serangan di Lahad Datu memahatkan sejarah hitam di negara kita. Peristiwa berdarah ini perlu dipanjangkan kepada generasi akan datang. Di penghujung perbicaraan rayuan di Mahkamah Persekutuan, Timbalan Pendakwa Raya Tuan Awang Armadajaya Awang Mahmud telah membuat satu permohonan yang cukup proaktif dan bermakna. Beliau telah memohon agar satu perintah dikeluarkan agar kesemua eksibit, yakni objek-objek yang dikemukakan di mahkamah, diserahkan kepada pihak-pihak berwajib bagi tujuan penyimpanan dan pemeliharaan warisan sejarah negara.

Barangkali tidak keterlaluan juga sekiranya penulis mencadangkan agar mahkamah sementara yang digunakan ketika perbicaraan tempoh hari dijadikan sebagai muzium bagi menyimpan rekod-rekod, objek-objek dan gambar-gambar berkaitan untuk tatapan generasi akan datang. Namun jika cadangan ini tidak praktikal, satu sudut khas di mana-mana muzium sedia ada amat wajar diwujudkan.

*Penulis merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Peguam Negara dan Istana Kehakiman atas keizinan untuk menjalankan pemerhatian di mahkamah dalam keadaan tempat yang cukup terhad. Ucapan terima kasih juga kepada semua timbalan pendakwa raya dan peguambela yang memberi kerjasama kepada penulis bagi tujuan penyelidikan.

 

Untuk alasan kehakiman, sila rujuk:

Public Prosecutor v Atik Hussin bin Abu Bakar and other cases [2016] MLJU 968 – High Court of Sabah & Sarawak

Public Prosecutor v Kadir bin Uyung & Anor and another appeal [2017] MLJU 1692 – Court of Appeal, Putrajaya

NIKMAT MERDEKA DARIPADA KEGANASAN

21314581_165625757335073_461077486993930335_n

Disiarkan dalam Berita Harian pada 31 Ogos 2017.

Tatkala kemerdekaan diraih pada 31 Ogos 1957, negara masih dalam keadaan darurat. 

Pentadbiran British mengistiharkan darurat pada 1948 dan kekal hingga 1960 dalam usaha menghadapi gugatan keselamatan yang didalangi kumpulan bersenjata Komunis. Maka pembinaan awal negara turut dibayangi ancaman keganasan dan isu-isu keselamatan. Sebagai contoh, berdasarkan beberapa dokumen yang tersimpan di the National Archives, London, para pentadbir British menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu akan menggugat operasi melawan pengganas Komunis pada ketika itu.

Beberapa sarjana sejarah dan politik berpandangan bahawa keadaan sebenar ketika darurat itu menyamai dengan suasana perang, yakni bukan sekadar kacau bilau biasa. Namun atas sebab politik dan perjanjian antarabangsa yang mengikat, Kerajaan British memilih untuk tidak mengistiharkan peperangan di Malaya. Keengganan pentadbiran British di Malaya mengistiharkan perang terhadap Komunis turut dipengaruhi faktor-faktor ekonomi. Contohnya, para peladang warga British di Malaya akan terhalang dari membuat tuntutan insuran kerosakan harta benda dan ladang jika berlaku peperangan. Lazimnya, insuran tidak menawarkan gantirugi bagi kerugian yang diakibatkan oleh ‘the act of war’. Maka istilah ‘emergency’ atau darurat digunakan, biarpun kos operasinya hampir sama dengan perbelanjaan perang. Pada tahun 1951 sahaja, pentadbiran British membelanjakan kurang lebih £69.8 juta melawan Komunis di Malaya

Sepanjang tempoh darurat tersebut, pelbagai langkah diambil bagi memastikan ancaman komunis dapat dibanteras. Pendekatan ‘Memenangi Hati dan Minda’ diperkenalkan. Satu strategi yang melibatkan langkah-langkah melawan Komunis secara menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek. Pada Mei 1952 misalnya, kerajaan British di London telah mengarahkan agar kumpulan bersenjata Komunis mesti dilabel sebagai pengganas (terrorists). Undang-undang dan peraturan khas dan lebih keras diperkenalkan termasuklah gugusan peraturan yang dinamakan Emergency Regulations 1948. Undang-undang sama yang turut digunapakai oleh British di Palestin bila mana British berdepan pemberontakan Yahudi di sana. Tahanan tanpa bicara dan penghukuman secara kolektif diperkenalkan. Misalnya seorang ahli parlimen British, Stanley Stephen Awbery, pernah menyuarakan kebimbangannya di sidang parlimen terhadap perintah berkurung yang dikenakan terhadap penduduk Tanjung Malim yang didakwa telah menyalurkan bantuan kepada pengganas.

Melalui sejarah di atas, jelas kepada kita bahawa terrorisme bukanlah suatu yang baharu. Fenomena itu telah lama wujud di negara kita sejak sebelum merdeka. Cuma yang berbeza, terrorisme hadir dalam pelbagai wajah dan bentuk bagi setiap zaman.  Biarpun diwarnai pelbagai ideologi dan kepercayaan, ada satu ciri pada terrorisme yang kekal sama. Semua tindakan terrorisme bermatlamat menimbulkan ketakutan dan kegerunan di kalangan masyarakat dan negara. Maka, bagaimana kita bertindakbalas terhadap keganasan menentukan kalah menang pengganas dalam mencapai matlamat mereka.

Kemerdekaan dari keganasan akan tercapai bila rakyat bebas dari ketakutan yang direncanakan para pengganas.  Menimbulkan ketakutan di minda rakyat dan pemimpin adalah matlamat utama mereka. Bagi pengganas, ketakutan yang disebarkan itu mampu melemahkan kekuatan negara dalam bertindak balas dan mampu menimbulkan prejudis sesama anggota masyarakat. Perpecahan kaum pastinya akan memberi kelebihan kepada pengganas untuk mencapai cita-cita mereka. Ketakutan menjadi modal provokasi pengganas agar kita bertindak luar rasional, lantas menumpulkan segala usaha melawan terrorisme.

Kemerdekaan dari keganasan hanya akan dinikmati bila mana kita berhenti bertindak sebagaimana dikehendaki golongan pengganas. Pengganas menginginkan kita bertindak meninggalkan nilai-nilai yang kita junjung selama ini. Mereka inginkan kita berpaling dari dasar-dasar utama dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengesampingkan norma-norma antarabangsa. Maka seandainya kita berbuat demikian, matlamat mereka hakikatnya telah tercapai.

Kemerdekaan dari keganasan boleh dicapai bila semua pihak bangun membasmi budaya kekerasan dari segenap aspek kehidupan. Tiada alasan yang munasabah dan sah bagi penggunaan kekerasan melainkan untuk membela diri. Keganasan bermula apabila proses normalisasi kekerasan berlaku dalam sebuah masyarakat dan justifikasi direka-reka untuk mengharuskan tindakan kekerasan terhadap sesuatu kelompok atau golongan.

Kemerdekaan dari keganasan hanya akan digenggami tatkala segenap lapisan masyarakat bersama-sama melawan fenomena keganasan itu. Pendekatan lalu dalam berdepan Komunis pastinya bukan ubat mujarab untuk setiap zaman. Namun penglibatan setiap ahli masyarakat seperti yang ditunjukkan ketika zaman darurat dulu cukup memberi impak yang besar. Misalnya, penyertaan penduduk kampung tanpa mengira ras dan jantina dalam pasukan Homeguard. Bagaimana pun pada masa yang sama, pihak kerajaan dan badan berkuasa juga sewajarkan menjadikan usaha melawan terrorisme lebih inklusif. Bagi maksud itu, penulis ingin utarakan dua cadangan.

Pertama, penulis mencadangkan penubuhan majlis perundingan kebangsaan melawan keganasan yang melibatkan wakil setiap kelompok masyarakat, termasuklah para pendidik, ahli akademik, ilmuwan agama, pengamal undang-undang dan pemimpin komuniti dan belia. Badan ini mampu menawarkan pandangan-pandangan bermanfaat buat kerajaan dari perspektif berbeza dalam merumuskan sebuah gagasan ‘Hati dan Minda’ yang baharu. Pandangan balas masyarakat daripada pelbagai pihak termasuk pakar keselamatan dan ahli akademik, sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan menilai pendekatan dari semasa ke semasa.

Kedua, pada hemat penulis, satu dokumen rangka tindak yang jelas tentang pendekatan negara mengatasi keganasan amat wajar dikeluarkan dan diwara-warakan kepada umum. Dokumen itu berupaya menjadi sumber rujukan yang berguna, bukan sahaja kepada jentera kerajaan dan pihak berkuasa, tapi memudahkan ahli masyarakat untuk turut sama membanteras keganasan.

Benar, kemerdekaan daripada keganasan secara total untuk selama-lamanya adalah suatu yang mustahil. Terrorisme pada suatu sudut adalah gabungan antara kelakuan jenayah dan tindak tanduk peperangan. Dua kefasadan yang tak pernah berjaya dilupuskan mana-mana ketamadunan manusia. Pengganas melakukan perbuatan salah dibawah undang-undang jenayah demi mencapai cita-cita politik sebagaimana mereka yang turun berperang. Namun keganasan adalah suatu yang dapat dibendung dan dicegah. Usaha tersebut perlu bermula dengan membebaskan diri dari ketakutan dan bertindak secara rasional. Terorisme bukan satu lembaga misteri yang baru muncul dan mustahil difahami sifat dan perihalnya. Terrorisme juga bukan wujud sekelip mata, lantas kita memiliki peluang dan ruang untuk membanteras sedari awal.

PENULIS ialah tenaga akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini sedang mengkaji undang-undang anti-keganasan di University of Leeds, United Kingdom.

HADAPI TERRORISME SECARA RASIONAL

(Disiarkan  di Utusan Malaysia pada 24 Mei 2017)

image009

DALAM bahasa Inggeris, kata dasar bagi istilah terrorism adalah terror yang bermaksud ketakutan yang melampau. Perkataan irhab dalam bahasa Arab pula, yang membawa maksud terrorisme, berasal dari istilah rahbun yang juga bererti ketakutan. Hakikatnya, itulah matlamat utama terrorisme. Aksi keganasan dilancarkan bagi menimbulkan rasa gerun anggota masyarakat dalam sesebuah negara atau seantero dunia. Maka para pengganas memilih lokasi yang strategik sebagai sasaran bagi memaksimumkan impak dari serangan yang direncanakan. Kemajuan media komunikasi hari ini secara tidak langsung melebarkan lagi kesan serta-merta dari insiden terrorisme yang berlaku, lantas menyebarkan ketakutan dalam masyarakat.

Daripada ketakutan yang timbul, kita mudah bertindak secara emosional mengatasi garisan rasional. Reaksi sebegitu bukan sahaja boleh menjadikan tindakan melawan terrorisme tidak berkadaran, bahkan juga tidak efektif dan memudaratkan kepada masyarakat dan negara. Contoh terbaik adalah tindakan sesebuah negara dengan sewenang-wenangnya melancarkan perang terhadap negara lain atas alasan memerangi keganasan tanpa persetujuan antarabangsa, lantaran satu atau dua serangan yang berlaku di negaranya. Tindakan reaktif ini bukan sahaja tidak berpadanan, bahkan berupaya melahirkan lebih ramai pendukung dan penyokong keganasan. Pada tahap ini, kemenangan sudah pun di pihak pengganas. Mereka bukan sahaja berjaya menggerunkan dunia dengan tindakan mereka, bahkan menuai keuntungan dalam bentuk sokongan dan legitimasi.

Bagi mengambil tindakan secara waras dan rasional dalam berdepan terrorisme, tiga elemen penting yang wajar kita hadamkan. Aspek-aspek berikut menekankan tentang sifat dan perihal fenomena keganasan, pengganas dan tindakan keganasan.

Pertama, fenomena terrorisme bukanlah suatu yang baharu. Sepanjang peradaban manusia, bermacam ragam peristiwa terrorisme berlaku serata dunia. Dalam konteks Malaysia, kita telah melalui jerit perih ketika era darurat (1948-1960) melawan pengganas Komunis. Bahkan sebelum itu juga, ada banyak lagi perbuatan yang boleh dianggap tindakan terrorisme jika definisinya dibesarkan kepada segala tindakan kekerasan yang dilakukan demi mencapai tujuan politik.

Biarpun terdapat beberapa perbezaan taktik dan ideologi antara terrorisme ‘baharu’ dan ‘lama’, pengkaji terrorisme membuat andaian fenomena ini sebagai sering berkait dan berkesinambungan. Melihat fenomena keganasan hari ini sebagai suatu yang baharu dan sukar untuk difahami akan hanya menjadikan tindakan kita bersifat defensif. Secara lumrahnya, kita takut akan kegelapan lantaran tidak tahu akan apa yang ada di situ. Namun terrorisme hari ini bukan terlalu berbeza dari yang terdahulu, dan pengalaman yang ada wajar dimanfaatkan.

Perkara kedua, tindakan yang dilakukan pengganas adalah ke­salahan jenayah. Maka sewajarnya undang-undang jenayah sedia ada diberi keutamaan dalam bertindak balas. Namun malangnya, kita seringkali melihat tindakan pengganas sebagai suatu yang terlalu unik dan dahsyat, maka tindakan dan undang-undang luar biasa perlu diambil untuk menanganinya. Hakikatnya, perbuatan seperti membunuh, mendatangkan kecederaan, merosakkan harta benda dan menculik yang kita lihat dalam insiden-insiden keganasan adalah perbuatan jenayah yang sudah menjadi masalah kepada manusia sejak dulu.

Boleh dikatakan semua negara mempunyai undang-undang bagi membasmi perbuatan-perbuatan tersebut. Penggunaan undang-undang jenayah sebegini dapat menarik kita untuk melihat terrorisme bukan sebagai suatu fenomena yang berhantu, tetapi sebagai satu jenis jenayah yang boleh ditangani. Penggubalan dan penggunaan undang-undang khas terrorisme sememangnya tidak dapat dielakkan, namun memberi keutamaan kepada undang-undang biasa dalam menangani keganasan menonjolkan sikap ki­ta yang tidak mudah melatah de­ngan provokasi terrorisme.

Perkara ketiga, pengganas bukan lembaga ghaib atau makhluk asing tapi manusia yang lahir da­ripada masyarakat sebagaimana kita. Maka segala tindakan dan pertimbangan yang mereka buat adalah cerminan dari nilai dan keadaan sesebuah masyarakat.

Tiada satu individu yang bertukar menjadi pengganas dengan sekelip mata dan sedia mencederakan orang lain. Oleh itu, kita perlu sedia untuk menyemak dan muhasabah untuk melihat kembali sejauh mana masyarakat kita sudah terbiasa dengan tindak kekerasan atau pandangan yang melampau.

Tahap kebingkasan atau ketahanan masyarakat kita dalam berdepan fenomena terrorisme ini juga sewajarnya diberi perhatian. Semua ini pastinya dapat diterokai dan difahami jika setiap anggota masyarakat sanggup duduk bersama berbincang secara tulus dan berlapang dada.

Tanpa ragu, fenomena terrorisme ini mengancam kita semua. Namun kita perlu bertindak secara rasional agar tidak membuka ruang untuk dimanipulasi. Profesor Frank Furedi dalam bukunya Invitation to Terror menegaskan bahawa pengganas sudah pun meraih kejayaan apabila masyarakat yang disasarkan bertindak balas menuruti apa yang dikehendaki mereka. Kita perlu bangun dan tidak membuka ruang untuk ditakut-takutkan atau refusing to be terrorised.

Golongan pengganas ingin melihat kita mengambil tindakan mengatasi prinsip berperlembagaan, kedaulatan undang-undang dan hak-hak manusia yang kita sanjungi. Jika kita mengorbankan prinsip-prinsip tersebut, kata bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, kita sebenarnya telah menghulurkan kemenangan kepada pengganas.

PENULIS ialah tenaga akademik Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), yang sedang melanjutkan pengajian PhD di United Kingdom.

 

ULASAN BUKU: OTTO VON BISMARCK – CANSELOR PERTAMA JERMAN DAN TOKOH POLITIK TERAGUNG KURUN KE-19

Oleh: Mukhriz Mat Rus, Penterjemah buku ini (*)

Image__14_
Untuk beli karya ini secara atas talian, lawati Ilhambooks

Barangkali ada yang sifatkan Otto von Bismarck secara mudahnya sebagai ‘haiwan politik’ lantaran pendekatan realpotilik yang disandarkan padanya. Pendekatan siasah yang dianggap menuntut pengamalnya untuk sanggup mengorbankan prinsip yang dipegang demi kelansungan dan cita-cita politik.

   Namun ‘realpolitik’ Bismarck bukan sekadar apa yang cuba diterjemahkan oleh kamus Jerman-Inggeris Langenscheidt sebagai politik yang praktikal, atau politik ikut keadaan, bahkan lebih dari itu. Pada hemat Bismarck, politik adalah satu ‘seni yang munasabah’ dan diterjemahkan dalam segenap perencanaan sepanjang kerjaya politiknya. Maka adikarya ini menawarkan satu definisi panjang dalam memaknai realpolitik ala-Bismarck.

   Jonathan Steinbergn, seorang professor sejarah Eropah, menganyam kemas riwayat hidup Bismarck berbekalkan narasumber yang berwarna-warni dan beragam. Keperibadian dan perjalanan hidup Bismarck bukan sahaja diterokai berdasarkan apa yang dikongsi Bismarck atau direkodkan dalam dokumen-dokumen rasmi kerajaan, namun juga menerusi pemerhatian yang dibuat oleh individu-individu yang hidup sezaman dengannya. Pandangan dari rakan taulan pastinya berbeza dari seteru dan lawan. Pengamatan ahli keluarga pastinya tidak serupa pandangan ahli dewan Landtag dan Reichstag. Begitulah juga curahan perasan dalam catatan-catatan diari tentunya tidak setulus karangan surat yang diutus buat Bismarck atau kenalan lain. Acapkali juga, persepsi yang ingin ditonjolkan Bismarck kepada khalayak awam tidak selari dengan perihal sebenar. Misalnya, hakikat di sebalik uniform tentera yang lazim dipakainya. Natijahnya, para pembaca akan menempuhi detik-detik membingungkan seakan-akan sedang menelusuri kisah hidup individu berbeza, lantaran perbezaan persepsi atau perubahan ketara yang dizahirkan Bismarck dari masa ke masa. Sisi gelap Bismarck pula dipersembahkan dengan adil tanpa menghukum secara muktamad. Pengarang tinggalkan kepada pembaca untuk menilai sendiri akan tindak tanduk dan pekerti tokoh itu, di atas gugusan maklumat dan latarbelakang yang dihamparkan terlebih dahulu.

   Usaha mengumpul catatan, kiriman surat menyurat, dan diari peribadi pastinya bukan kerja enteng. Steinberg kelihatan sedaya upaya cuba menterjemah nukilan catatan-catatan dari bahasa asalnya, Jerman dengan mengekalkan lengok dan emosi. Semua ini pastinya memberi cabaran teramat besar kepada mana-mana penterjemah bagi mengekalkan kehalusan karya agung ini, tanpa mengkhianati bukan sahaja penulis buku hebat ini, tapi juga pemilik nota-nota dan warkah-warkah yang dipetik. Laras bahasa yang diguna dalam buku ini dan petikan-petikan yang dihasilkan pada kurun ke 19 itu sewajibnya dipelihara kerna semua itu mendasari makna karya ini.

   Menterjemah karya ini ibarat menelaah kembali sejarah Eropah. Sebab pertama, pengaruh Empayar Jerman atau Kerajaan Prussia amat besar di benua tersebut ketika itu. Pendirian dan tindakan yang diambil negara itu sedikit sebanyak mencorak politik Eropah yang sebahagiannya sedang bergolak. Kedua, Bismarck sendiri merupakan diplomat yang disegani dan pernah diberi kepercayaan sebagai duta dan utusan negara. Beliau telah mengatur rundingan-rundingan damai, juga pernah menegangkan hubungan damai, antara kerajaan-kerajaan Eropah.

   Namun, memandangkan perjalanan hidup Bismarck yang dramatis dan beralun, disertai sifat ‘pelik’ padanya, fakta-fakta sejarah yang disajikan dalam biografi ini tidaklah tawar dan kering sebagaimana terdapat dalam buku-buku teks sejarah. Penceritaan fakta sejarah dalam biografi ini turut diwarnai dengan pengkisahan beberapa individu berpengaruh yang hidup sezaman dengan Bismarck berserta peristiwa-peristiwa penting yang telah mendatangkan impak besar terhadap negara Jerman dan benua Eropah dulu, dan hingga ke hari ini. Pastikan di tangan anda ada peta Jerman dan Eropah ketika membaca buku ini.

   Steinberg melalui hasil karya ini turut membawa kita ke zaman sebelum wujudnya internet, mahupun komputer, apatah lagi telefon pintar. Masyarakat bergantung sepenuhnya kepada perutusan surat melalui kiriman pos. Dari surat menyurat yang dinukilkan dalam buku ini, pembaca berpeluang menatapi kesopanan sang pengirim, melampiaskan kerinduan dan kasih sayang di atas kertas, berkelahi dengan santun dan berlapik. Semua itu telah sirna pada era Whatsapp dan emel. Khazanah zaman tanpa konsep ‘paperless’ itu membuka peluang untuk kita terokai kebudayaan dan kesenian generasi terdahulu dari manuskrip-manuskrip yang masih ada, dan juga menerkai sisi romantis Bismarck yang senantiasa kelihatan bengis dalam potret-potretnya. Dalam keadaan kecemasan, hanya telegram yang ada untuk penghantaran pesanan pendek. Kelajuannya pasti tak setara kepantasan ‘SMS’ pada hari ini. Namun buat Bismarck, satu telegram ringkas berbunyi ‘Periculum in mora. Dépêchez-vous’ itulah telah membuka jalan baginya meraih kuasa agung dan menyelamatkan takhta Maharaja Wilhem I.

   Bismarck hidup dalam zaman pertembungan; antara kebangkitan arus liberalisme dan perjuangan konservatif mempertahan status quo, antara pemerintahan monarki dan kekuasaan rakyat, antara keangkuhan negara-negara kuasa besar Eropah melebarkan pengaruh, antara pentadbiran negara yang dikuasi penganut Protestan dan kemaraan sebilangan rakyat penganut Katolik. Di celah pertembungan-pertembungan itulah terhimpit golongan minoriti yang diasak untuk memilih pihak yang disebelahi. Jika gagal berbuat demikian, pastinya mereka akan dibakulkan bersama seteru-seteru yang lain. Menyokong nilai-nilai liberalisme disamakan dengan usaha menjadikan Prussia sebagai Judenstaat (Negara Yahudi), lantas seolah cuba merobohkan ‘Negara Kristian’ Prussia. Suasana inilah yang membentuk bukan sahaja keputusan politik Bismack tetapi turut mempengaruhi, atau merumitkan konflik dalaman, dalam dirinya.

   Kisah hidup Bismarck yang digarap Steinberg barangkali dapat menarik tangan kita untuk melangkah ke belakang sejenak untuk menziarahi pengalaman yang dilalui oleh suatu bangsa dalam mencari persamaan dan menerima perbezaan. Menerusi buku ini, Bismarck menonjolkan keanjalan manusia dalam berdepan situasi menduga tatkala memimpin kerajaan, mengepalai keluarga, dan menangani pergolakan dalaman diri. Penterjemahan buku ini diharapkan dapat mengilhami generasi muda untuk berfikir dan bertindak menjangkaui sempadan antara garisan kiri dan kanan, antara hitam dan putih. Bismarck bukan seorang panglima perang yang lazimnya berpengaruh pada zaman itu, bukan juga beliau pemimpin tertinggi mana-mana parti politik besar yang mendominasi dewan Reichstag, dan bahkan Steinberg mendakwa, ‘tiada negarawan abad ke-19 atau ke-20 yang diketahui umum terlalu kerap jatuh sakit, dan juga paling mengada-ngada sebagaimana Otto von Bismarck’. Namun dia muncul sebagai Bapa Penyatuan Negara Jerman dan tokoh politik teragung. Pasti ada sesuatu yang boleh dipelajari dari insan yang digelar ‘genius politik’ ini.

(*) Penghargaan tak sangga buat Sdr Al Mustaqeem Mahmod Radhi atas segala bantuan dan juga IKD atas kepercayaan yang diberikan.

KANUN DITALA RAMBANG SUKAR LAWAN TERRORISME

_20170420_174419

Disiarkan dengan suntingan oleh Berita Harian bertarikh 19 April 2017.

Terorisme hakikatnya bukanlah ancaman keselamatan baru bagi kebanyakan negara, termasuk Malaysia. Namun sifat dan bentuknya yang beragam menjadikan fenomena keganasan kini sukar difahami dan dibasmi. Serangan bersendirian tanpa berbekalkan senjata berat di kota London baru-baru ini misalnya, menunjukkan betapa jenayah sebegitu dengan mudah dilancarkan di mana-mana dan oleh siapa-siapa sahaja.

            Usaha melawan keganasan memerlukan strategi menyeluruh mencakupi semua lapangan. Pemerkasaan undang-undang adalah salah satu dari upaya melawan keganasan. Undang-undang khas anti-terrorisme dan peruntukan tambahan dalam kanun sediada dibuat bukan sahaja bertujuan untuk menghukum pengganas yang telah melakukan keganasan, namun juga bermatlamat untuk mencegah insiden keganasan berlaku.

            Undang-undang baru anti-keganasan digubal bertujuan untuk membasmi kegiatan-kegiatan yang boleh mendorong atau memudahkan aktiviti keganasan. Contohnya, perbuatan memberi sokongan material atau moral kepada kumpulan pengganas dan perbuatan keganasan, dan tindakan menyembunyi maklumat berkaitan tindakan keganasan. Perbuatan jenayah sebegini dikenali para pengkaji undang-undang keganasan sebagai ‘precursor offences’ atau kesalahan-kesalahan pendahulu. Termasuk dalam ketegori ini juga adalah kesalahan memiliki bahan yang berkait dengan keganasan.

Pengharaman Bahan Berkaitan Keganasan

            Matlamat pengharaman bahan berkait dengan keganasan dapat difahami melalui beberapa aspek. Pertama, tindakan tersebut bersifat pencegahan bagi menghalang berlakunya insiden keganasan sedari awal yang terdaya. Kedua, tindakan ini sebagai tindakbalas terhadap fenomena terrorisme yang kian berleluasa. Pendekatan sebegini bukanlah asing di negara kitn, bahkan dapat dilihat dalam usaha menanggani jenayah-jenayah lain. Misalnya, seseorang boleh didakwa dan dihukum jika didapati memiliki alatan untuk memproses candu, atau pekakasan untuk memecah rumah.

            Pada tahun 2015, parlimen telah meluluskan pindaan terhadap Kanun Keseksaan dengan memasukkan Seksyen 130JB. Peruntukkan itu menjadikan pemilikan bahan yang berkait dengan pengganas atau perbuatan keganasan sebagai satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum pemenjaraan selama tidak lebih tujuh tahun atau denda. Secara ringkas, bahan terlarang boleh dibahagi kepada dua kategori. Pertama, sebarang bahan samada dalam bentuk cetakan, rakaman visual, bendera dan simbol yang berkait dengan kumpulan pengganas. Misalnya, beberapa orang individu telah didakwa di mahkamah kerana memiliki risalah-risalah yang dikeluarkan oleh kumpulan pengganas Islamic State atau Daesh. Kategori kedua pula adalah memiliki objek yang berkait dengan perbuatan keganasan, samada bagi tujuan persiapan, perancangan atau latihan. Contohnya, memiliki bahan kimia atau buku panduan membuat bahan letupan.

            Undang-undang berhubung milikan bahan keganasan ini mirip undang-undang yang ada di United Kingdom dan Australia. Namun terdapat juga beberapa perbezaan yang ketara. Seksyen 57 dan 58 Terrorism Act 2000 United Kingdom memberi penekaan kuat terhadap hubungkait bahan-bahan tersebut dengan perbuatan keganasan. Dalam satu kes di sana, R v G& J (2009), mahkamah telah memutuskan milikan bahan berkaitan kumpulan atau ideologi pengganas semata-mata tanpa sebarang tujuan untuk melancarkan tindakan keganasan bukanlah satu jenayah.

Dua Cadangan Penambahbaikan

            Sebagaimana undang-undang lain, undang-undang berhubung milikan bahan keganasan di Malaysia pastinya wajar disemak dari masa ke semasa demi memastikan ia berfungsi secara adil dan efektif. Dua syor yang ingin penulis utarakan di sini.

          Saranan pertama, seksyen 130JB nampaknya tidak menyatakan tentang elemen ‘mens rea’ atau niat untuk melakukan jenayah. Hal ini memberi gambaran seolah memiliki bahan berkait keganasan adalah jenayah berliabiliti mutlak. Lantas, siapa sahaja yang ditahan memiliki bahan keganasan boleh disabitkan kesalahan di mahkamah, biarpun tidak mengetahui perihal atau perkaitan bahan tersebut dengan tindakan dan kumpulan pengganas. Walaupun mahkamah memiliki kuasa memberi tafsiran yang lebih baik dalamisu ini, undang-undang sewajarnya menyatakan dengan jelas perihal satu kesalahan demi kelancaran proses pengadilan. Dalam Siti Noor Aishah Atam, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi telah bertindak proaktif dengan merujukan kepada gugusan kes-kes milikan dadah dan memutuskan bahawa tertuduh perlu dibuktikan mempunyai kawalan dan juga pengetahuan.

            Ketiadaan elemen niat dalam peruntukan ini turut pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat semasa proses penggubalan undang-undang ini duhulu. Yang Berhormat Timbalan Menteri yang bertanggungjawab membentangkan undang-undang tersebut di parlimen telah memberi jaminan bahawa hal ini akan dirujuk semula kepada Yang Berbahagian Tan Sri Peguam Negara. Sebagai perbandingan, undang-undang Australia menyatakan dengan jelas bahawa seseorang hanya boleh disabitkan sekiranya terbukti dia mengetahui perkaitan bahan tersebut dengan tindakan keganasan. Niat adalah unsur mustahak dalam undang-undang jenayah, dan ‘animus possidendi’ adalah prinsip ampuh dalam Common Law. Dalam zaman media sosial dan whatsapp ini, kadang kala tanpa sedar imej seperti bendera kumpulan pengganas ‘Islamic State’ tersimpan dalam telefon bimbit kita.

            Cadangan kedua adalah untuk memasukkan penyataan pengecualian secara terang terhadap golongan tertentu atau pemilikan bagi tujuan-tujuan yang sah di sisi undang-undang. Banyak contoh terdapat dalam undang-undang sediada yang jelas menyatakan bahawa sabitan dan hukuman tidak boleh dikenakan ke atas seseorang yang mempunyai alasan yang sah atau munasabah untuk memiliki suatu bahan. Misalnya, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 memberi pengecualian sekiranya seseorang itu memiliki bahan terlarang dengan kebenaran pihak yang berotoriti atau untuk tujuan yang sah di sisi undang-undang. Perkara ini amat penting bagi memastikan usaha membenteras dapat dituju tepat pada sasarannya dan tidak berlaku pembaziran tenaga dan kos. Di samping itu, golongan seperti para pengkaji terorisme, wartawan dan orang awam yang terlibat dengan usaha melawan terrorisme juga terdedah kepada risiko dituduh melakukan kesalahan jenayah ini. Situasi ini dilihat merugikan negara memandangkan perencanaan melawan terrorisme secara holistik menuntut kepakaran dan penglibatan pelbagai pihak, termasuklah golongan-golongan yang dinyatakan tadi. Undang-undang yang tidak jelas dan bersifat rambang menjadikan mereka lebih berhati-hati, bahkan lebih malang lagi jika mereka terus menjauhkan diri dari turut serta membasmi keganasan.

            Undang-undang jenayah yang bersifat pencegahan amat mustahak dalam membenteras keganasan dari peringkat awal. Penggubalan undang-undang jenayah yang jelas amat perlu bagi memastikan penguatkuasaan dan pelaksaannya berkesan, telus dan adil. Undang-undang yang ditala rambang tanpa membidik pada sasaran yang sebenar akan hanya membuka ruang manipulasi kepada pihak-pihak tertentu, termasuklah golongan pengganas. Maka pembaikan dari masa ke masa diperlukan agar usaha melawan terorisme tidak menjadi sia-sia atau mendatangkan lebih mudarat bak kata dua pepatah Melayu; menohok lembing ke semak, menjual bedil kepada lawan.